Syarahan Tahunan Naib Canselor 2014 Membudaya Nilai Teras, Memacu Kecemerlangan Akademik

PEMBUKA BICARA

Syarahan Tahunan Naib Canselor 2013 yang bertema ‘Mencari Nilai Bersama, Membina Akademik Berbudaya Cemerlang’, telah membawa kita merancang bagaimana untuk menentukan nilai teras yang perlu diamalkan dan seterusnya menyusun langkah untuk melalui perubahan dengan iltizam yang tinggi dan penuh keyakinan. Saya gembira, sepanjang tahun 2012 kita berjaya mengharungi transformasi governans dengan semangat kebersamaan. Governans Sistem Sokongan Pengurusan yang melibatkan enam komponen utama telah berjaya dilaksanakan. Walaupun, masih terdapat penambahbaikan kecil, saya yakin ia merupakan sistem governans pengurusan terbaik untuk memacu UMT mengejar kecemerlangan.

Sepanjang tahun 2013, kita telah bersepakat untuk memartabatkan kedudukan UMT di arena kebangsaan dan global melalui usaha penambahbaikan Pelan Strategik 2013-2017, dan perancangan rapi bagi menggerakkan Transformasi Akademik. Baru-baru ini, kita telah melancarkan penubuhan lapan pusat pengajian dan satu pusat pendidikan bagi memulakan transformasi akademik yang bakal melonjak kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran di UMT. Pada masa yang sama, kita juga telah menubuhkan Institut Penyelidikan Kenyir, institut ke-4 yang dapat memantapkan lagi bidang tujahan penyelidikan kita.

Syarahan tahun ini menggariskan hasrat di sebalik penyediaan Pelan Strategik 2013-2017, serta menjelaskan mengenai iltizam penubuhan pusat pengajian dan pendidikan. Kita tidak akan berjaya mengharungi perubahan tanpa perancangan yang berstrategi. Terjemahan objektif strategik kepada program dan aktiviti membolehkan tindakan susulan yang dirancang dapat dilaksanakan sepenuhnya. Saya juga berharap dengan kefahaman yang mendalam mengenai potensi penubuhan pusat pengajian, anda mempunyai keyakinan yang tinggi untuk bersama menjayakan gagasan pengajaran dan pembelajaran yang cemerlang.

Pada masa yang sama, kita perlu terus melaksanakan transformasi untuk mencapai kecemerlangan menyeluruh. Oleh itu, syarahan ini turut menyentuh hala tuju dan strategi melaksanakan transformasi penyelidikan dan inovasi, transformasi pelajar, mengarus perdana pengantarabangsaan, serta pengukuhan bakat akademik, staf profesional dan sokongan.

PENCAPAIAN TAHUN 2013

Kita boleh berbangga dengan pencapaian tahun 2013 walaupun masih banyak usaha yang perlu dilakukan untuk meningkatkan prestasi penyampaian dan kecemerlangan akademik. Marilah bersama-sama kita menilai pencapaian tahun 2013 bagi membolehkan perancangan aktiviti tahun 2014 dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Pada tahun 2013, UMT telah berjaya menghasilkan 1,962 graduan, iaitu 15 daripadanya ijazah PhD, 114 ijazah Sarjana, 1,727 ijazah Sarjana Muda dan 106 Diploma. Kita turut memperkenalkan dua program pengajian Sarjana Muda baharu iaitu Sains Agroteknologi (Sains Tanaman) dan Sains Sosial (Pembangunan Komuniti). Dalam konteks bilangan pelajar antarabangsa, kedudukan UMT masih di tahap rendah iaitu seramai 108 orang (sekitar 1.3%); 59 pelajar PhD, 26 pelajar Sarjana dan 23 pelajar Sarjana Muda. Saya berharap UMT dapat meningkatkan jumlah pelajar antarabangsa sehingga 5% menjelang 2020, dan mencapai 10% menjelang 2030.

Namun, usaha membangun bakat akademik berjalan lancar. Pada tahun 2013, jumlah felo akademik dan pensyarah yang telah tamat cuti belajar dan lulus pengajian PhD adalah seramai 22 orang. Dengan ini, jumlah ahli akademik yang aktif dan mampu menyumbang kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran ialah seramai 419 orang (meningkat sebanyak 5.7% berbanding tahun 2012). Apa yang membanggakan ialah jumlah ahli akademik yang memiliki ijazah PhD kini telah meningkat kepada 67.3%, antara yang tertinggi daripada kalangan universiti komprehensif berfokus di Malaysia. Sehingga 2013, UMT hanya mempunyai 19 orang (4.5%) ahli akademik antarabangsa.

UMT boleh berbangga dengan pencapaian penerimaan geran penyelidikan yang tinggi pada tahun 2013. Kita telah menerima geran sebanyak RM14.5 juta daripada kerajaan (KPM dan MOSTI), RM73,000 daripada agensi swasta (dalam negara), dan RM32,000 daripada luar negara. Jumlah ini meningkat sebanyak 96% berbanding tahun 2012. Pada masa yang sama jumlah ahli akademik yang menjadi Ketua Projek penyelidikan juga terus meningkat daripada 188 orang (44.8%) pada tahun 2012, kepada 254 orang (61%) pada tahun 2013. Pencapaian ini sangat memberangsangkan, memandangkan lebih 50% daripada Ketua Projek terdiri daripada kelompok ahli akademik muda.

Pencapaian inovasi ilmu (penerbitan ilmiah) sehingga November 2013 pula ialah sebanyak 309 makalah jurnal, lebih rendah berbanding 402 pada tahun 2012. Walau bagaimanapun, nisbah makalah dalam jurnal terindeks berbanding makalah tidak terindeks terus meningkat daripada 1.8:1 (2012) kepada 2.2:1 (2013). Ini menunjukkan telah timbul kesedaran sebahagian daripada ahli akademik kita untuk menerbitkan hasil penyelidikan dalam jurnal berkualiti. Pada masa ini nisbah penerbitan dalam jurnal terindeks per ahli akademik ialah 0.51 - pencapaian yang baik untuk universiti muda seperti UMT. Bagaimanapun, saya berpendapat kita perlu meningkatkan nisbah ini kepada 1.0 per ahli akademik menjelang tahun 2020.

