1- 3 Disember 2008
Auditorium Mahyuddin, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi
 
Muat Turun
Borang Penyertaan
Brosur

Tarikh-tarikh Penting

Pertanyaan
 
 

Peranan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi utama dalam urusan rasmi dan tidak rasmi di negara ini sedang dicabar hebat ekoran arus globalisasi. Perkembangan terkini dalam sektor-sektor penting, misalnya pentadbiran dan pendidikan amat ketara sekali mencabar peranan bahasa Melayu, yakni bukan sekadar merosakkan kemurnian bahasa Melayu akibat campur aduk bahasa dalam komunikasi, tetapi penurunan nilai ekonominya apabila penggunaannnya dalam bidang sains dan teknologi digantikan dengan bahasa Inggeris. Timbul kebimbangan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan Malaysia semakin hari semakin terpinggir peranannya yang seterusnya bakal mengundang masalah dalam pelestarian jati diri negara yang berteraskan masyarakat, budaya dan bahasa Melayu.

Globalisasi dalam setiap aspek kehidupan sebenarnya tidak dapat dielak.  Penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi antarabangsa tidak harus ditolak, sebaliknya dimantapkan.  Pada masa yang sama peranan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi utama dalam semua sektor perlu dipertahankan. Persoalan besar yang timbul ialah apakah strategi mendepani cabaran yang datang bersama-sama arus globalisasi ini supaya jati diri masyarakat dan negara terpelihara? Sudah tentulah tanggungjawab kita sebagai warganegara adalah memperkasa jati diri yang telah dipupuk sejak merdeka  serta mempertahankan kerelevanannya.
 
Atas kesedaran inilah Jabatan Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Terengganu, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, dan Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia bergabung tenaga untuk menganjurkan Seminar Antarabangsa Bahasa Melayu dalam Komunikasi Era Globalisasi. Masa yang dipilih ialah ketika warganegara dan pencinta bahasa Melayu perlu meluahkan hasrat mereka tentang masa depan yang bakal menentukan maruah dan kedudukan bahasa Melayu di negara ini.

Gandingan tenaga untuk menganjurkan seminar antarabangsa ini diilhamkan daripada penubuhan Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia pada tahun 2005 yang gigih berusaha agar setiap pihak, khususnya warga pendidik mempertahankan peranan bahasa Melayu untuk menjadi bahasa pengantar utama pendidikan. Dengan kejayaannya menganjurkan secara bersama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara seminar kebangsaan dan serantau pendidikan bahasa Melayu (7-8 Februari 2003, 23-25 Mei 2004, 16-18 September 2005, dan 10-1 September 2006), Jabatan Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Terengganu meneruskan kesinambungan dalam rangka sinergi dan kerjasama ini untuk memperjuangkan hasrat memperkasa peranan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi di Malaysia, terutama ketika negara sedang mendepani globalisasi. Hasrat murni ini perlu diperjuangkan melalui penyertaan dan komitmen setiap pihak yang prihatin dan berkepentingan, iaitu daripada individu mahu pun kumpulan dalam kalangan pelajar, pendidik, ahli akademik, pentadbir, ahli politik atau sesiapa sahaja yang cintakan bahasa Melayu.

 
 
  1. Isu dan cabaran pelestarian bahasa Melayu dalam
    era globalisasi.
  2. Bahasa-bahasa etnik dan pribumi.
  3. Dialek dan variasi bahasa. 
  4. Bahasa Melayu dalam komunikasi silang budaya.
  5. Penyelidikan dalam bidang bahasa Melayu serantau.
  6. Bahasa, budaya dan masyarakat Melayu.
  7. Bahasa Melayu dalam Pendidikan.
  8. Bahasa Melayu dan sains pertuturan.
  9. Sumbangan bahasa antarabangsa dalam pelestarian bahasa Melayu.
  10. Pengantarabangsaan bahasa Melayu.



Link