Fakulti Pengurusan dan Ekonomi
Pengenalan
Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) adalah salah satu fakulti di KUSTEM dan telah ditubuhkan pada Januari, 2000. Penubuhan fakulti ini bertujuan untuk memberi latihan akademik dan profesional kepada pelajar-pelajar sebagai memenuhi keperluan menyediakan lebih ramai tenaga profesional dalam bidang pengurusan, perakaunan, kewangan, ekonomi, polisi sekitaran, dan kaunseling untuk keperluan negara. Sasaran fakulti ialah melahirkan graduan-graduan berkualiti yang mempunyai daya saing yang tinggi. Program-program pengajian yang ditawarkan oleh fakulti meliputi bidang pengurusan, pemasaran, kewangan, polisi sekitaran, kaunseling organisasi dan ekonomi. Penawaran program-program ini adalah selaras dengan matlamat KUSTEM untuk menyediakan kepakaran dalam bidang Sains, Teknologi, dan Pengurusan Sumber Alam. Fakulti juga berhasrat menjadi pusat kecemerlangan bagi penyelidikan berkaitan pengurusan sumber alam. Justeru, fakulti menyediakan prasarana dan lain-lain kemudahan kepada kakitangan akademik dan pelajar siswazah untuk membuat penyelidikan, serta memberi khidmat nasihat dan perundingan.
Fungsi
- Mendukung misi universiti untuk menjadi pusat pembelajaran dan penyelidikan yang ulung dalam memberi sumbangan kepada kemajuan manusia dan penerokaan ilmu, juga kepada pembentukan kekayaan serta pembangunan negara.
- Menyediakan tenaga kerja terlatih dengan kemahiran profesional yang tinggi serta kemantapan disiplin diri menerusi nilai-nilai murni dan etika kerja yang positif.
- Melahirkan graduat yang peka kepada idea baru dalam pengurusan dan responsif kepada perubahan semasa serta menjadi ‘role-model’ kepada pelajar dan masyarakat.
- Memberi khidmat melalui penyebaran idea dan amalan baru serta mencari penyelesaian terhadap masalah semasa yang dialami oleh masyarakat.
- Menjalin hubungan antara universiti, institusi-institusi lain dan industri demi kepentingan bersama dan pembangunan negara.
Maklumat Jabatan
Alamat
Sebarang maklumat dan pertanyaan sila hubungi :
Fakulti Pengurusan Dan Ekonomi (FPE)
Kolej Universiti Sains Dan Teknologi Malaysia
21030 Kuala Terengganu
Terengganu Darul Iman
Tel : 09-6684149/4139
Faks : 09-6696694/6697191