Pencapaian inovasi teknologi (harta intelek) masih terhad. Sehingga akhir tahun 2013, UMT hanya mampu menghasilkan 5 paten dan sebuah cap dagang, sementara 15 paten dan sebuah cap dagang yang telah difail sedang menunggu kelulusan. Ini satu permulaan yang baik dan usaha berterusan masih perlu dipergiatkan lagi. Usaha ke arah menjalankan inovasi sosial iaitu produk penyelidikan yang disalurkan kepada pembangunan sosio ekonomi komuniti merupakan usaha baharu yang masih di peringkat awal pelaksanaan.

Pada tahun 2013, UMT telah berjaya menyiapkan beberapa kemudahan prasarana akademik untuk pendidikan dan penyelidikan. Antaranya ialah bangunan Kompleks Makmal, Kompleks Kuliah Berpusat dan empat buah bangunan untuk meningkatkan keupayaan pusat pengajian. Dengan adanya kemudahan ini, ruang kemudahan akademik telah dapat diperluaskan daripada 15,000 m persegi kepada lebih 35,000 m persegi (peningkatan sehingga 133%). Oleh itu, ruang untuk kemudahan bilik kuliah dan makmal meningkat daripada 126 buah menjadi 308 buah, sementara bilik ahli akademik daripada 482 buah menjadi 932 buah. Dengan meningkatnya kemudahan prasarana, kini UMT mampu menampung peningkatan jumlah pelajar sehingga 13,000 orang pada satu masa.

PELAN STRATEGIK 2013 – 2017

Warga UMT telah bersama-sama menyumbang fikiran ketika menyediakan Pelan Strategik 2013-2017. Kita berpegang kepada falsafah ‘menghormati yang dahulu, membina perancangan baharu’ ketika menggubalnya. Pendekatan pelan strategik ini ialah memperkukuh dan memperkasa hasrat bersifat strategik bagi melangkah ke hadapan dengan hala tuju yang tepat. Untuk memastikan keberkesanan yang optimum, objektif strategik telah diterjemahkan kepada pelbagai program dan aktiviti yang boleh dilaksanakan dalam tempoh 1-3-5 tahun akan datang. Kita juga bertekad untuk menyediakan keupayaan dan dana secukupnya untuk melaksanakan tindakan strategik ini.

Pelan Strategik ini dimulakan dengan beberapa kenyataan dasar yang perlu dihayati oleh semua warga UMT. Kita mengekalkan falsafah asal, dan memperkemaskan visi, misi dan slogan untuk menjajar keilmuan terfokus UMT iaitu ‘ilmu kelautan dan sumber akuatik’. Bagi memantapkan gagasan ‘Akademik Berbudaya Cemerlang’, kita telah memperkenalkan nilai teras (core values) UMT berikut:

1. Ghairah kepada kebenaran (Passion for truth);

2. Mengejar kecemerlangan (Pursuit of excellence);

3. Pemerkasaan kepimpinan akademik (Empowerment of academic leadership);

4. Menghormati kepelbagaian keserakanan (Respect for collegial diversity); dan

5. Menyemai kecintaan alam (Nurturing nature).

Saya menyeru kepada semua ahli akademik, staf profesional dan sokongan supaya menghayati nilai teras ini dan sentiasa berazam untuk mengamalkannya. Amalan nilai teras ini bukan sahaja mampu mengukuhkan kewibawaan UMT, tetapi menjadikan setiap individu sebagai ahli akademik yang dihormati dan direstui Ilahi.

Pelan Strategik 2013-2017 menekankan lima bentuk transformasi: pengajaran dan pembelajaran; penyelidikan dan inovasi; pemindahan ilmu; memperkasa bakat akademik; dan pembangunan citra. Semua transformasi ini diterjemahkan kepada 17 objektif strategik, 43 program dan 115 projek yang perlu dilaksanakan sepanjang 5 tahun ini. Pelan ini bakal menjadi asas kelulusan dan pelaksanaan semua projek dan aktiviti tahun 2014, dan tahun-tahun berikutnya. Setiap Pusat Tanggungjawab, sama ada secara bersendirian atau bersama, perlu memastikan perancangan pembangunan dijajar atau merupakan terjemahan daripada Pelan Strategik ini.

Pusat Transformasi, Perancangan Strategik dan Risiko (TSR) akan bertindak sebagai penyelaras dan pemantau bagi memastikan semua projek dan aktiviti dijalankan dengan penuh kejayaan. TSR akan dibantu oleh 17 kumpulan penggerak dan pemantau yang mewakili setiap program. Pada tahun 2014, UMT telah memperuntukkan RM1 juta untuk memastikan TSR dan kumpulan penggerak ini dapat melaksanakan peranan mereka dengan berkesan.

TRANSFORMASI AKADEMIK

Kita telah melaksanakan Transformasi Akademik pada 1hb Disember 2013 selepas membuat pelbagai kajian senario semasa, perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan, dan menganjurkan majlis dialog bersama pihak berkepentingan. Pada prinsipnya, transformasi akademik merupakan usaha pemodenan urusan pengajaran dan pembelajaran (P&P) bagi mengukuhkan iltizam menjadikan P&P urusan teras terpenting UMT. Dalam konteks ini, kita perlu menyediakan program pengajian (prasiswazah dan pascasiswazah) yang berkualiti dan relevan dengan keperluan negara; menyediakan bakat akademik pelbagai disiplin ilmu yang berkepakaran tinggi; serta menyediakan sistem penyampaian ilmu yang terbuka dan berkecekapan tinggi.

