Mesej Kepada Pelajar-pelajar UMT
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
dan Salam Sejahtera
Kami mengalu-alukan kedatangan pelajar baru dan menyambut kembalinya pelajar lama ke kampus Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Tahniah kepada semua pelajar baru kerana saudara-saudari telah dipilih untuk memasuki UMT. Persaingan sengit memasuki IPTA telah menentukan hanya mereka yang benar-benar layak dan cemerlang sahaja akan terpilih. Saudara-saudari merupakan antara mereka yang bertuah.
Universiti Malaysia Terengganu yang sebelum ini dikenali dengan nama Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM), merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang menawarkan pelbagai program pengajian yang berasaskan Sains, Teknologi dan Pengurusan Sumber Alam.
Dengan mempunyai pensyarah yang komited dan berpengalaman luas dalam pelbagai bidang, kelengkapan kemudahan prasarana dan memiliki makmal yang baru dan terkini, kemudahan asrama dan juga tempat riadah yang menarik, UMT merupakan pilihan yang terbaik untuk melanjutkan pelajaran.
Sepanjang tahun 2007/2008, UMT telah mencipta banyak kejayaan dan keunggulan, pencapaian penyelidikan dalam pertandingan ITEX serta MTE cukup membayangkan keutuhan bidang penyelidikan di UMT. Beberapa MoU dan MoA telah dimeterai antaranya dengan Aseam-Duo, Seapro, Mapan, Universitas Airlingga serta University of Newcastle, Australia. Dengan pemeterian perjanjian ini adalah diharapkan ia bakal membuka lebih banyak peluang serta ruangan untuk memartabatkan UMT di serata dunia.
Selain itu, para pelajar Universiti Malaysia Terengganu turut tidak ketinggalan dalam mencipta nama melalui pertandingan serta kejohanan seperti MAKUM, Sutera II, Dikir Barat dan juga Konvensyen Keusahawanan Siswa yang diadakan sepanjang sesi 2007/08.
Harapan saya agar semua pelajar dapat melakukan transformasi diri seiring dengan perkembangan pesat universiti. Setiap generasi pelajar yang hadir di UMT telah memperkukuhkan universiti ini dan meninggalkan jejak-jejak baru untuk diikuti, serta menjadikan universiti ini, sebuah universiti yang lebih cemerlang bagi generasi pelajar berikutnya.
Akhir kata, saya berharap semua pelajar dapat menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk mencapai cita-cita yang dihasratkan.