Pengenalan USR @ UMT
Kewujudan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam yang ke 14, bukan sahaja memberi impak positif kepada perkembangan di sektor pengajian tinggi Malaysia tetapi juga memberi kesan yang signifikan kepada pembangunan masyarakat sekitar. Seperti yang sedia maklum, penubuhan UMT ialah untuk menawarkan pelbagai program pengajian dalam bidang sains dan sains sosial dengan memberi fokus kepada Sains Maritim, Oseonagrafi, Sains Lautan Akuakultur dan Bioteknologi Marin. Walau bagaimanapun, sebagai sebahagian daripada anggota masyarakt sekitar, UMT merancang untuk melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat sekitar supaya nikmat kewujudannya dapat juga dirasai oleh masyarakat sekitar melalui beberapa program yang telah dikenalpasti.
Program yang dimaksudkan ini dikenali sebagai Program Tanggungjawab Sosial (USR) telah dirancang untuk dilaksanakan pada tahun 2009. Sebanyak 9 program USR bagi memenuhi salah satu objektif UMT iaitu ”memainkan peranan yang aktif dalam pembangunan sosial, ekonomi dan pendidikan melalui penyediaan perkhidmatan terutama sekali kepada komuniti sekitar” telah dirancang. Inisiatif serta usaha untuk melaksanakan program USR ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat sekitar melalui sumbangan kepakaran yang ada di UMT.
Selain daripada memanfaatkan kepakaran yang ada di UMT kepada masyarakat sekitar, usaha untuk mengadakan program USR juga merupakan satu pendekatan untuk memasyarakatkan UMT dengan komuniti sekitar. Melalui program USR, UMT dapat memanisfestasikan hasratnya untuk menjalin dan memupuk hubungan yang harmoni dengan masyarakat sekitar. Justeru, kejayaan Program USR UMT memerlukan sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), wakil penduduk (Jawatankuasa Kemajuan Kampung) dan juga penduduk setempat di komuniti yang berkaitan. Sokongan padu dan kerjasama erat dari pihak-pihak ini bakal menyumbang kepada keberkesanan pelaksanaan Program USR.
|
|
|