Sistem fakulti digantikan dengan sistem pusat pengajian bagi membolehkan UMT memberikan fokus kepada bidang tujahan yang telah dipersetujui dan direstui oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Perubahan ini membolehkan hierarki pengurusan penyampaian dikurangkan daripada tiga (dekan-ketua jabatan-ketua program) kepada dua (dekan-pengerusi program). Dengan ini, peranan Pengerusi Program boleh diperkasa bagi melonjakkan kualiti dan citra setiap program pengajian yang ditawarkan. Pada masa yang sama, seluruh ahli akademik di Pusat Pengajian boleh digembleng melalui pendekatan matriks bagi menjayakan program P&P.

Transformasi ini melibatkan penyusunan semula semua program pengajian berdasarkan disiplin keilmuan dan sektor pembangunan. Pendekatan ini tentunya dapat menyokong gagasan pembangunan ‘sains kelautan dan sumber akuatik’. Untuk mencapai hasrat baharu ini, kita telah memperkenalkan lapan Pusat Pengajian:

1.  Pusat Pengajian Sains Asas (PPSA)

2.  Pusat Pengajian Informatik dan Matematik Gunaan (PPIMG)

3.  Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran (PPSMS)

4.  Pusat Pengajian Sains Perikanan dan Akuakultur (PPSPA)

5.  Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Makanan (PPSTM)

6.  Pusat Pengajian Perniagaan dan Pengurusan Maritim (PPPPM)

7.  Pusat Pengajian Pembangunan Sosial dan Ekonomi (PPPSE)

8.  Pusat Pengajian Kejuruteraan Kelautan (PPKK)

Semua Pusat Pengajian ini perlu memberikan tumpuan untuk menjayakan dan mengembangkan program pengajian (prasiswazah dan pascasiswazah) dalam keilmuan dan sektor pembangunan masing-masing. Pada masa yang sama, penyelidikan fundamental dan gunaan untuk memperkasa kepakaran bakat akademik diperkukuhkan, dan proses pemindahan ilmu kepada masyarakat (kerajaan, industri dan komuniti) diarusperdanakan.

Bagi membolehkan P&P bersifat holistik, UMT memperkenalkan Pusat Pendidikan Asas dan Liberal (PPAL) yang mempunyai empat Jabatan berikut:

1.  Jabatan Kenegaraan dan Peradaban

2.  Jabatan Bahasa dan Komunikasi

3.  Jabatan Ilmu Dasar dan Keusahawanan

4.  Jabatan Seni Kreatif dan Sains Sukan

Pusat Pendidikan ini perlu memberikan tumpuan kepada penyampaian kursus wajib dan elektif universiti sebagai sebahagian daripada perkhidmatan P&P untuk melengkapkan suatu program pengajian. Perkhidmatan ini penting bagi membolehkan pelajar terdedah kepada kursus asas dan liberal yang diperlukan untuk membentuk insan yang holistic, mempunyai daya kreativiti tinggi dan berkeyakinan diri. Status dan tanggungjawab pusat ini sama seperti semua pusat pengajian yang lain, kecuali ia tidak menawarkan program pengajian.

Ahli akademik yang ditempatkan di Pusat Pendidikan Asas dan Liberal (PPAL) mempunyai tanggungjawab yang berat untuk membina kursus liberal yang berwawasan. Ini termasuk kursus ‘alam sekitar dan pembangunan’ sebagai gagasan nilai teras UMT iaitu ‘menyemai kecintaan alam’. Oleh itu, saya ingin menggalakkan mereka menjalankan ‘penyelidikan tindakan’ (action research) yang dapat meningkatkan penguasaan ilmu bidang pengajian, dan kaedah penyampaian P&P secara berkesan dan menyeronokkan. Mulai tahun 2014, sebahagian daripada ‘geran penyelidikan dalaman’ akan diperuntukkan kepada ahli akademik di PPAL untuk membina korpus ilmu baharu yang diperlukan ini.

Dalam syarahan tahunan 2012, saya telah memberikan penekanan kepada kepentingan mewujudkan program pengajian antarabangsa. Perlu ditegaskan semula, program pengajian antarabangsa mempunyai kepentingan strategik berganda. Program ini bukan sahaja boleh dijadikan asas untuk meningkatkan bilangan pelajar antarabangsa, tetapi lebih penting lagi ia dapat membebaskan sebahagian besar daripada program pengajian sedia ada yang dikhususkan untuk memenuhi keperluan pembangunan modal insan negara daripada tekanan arus globalisasi. Dasar yang telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia iaitu memperkasa penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Pengantar di Institusi Pendidikan Tinggi boleh kita laksanakan sepenuhnya. Oleh itu, pada tahun 2014 ini, saya ingin melihat sekurang-kurangnya satu program di semua Pusat Pengajian diangkat menjadi ‘Program Antarabangsa’.

Setiap pusat pengajian digalakkan untuk berinovasi tinggi ketika melaksanakan program pengajian masing-masing. Saya ingin melihat setiap ‘program pengajian’ diangkat citranya dan dijadikan asas kepada pembangunan kecemerlangan pusat pengajian. Penyusunan semula kursus teras Universiti, kursus teras Program, dan kursus Elektif perlu diberikan perhatian segera. Berpegang kepada kepentingan ini, semua pelantikan Pengerusi Program adalah daripada kalangan ahli akademik terkanan dan berwibawa dalam bidang utama sesuatu program pengajian itu. Beliau adalah pemimpin akademik sebenar dalam konteks P&P dan diharap dapat memacu program pengajian masing-masing ke tahap tertinggi dan sentiasa diminati oleh pelajar cemerlang.

Pada tahap melaksanakan fungsi utama UMT pula, pusat pengajian merupakan institusi akademik paling tinggi kedudukannya. Di sini, pelajar dididik secara formal sehingga kita dapat menghasilkan graduan berminda kelas pertama. Sementara ahli akademik pula merupakan sarjana yang melaksanakan peranan utama terpenting mereka iaitu pengajaran dan penyeliaan. Oleh itu, pelantikan Dekan untuk menerajui kepimpinan akademik perlu daripada kalangan ahli akademik yang berpengalaman dan dihormati, terutama oleh rakan keserakanan. Pada beliau diletakkan tanggungjawab tinggi untuk membawa pusat pengajiannya menjadi pusat ilmu yang dihormati di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

TRANSFORMASI PENYELIDIKAN DAN INOVASI

Program Penyelidikan (Penjanaan Ilmu)

Dalam syarahan lepas, saya telah memberikan tumpuan kepada kesedaran untuk membezakan bentuk penyelidikan yang perlu dilaksanakan oleh warga UMT. Penyelidikan fundamental untuk meningkatkan kepakaran atau kemahiran individu akademik merupakan ‘tanggungjawab asas’ semua ahli akademik. Ahli akademik berwibawa perlu mengasah bakat akademik melalui ‘penyelidikan sepanjang hayat’. Dan hasilnya perlu diterbitkan dalam jurnal kesarjanaan (scholarly journal) dan diguna pakai untuk pengajaran dan pembelajaran.

Kebanyakan daripada anda juga perlu menjalankan penyelidikan bersifat gunaan atau tindakan (applied or action research) yang lazimnya dilakukan dalam satu kumpulan kecil. Ini membolehkan kepakaran bersama digembleng untuk menghasil ‘produk penyelidikan’ yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat. Berasaskan kepakaran sedia ada dan dapatan daripada penyelidikan gunaan, anda boleh memindah ilmu atau teknologi kepada industri dan komuniti. Proses pemindahan ilmu sama ada melalui ‘penyelidikan kontrak’, perundingan, keterlibatan komuniti atau penasihatan dasar perlu dijadikan sebahagian daripada amalan kita. Kini aktiviti memindah ilmu kepada mesyarakat telah diiktiraf sebagai peranan baharu muncul (atau Peranan Ke-3 Universiti).

Untuk melengkapkan usaha membangun keupayaan penyelidikan bersifat multi-disiplin, pada tahun 2013, kita telah mewujudkan Institut Penyelidikan Kenyir (IPK). Ini merupakan usaha melengkapkan keperluan prasarana penyelidikan berimpak tinggi. Institut ini diwujudkan dengan menggabungkan dua kemudahan sedia ada iaitu Pusat Pembangunan Sosial (CSD) dan Stesen Penyelidikan Kenyir, dan menambah sebuah entiti baharu iaitu Pusat Ekosistem Tasik Kenyir. Dengan wujudnya IPK, kini UMT telah mempunyai kemudahan penyelidikan canggih dan terfokus dalam bidang tujahan kita iaitu sains marin (oseanografi), perikanan, bioteknologi marin dan sumber akuatik.

Permintaan untuk menjalankan Penyelidikan dan Pembangunan (saya istilahkan sebagai R&D Komersial) oleh Kerajaan melalui pada mulanya MOSTI dan kini Kementerian Pendidikan merupakan tindakan strategik untuk meningkatkan keupayaan bersaing negara, khususnya untuk membangun ‘Teknologi Tinggi’ bagi pertumbuhan industri. Oleh kerana banyak dana telah disalurkan melalui mekanisme ini, R&D Komersial telah menjadi dominan sehingga sebahagian besar ahli akademik di UMT (dan IPT tempatan lain) berpendapat ini sahaja bentuk penyelidikan yang mereka perlu lakukan. Walaupun amanah ini penting untuk kemajuan negara, tidak semua ahli akademik perlu dan mampu melaksanakan tugas tambahan ini. Kita perlu mengimbangi keperluan penyelidikan kesarjanaan dan R&D Komersial dalam perancangan berstrategi melalui pelbagai pendekatan pelaksanaan.

Dalam perkembangan terbaharu, pada akhir tahun 2013, Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) telah memperkenalkan Skim Geran Penyelidikan Nic (NRGS) kepada universiti komprehensif dan universiti komprehensif berfokus. Ini merupakan satu anjakan paradigma JPT yang sangat dihargai. Dalam konteks ini, pembangunan, kawalan dan tanggungjawab seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada pengurusan tertinggi universiti. JPT seharusnya hanya memantau keberkesanan pelaksanaannya sahaja. Oleh itu, kita perlu meneliti kembali objektif asas jangka panjang dan pendekatan pelaksanaan supaya geran ini digunakan untuk membangun nic UMT iaitu ‘sains kelautan dan sumber akuatik’ supaya ia lebih menyerlah dan lestari. TNC (Penyelidikan dan Inovasi) perlu menerajui program ini dan mengambil pendekatan yang seimbang antara membangun keupayaan bakat akademik dan meraih hasilan penyelidikan yang berimpak tinggi.

Transformasi Penyelidikan dan Inovasi (P&I) yang telah dimulakan sejak pertengahan tahun 2013, akan diberikan penegasan yang lebih tinggi pada tahun ini. Konsep Special Interest Group (SIG) dan Research Interest Group (RIG) perlu dimantapkan supaya kefahaman semua ahli akademik terjajar. SIG/ RIG merupakan ‘kumpulan penyelidikan longgar’ (loose research group) merentasi Pusat Pengajian dan Institut Penyelidikan, bersifat multidisiplin dan transdisiplin, serta mempunyai objektif jangka panjang yang jelas. Dalam konteks ini, ahli penyelidik boleh daripada kalangan warga UMT (bersifat universiti), daripada kalangan penyelidik IPT tempatan (bersifat kebangsaan), dan daripada kalangan penyelidik dalam dan luar negara (bersifat antarabangsa). Bagaimanapun, saya perlu mengingatkan, kepimpinan utama SIG/ RIG perlulah daripada kalangan sarjana UMT.

Bagi memastikan kita bergerak ke hadapan dengan lebih terfokus, serta jangkaan hasilan berimpak tinggi, beberapa perbincangan telah dilakukan dan akhirnya UMT bersetuju mewujudkan sebelas SIG/ RIG berikut:

1.  Perikanan Persisir Pantai (Coastal Zone Fishery)

2.  Teknousahawan Akuakultur (Aquaculture Technopreneurship)

3.  Ekosistem Terumbu Karang Tropika (Tropical Coral Reef Ecosystem)

4.  Sumber Bioteknologi Marin (Marine Biotechnology Resources)

5.  Penyelidikan Pentas Sunda (Sunda Shelf Research)

6.  Perniagaan dan Teknologi Maritim (Maritime Bussiness and Technology)

7.  Pemuliharaan Ekosistem Tanah Bencah (Wetland Ecosystem Conservation)

8.  Tenaga Keterbaharuan Koridor Timur (Eastern Corridor Renewable Energy)

9.  Penyelidikan Geopark Kenyir (Kenyir Geopark Research)

10.  Penyelesaian Risiko Bencana Persisir (Coastal Disaster Risk Solution)

11.  Komuniti Kepulauan dan Pesisiran (Islands and Coastal Communities)

Semua SIG/ RIG perlu mempunyai pelan jangka panjang dan matlamat akhir (end in mind) yang jelas. Setiap satunya perlu memeta strategi pembinaan pasukan dan penjanaan dana (input), menjalankan penyelidikan dan jaringan (proses), dan memindah ilmu atau teknologi (output) dalam satu kontinum penyelidikan yang berterusan. Perbezaan antara SIG dan RIG terletak pada penekanan yang lebih berstrategi, iaitu sama ada untuk pemindahan ilmu atau penjanaan ilmu baharu. Pada tahun 2014, setiap SIG/ RIG akan diperuntukkan dana pengurusan pembangunan pasukan sebanyak RM25,000.

Program Pemindahan Ilmu (Inovasi)

Mulai tahun 2014, UMT telah mampu menggiatkan program memperkasa pemindahan ilmu. Saya melihat pemindahan ilmu dalam konteks yang luas iaitu meliputi semua proses pemindahan daripada ilmu janaan penyelidikan untuk kesarjanaan, hingga penggunaan oleh pihak berkepentingan. Dalam konteks ini, saya mendefinisikan pemindahan ilmu daripada perspektif bagaimana ilmu diterjemahkan kepada ‘produk inovasi’ yang boleh dimanfaatkan oleh semua pihak. Secara prinsipnya, produk inovasi ini boleh dibezakan dalam tiga bentuk: inovasi ilmu, inovasi teknologi dan inovasi sosial.

Inovasi ilmu meliputi produk inovasi yang boleh dimanfaatkan pelajar, ilmuwan dan rakan kesepakaran, terutamanya dalam bentuk penerbitan. Ini meliputi penerbitan buku, monograf, kertas jurnal dan prosiding, serta bahan bantuan pengajaran dan pembelajaran. Dalam konteks penerbitan ilmiah, kertas jurnal dan prosiding, impaknya perlu dinilai daripada dua perspektif: kualiti dan sumbangan. Oleh itu, untuk menilai kualiti, kita akan terus menggunakan pendekatan penilaian semasa iaitu berasaskan penerbitan terindeks (ISI Thomson Reuters dan Scopus), penerbitan berfaktor impak dan penerbitan yang diiktiraf oleh rakan kesepakaran.

Sebagai tambahan, UMT akan memperkenalkan pendekatan penilaian berasaskan sumbangan. Dalam konteks penerbitan jurnal, saya akan memperkenalkan tiga bentuk sumbangan kesarjanaan seperti berikut:

a) Penerbitan berasaskan sumbangan kepakaran individu, hasil penyelidikan perseorangan dan diterbitkan sebagai tulisan asli yang memperluas ufuk ilmu;

b) Penerbitan bersama rakan kesepakaran, menyumbang sebahagian daripada perkembangan ilmu bersifat multidisiplin, transdisiplin atau sektor  pembangunan untuk penyelesaian isu semasa; dan

c) Penerbitan selaku mentor, khususnya kepada pelajar pasca-siswazah atau ahli akademik muda yang baharu berkecimpung dalam dunia akademik.

Inovasi teknologi pula, seperti yang diharapkan daripada R&D Komersial masih perlu diperkasakan. Usaha perlu dipertingkatkan melalui pembangunan produk yang lebih berkualiti, berinovasi dan memenuhi kehendak pasaran masa hadapan. Produk prototaip perlu diuji, ditambah baik dan dipatenkan. Isu mengawal hak milik intelek untuk menjaga kepentingan pencipta dan UMT perlu diberikan perhatian. Soalnya apakah semua ahli akademik mesti menghasilkan produk yang boleh dikomersialkan? Saya berpendapat, hanya sebahagian kecil ahli akademik yang boleh melaksanakan R&D Komersial ini. Ekosistem yang kondusif ialah penyelidikan berkumpulan dalam sekitaran CoE/ HiCoE atau RIG/ SIG yang telah dikenal pasti sejak awal lagi.

Pada tahun 2014, UMT perlu mengembangkan aktiviti inovasi sosial dengan lebih berfokus dan melibatkan semua warga universiti. Setiap pusat pengajian dan institut penyelidikan perlu membangunkan program inovasi sosial secara terancang dan berwawasan. Hasil penyelidikan perlu diterjemahkan kepada inovasi yang boleh dimanfaatkan oleh komuniti tempatan dan masyarakat sejagat. Kita harus menekankan proses pemindahan ilmu ini secara berterusan dan dalam jangka panjang sehingga impaknya terjelma dengan jelas. Tentunya projek penyelidikan NRGS yang baharu diperkenalkan mengenai Kesihatan Ekosistem Tanah Bencah Setiu boleh dijadikan asas memperkukuhkan pendekatan program inovasi sosial di peringkat negeri.

Seperkara lagi yang perlu ditegaskan, pemindahan ilmu tidak sahaja melibatkan ahli akademik dan komuniti, tetapi perlu juga melibatkan juga pelajar prasiswazah dan pascasiswazah. Saya tertarik dengan program ‘sukarelawan siswa’ sebagai jentera pemindahan ilmu, tetapi berharap pengisiannya perlu melibatkan pemindahan ilmu, bukan sekadar aktiviti gotong-royong atau bantuan sosial sahaja.

TRANSFORMASI PELAJAR

Dalam syarahan sebelum ini, saya telah menghuraikan betapa pentingnya kita menyediakan infrastruktur pembelajaran yang kondusif ketika pelajar berada di kampus. Pusat Pembangunan Holistik Pelajar (PPHP), dan Pusat Pembangunan Alumni dan Keusahawanan (PPAK) merupakan infrastruktur yang mampu melaksanakan peranan ini. Usaha ini diperkukuhkan lagi dengan konsep kolej sebagai tempat pembelajaran kedua.

Matlamat akhir pembelajaran di UMT ialah menghasilkan ‘graduan berminda kelas pertama’ dan mampu menentukan masa hadapan berasaskan pertimbangan yang tepat. Untuk menghasilkan graduan berminda kelas pertama, kita perlu menyediakan program pengajian yang seimbang melalui empat mod pembelajaran secara terintegrasi. Mod pertama ialah pembelajaran formal di pusat pengajian bagi membentuk gagasan ilmu dan keupayaan intelek. Mod kedua melalui pembelajaran formal di pusat pendidikan melibatkan pembangunan ‘pandangan hidup yang luas', keterbukaan minda dan pembinaan keyakinan diri.

Mod ketiga, melibatkan pendidikan informal di PPHP dan PPAK, bermatlamat meningkatkan kemahiran melalui program kokurikulum, amalan libat sama dan berpersatuan.  Sementara mod keempat pula melibatkan pendidikan informal dan tidak formal di persekitaran Kolej Siswa. Kolej sebagai tempat pembelajaran kedua merupakan edisi terakhir yang masih perlu digerakkan sebagai pelengkap gagasan pembelajaran holistik pelajar. Pengetua Kolej Siswa perlu bertindak berani mengemukakan rancangan jangka pendek dan panjang untuk melaksanakan urusan yang perlu disegerakan ini.  

Kita juga perlu menyediakan kemudahan kampus yang selesa. Memandangkan keluasan kawasan kampus agak kecil, UMT tidak mungkin dapat menyediakan keperluan penempatan untuk semua pelajar. Sebahagian daripada pelajar perlu mencari tempat tinggal di luar kampus. Mulai tahun 2014, saya mencadangkan Unit Pelajar Luar Kampus diwujudkan. Unit ini berperanan untuk mencari atau menyediakan penempatan di luar kampus secara bersepadu. Pelajar tidak perlu lagi mencari penempatan mereka sendiri, tetapi sebaliknya, boleh terus berurusan dengan unit ini untuk menyewa tempat tinggal. Selain itu, Unit ini boleh juga bertindak sebagai pemberi beberapa perkhidmatan sokongan lain seperti yang diamalkan oleh Kolej Siswa.

Pada masa yang sama, jika kita mahu menjadi pemain global, isu mendesak yang perlu diatasi segera ialah kemudahan penempatan dan sistem sokongan pelajar antarabangsa. Pada tahun 2014, saya ingin melihat perancangan rapi dan berterusan untuk menyediakan kemudahan baharu serta meningkatkan kemudahan sedia ada. Dengan kemudahan begini, saya percaya pelajar antarabangsa kita akan merasa mereka seperti berada di negara sendiri. Oleh itu, UMT perlu menyediakan Kolej Antarabangsa yang lengkap dengan pelbagai kemudahan untuk keselesaan mereka dan keluarga.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) disarankan memulakan perbincangan dengan Pusat Pembangunan dan Harta (PPH), serta UMT Jaya Holdings untuk merancang dan menyediakan pelan pembangunan bagi menyediakan kemudahan pelajar luar kampus dan Kolej Antarabangsa. Kita boleh merancang dan membangun secara sendirian, atau bersama rakan kongsi usahawan untuk menjayakan wawasan ini.

MENGARUS PERDANA PENGANTARABANGSAAN

Universiti pada asasnya merupakan institusi pendidikan bersifat global yang didasari oleh kepentingan kebangsaan dan tempatan. Oleh itu, penterjemahan dasar pengantarabangsaan harus dilaksanakan secara bijak dan menyeluruh. UMT akan menterjemahkan dasar pengantarabangsaan ini dalam empat konteks: mobiliti pelajar, mobiliti akademik, program pengajian antarabangsa, dan ahli akademik berpemikiran global.

Mobiliti pelajar bersifat antarabangsa telah dilaksanakan sejak beberapa tahun yang lalu. Kebanyakan aktiviti melibatkan pelajar UMT didedahkan kepada sekitaran universiti di luar negara (outbound). Terdapat juga sebahagian kecil pelajar luar negara datang dan disangkutkan di beberapa pusat pengajian atau institut penyelidikan di UMT (inbound). Aktiviti yang telah diamalkan ini penting dan perlu diperkukuh serta dipelbagaikan lagi. Ini perlu dilaksanaka secara lebih terancang untuk meningkatkan keberkesanannya.

Pada tahun 2014, melalui Pusat Pengurusan Bakat Akademik (PPBA), UMT akan mengatur program mobiliti akademik, khususnya ahli akademik muda yang disangkutkan ke universiti ternama di luar negara. Saya ingin melihat unjuran program sangkutan ini terus meningkat dalam lima tahun ke hadapan. Memandangkan keperluan dana untuk membiayai ahli akademik ke luar negara agak tinggi, pelbagai strategi pelaksanaan perlu diperkenalkan. Antaranya, meliputi penyediaan tabung sangkutan khas, dana pembiayaan luar, sangkutan bersama menghadiri persidangan, dan sangkutan berasaskan dana penyelidikan.

Dalam Syarahan Perdana sempena 100 hari menjadi Naib Canselor, saya telah menegaskan betapa pentingnya kita memperkenalkan ‘Program Antarabangsa’. Program antarabangsa di peringkat prasiswazah dan pascasiswazah mampu membina ekosistem pembelajaran mikro yang bersifat antarabangsa sepenuhnya. Program ini bukan sahaja dapat menarik lebih ramai pelajar antarabangsa untuk datang belajar di UMT, tetapi ia juga memaksa kita membawa sejumlah ahli akademik antarabangsa bersama-sama membangunkan gagasan baharu ini. Pada tahun 2014 ini, saya ingin melihat setiap pusat pengajian mengangkat sekurang-kurangnya satu program sedia ada menjadi program pengajian antarabangsa dan mempunyai beberapa orang ahli akademik antarabangsa.

UMT tidak akan menjadi universiti bersifat antarabangsa jika ahli akademiknya tidak berpemikiran global. Batas ilmu tidak terhenti di sempanan negeri Terenganu atau di sempadan Siam sahaja. Setiap ahli akademik perlu mengikuti perkembangan bidang kepakaran masing-masing pada peringkat global, sekurang-kurangnya pada peringkat Asia Tenggara. Oleh itu, setiap ahli akademik mesti berupaya mengikuti perkembangan ilmu oleh rakan kesepakaran dan hasilan penyelidikan mereka dari seluruh pelusuk dunia. Kita perlu saling jemput menjemput melalui seminar dan syarahan jemputan untuk berkongsi ilmu. Inilah budaya atau ekosistem akademik yang perlu dikembangkan dan diamalkan oleh akademik berfikiran global.

PEMANTAPAN BAKAT AKADEMIK

Dalam syarahan tahun 2013, saya telah menegaskan betapa pentingnya bakat akademik diperkasa berasaskan konsep akademik berbudaya cemerlang. Untuk mencapai hasrat ini, Pusat Pengurusan Bakat Akademik (PPBA) telah diwujudkan. PPBA telah berjaya membangunkan strategi dan menyediakan asas untuk melaksanakan tugas penting ini. Hasil inisiatif yang diterapkan ini, telah mula meresap ke sanubari setiap ahli akademik dan mulai menunjukkan bibik anjakan paradigma yang diharapkan.

Akademik berbudaya cemerlang ialah gagasan pegangan setiap ahli akademik yang menyintai atau taksub kepada ilmu. Mereka percaya kepada nilai teras akademik, dan sangat profesional dan sentiasa membangun kepakaran melalui ‘penyelidikan sepanjang hayat’. Pada prinsipnya, pembangunan bakat adalah pembangunan kepakaran dan kemahiran berasaskan konsep ‘pembangunan kendiri’. Oleh itu, PPBA bersama pusat pengajian hanya dapat menyediakan kemudahan dan perkhidmatan pengurusan bagi membolehkan potensi setiap ahli akademik diserlahkan.

Pada tahun 2014, saya ingin melihat pendekatan baharu penilaian prestasi tahunan digunakan sepenuhnya. Penilaian prestasi tahunan perlu peka kepada kelainan peranan dan disiplin ilmu setiap bakat akademik, dan perlu mengambil kira lima aktiviti utama akademik iaitu:

a) pengajaran dan penyeliaan;

b) penyelidikan dan penerbitan ilmiah;

c) pemindahan ilmu;

d) pembangunan kendiri; dan

e) kepimpinan akademik.

Semua ahli akademik perlu menyediakan maklumat yang tepat dan lengkap jika prestasi akademik tahunannya ingin dinilai dengan sebaik  mungkin.

Asas pembangunan bakat ialah sumbangan dan pencapaian akademik sepanjang kerjaya yang diterjemahkan dalam bentuk Curriculum Vitae (CV). Memandangkan CV lazimnya disediakan oleh individu ahli akademik untuk menonjolkan kekuatan masing-masing, setiap satunya berbeza daripada aspek pendekatan dan senarai sumbangan utamanya. Oleh itu, PPBA telah membangun profil akademik atau e-Bakat yang seragam dan berupaya untuk mengumpul semua sumbangan dan pencapaian akademik penting dalam bentuk pangkalan data rujukan rasmi UMT. Saya menggesa semua ahli akademik bekerjasama melengkapkan data profil akademik mereka bagi membolehkan pembangunan bakat dan pengurusan kerjaya dapat diuruskan dengan cekap.

PEMERKASAAN STAF PROFESIONAL DAN SOKONGAN

Pada syarahan tahunan yang lepas juga, saya telah menyatakan kita perlu mengukuhkan pembangunan bakat profesional dan modal insan sokongan, khususnya meningkatkan kemahiran dan keupayaan dalam melakukan kerja pelbagai (multi-tasking). Perkara ini menjadi lebih penting untuk mengharungi cabaran masa hadapan, terutamanya dalam konteks menyediakan pasukan pengurusan pentadbiran yang cekap untuk menjayakan transformasi akademik, penyelidikan dan pelajar. Tambahan pula, kita juga sedang menilai tuntutan menyediakan nisbah terbaik, antara ahli akademik dan modal insan sokongan iaitu tidak melebihi 1:2.  

Untuk memperkukuhkan sistem sokongan profesional, kita perlu melihat kembali pendekatan latihan untuk meningkatkan ilmu, kemahiran dan sikap terhadap kerja. Oleh kerana, pegawai tadbir dan pegawai sains merupakan sistem sokongan pengurusan, mereka perlu didedahkan kepada siri latihan pengurusan, khususnya dalam konteks pengurusan institusi akademik dan kemudahan awam. Saya ingin menggalakkan pendekatan pembangunan bakat daripada perspektif hierarki pengurusan iaitu pengurus, pengurus kanan, pengurus utama dan jawatan lebih tinggi. Kenaikan pangkat perlu dikaitkan dengan pengalaman pengurusan dan pendedahan kepada tahap latihan tertentu. Saya juga ingin menggalakkan staf profesional kanan didedahkan dengan program pendidikan Sarjana Pengurusan.

Bagi staf sokongan pula, sistem latihan mereka perlu memberikan tumpuan kepada meningkatkan kemahiran, amalan terbaik, pembelajaran kendiri, dan sikap kerja yang positif (amalan berkhidmat dan berbakti). Sebahagian besar daripada keperluan latihan boleh dilakukan melalui keupayaan dalaman memandangkan universiti merupakan pusat pendidikan pelbagai ilmu dan kemahiran. Pada masa yang sama, penilaian prestasi tahunan perlu dimantapkan sebagai alat pemantauan dan pembangunan kerja yang cekap.

Untuk menjayakan pembangunan bakat profesional dan kemahiran staf sokongan, saya telah mengesyorkan kepada Pejabat Pendaftar untuk melihat kembali organisasi Jabatan Sumber Manusia. Memandangkan pengurusan Bakat Akademik telah diasingkan daripada pembangunan sumber manusia, Jabatan ini perlu menjajar semula peranannya kepada dua fungsi utama iaitu: a) pentadbiran perjawatan staf UMT; dan b) pembangunan kerjaya staf profesional dan sokongan. Salah satu pendekatan yang boleh dipertimbangkan ialah unit perjawatan diletak di bawah kawalan terus Pendaftar, sementara Jabatan Sumber Manusia dikemas kini fungsinya menjadi Pusat Pengurusan Bakat Profesional dan Staf Sokongan.

CITRA KEBANGSAAN DAN GLOBAL

Untuk dikenali dan dihormati di peringkat kebangsaan dan global, kita tidak boleh memberikan tumpuan hanya kepada pembangunan kecemerlangan akademik. Kita perlu menunjukkan kepada pihak berkepentingan, UMT memang cemerlang. Oleh itu, kita perlu mengurus persepsi dengan sebaik mungkin. Cara terbaik untuk mengurus persepsi adalah dengan membangunkan citra. Siapa kita, dan bagaimana kita ingin dikenali? Untuk membina citra positif, kita perlu mengembangkan citra kebangsaan dan global.

Pada peringkat kebangsaan, kita perlu dikenali sebagai universiti terunggul dalam ilmu kelautan dan sumber akuatik. Dalam konteks ini, kita seharusnya memiliki ramai bakat akademik tersohor, program pengajian terbaik dan prasarana penyelidikan tercanggih dalam pelbagai ilmu kelautan dan ekosistem akuatik. Citra ini perlu ditonjolkan secara berterusan dalam pelbagai bentuk, khususnya melalui aktiviti kemasyarakatan dan penerbitan korporat. Penerbit UMT dan Pusat Komunikasi Korporat dan Pembangunan Citra (PKKPC) disyor bekerjasama rapat dengan pusat pengajian dan institut penyelidikan bagi menghasilkan penerbitan korporat yang menepati sasaran.    

Pada peringkat antarabangsa pula, kita mahu UMT dikenali dalam bidang sains marin, kepelbagaian biologi akuatik, serta pengurusan dan teknologi maritim. Oleh itu, pembangunan citra global perlu ditumpukan kepada kekuatan dan keupayaan kita dalam sektor ini. Jika kita beriltizam untuk membawa ahli akademik cemerlang dan pelajar antarabangsa terbaik bersama kita, maka fokus citra perlu ditumpukan kepada sasaran yang tepat iaitu wakil kerajaan di luar negara, universiti terkemuka dunia, universiti berfokuskan marin dan semua rakan jaringan global yang telah dibina selama ini. Untuk meningkatkan usaha ini, kita telah memperkasa Pejabat Jaringan Antarabangsa yang bakal menjadi barisan hadapan pembangunan citra global.

AMANAT 2014 MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA
 
YAB Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pendidikan Malaysia telah menyampaikan amanat pada 28 Januari, iaitu dua hari lepas. Sebahagian besar daripada amanat beliau tertumpu kepada pencapaian, cabaran dan harapan membangun pendidikan pada peringkat sekolah yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025). Antara isu Pengajian Tinggi yang ketengahkan ialah pencapaian program Penyelidikan Fundamental, pencapaian Universiti Penyelidikan (khususnya jumlah penerbitan berimpak tinggi), dan pengiktirafan 9 HiCoE baharu.  
 
Ketika menyentuh program Memertabat Bahasa Melayu, Mengukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), saya tertarik dengan iltizam beliau untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu Tinggi. Untuk mencapai hasrat ini, beliau menyeru kepada ahli akademik supaya menulis buku dalam Bahasa Melayu, menterjemahkan buku bahasa Inggeris ke bahasa Melayu, dan menyampaikan kuliah dalam Bahasa Melayu. Dalam kenyataan penutup, YAB Menteri mengesa, warga Kementerian Pendidikan hendaklah menjalankan tanggungjawab dengan iltizam yang tinggi, semangat berkerjasama sebagai sebuah keluarga besar, dan dengan niat yang ikhlas. Kita perlu melakukan transformasi jiwa, berpegang teguh kepada nilai murni, agama dan tradisi kebangsaan. 
 
KENYATAAN PENUTUP
 
Tahun 2014 merupakan tahun penuh cabaran dan peluang bagi UMT meningkatkan prestasinya. Pada tahun ini juga, kerajaan telah menyarankan langkah penjimatan bagi membantu negara lebih berdaya saing. UMT akan menyahut cabaran ini tanpa berkompromi dengan iltizam meningkatkan kesepakatan dan pembudayaan kecemerlangan. Oleh itu, saya ingin memperkenalkan slogan langkah penjimatan kita iaitu “Budaya Kecemerlangan, Projek Berimpak Tinggi”. Gunakanlah slogan ini dalam semua surat menyurat rasmi kita.
UMT masih dalam proses memantapkan hala tuju, membangun bakat akademik dan staf profesional, mengembangkan program pengajian berkualiti dan mengukuhkan penyelidikan berimpak tinggi. Kejayaan usaha ini memerlukan sokongan dan komitmen seluruh warga UMT. Oleh itu, marilah kita bersama-sama mengukuhkan sebuah pasukan idaman melalui kepercayaan dan amalan terhadap Nilai Teras UMT.

Saya juga ingin menasihati anda semua, binalah sikap yang positif terhadap kerja. Anggaplah pekerjaan sebagai amanah dan tanggungjawab penting dalam hidup kita. Cintailah kerja anda, dan lakukan dengan penuh keceriaan dan kebanggaan. Jika kita amalkan semua prinsip ini dengan penuh yakin, kita akan berjaya memacu kecemerlangan akademik.