Majlis Menandatangani MoU di Universiti Islam Indonesia
Professor Dato' Dr. Sulaiman bin Md Yassin
7 August 2008
Universiti Islam Indonesia
Yang Berbahagia Prof Dr Edy Suandi Hamid (Rektor Universiti Islam Indonesia)
Dr Ahmad Fauzy (Dekan Fakulti Matematik dan Ilmu Pengetahuan Alam Universiti Islam Indonesia)
Prof Hamdan bin Suhaimi (Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Malaysia Terengganu)
Pegawai-pegawai utama universiti, Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati.
Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dapat berada di Universiti Islam Indonesia dalam keadaan selamat sejahtera.
Saya rasa kagum melihat UII yang bangunannya cukup besar dan persekitaran yang cukup indah. Saya termaklum juga akan sejarah gemilang UII yang bermula di Jakarta pada tahun 1945.
Saya merasakan cukup bertuah kerana pada hari ini dapat berada di UII bagi satu Majlis Menandatangani MOU antara kedua-dua universiti.
Untuk makluman para hadirin, Universiti Malaysia Terengganu adalah cukup muda usianya iaitu 9 tahun, tetapi cukup pesat membangun dan telah banyak mencipta kejayaan di peringkat nasional dan antarabangsa. Sehingga kini UMT mempunyai 4 fakulti, 7 pusat kecemerlangan, menawarkan 23 program akademik dengan bilangan pelajar sekitar 7000 orang. Salah satu daripadanya ialah Fakulti Sains dan Teknologi. FST adalah fakulti yang paling besar dengan bilangan staf akademik hampir 200 orang. UMT mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu. Misalnya Jabatan Matematik, ada menawarkan dua program iaitu Matematik Komputasi dan Matematik Kewangan dari peringkat Sarjana Muda hinggalah kepada PhD.
Rasa saya MOU hari ini cukup tepat sekali kerana UII juga mempunyai kelebihan tertentu. Kerjasama ini akan memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak dalam aspek penyelidikan, latihan staf, pertukaran pelajar, dan penganjuran seminar.
UMT sedang berusaha untuk meningkatkan geran penyelidikan, penerbitan artikel dalam jurnal, bilangan staf yang ada Ph.D. bilangan pelajar antarabangsa, MOU dengan universiti terkemuka dan anugerah yang diterima di peringkat antarabangsa. Dalam tahun 2007 dan 2008, UMT mendapat 167 geran penyelidikan dengan dana berjumlah RM8.7 juta. Setakat ini UMT telah menandatangani MOU dan MOA dengan 17 instusi luar negara, antaranya University of Bergen, James Cook University, Kagoshima University, University of South Brittany, France, Prince of Songkhla University, University of Newcastle, University of Pennsylvania dan Institut Penyelidikan Perikanan dan Lautan, Perancis.
Dari segi penganjuran seminar pada tahun ini sahaja, Jabatan Matematik ada menganjurkan dua seminar peringkat kebangsaan dan satu secara bersama peringkat antarabangsa yang telah berlangsung di Bogar pada 5 Ogos 2008.
Bagi pihak UMT,saya sedia untuk menerima staf dan pelajar UII untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan Ph.D. dalam bidang-bidang tertentu. Saya bagi pihak UMT amat berterima kasih kepada UII kerana sedia untuk menjadi Pusat Promosi Pengajian Siswazah sekitar Yogyakarta. Usaha ini boleh membantu UMT bagi meningkatkan lagi pengambilan pelajar antarabangsa.
Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, Jabatan Matematik mempunyai satu Makmal Siswazah yang dilengkapi dengan komputer berprestasi tinggi. Ini semua boleh membantu meningkatkan kualiti penyelidikan khususnya dalam Matematik Komputasi.
Saya berharap semangat kerjasama ini akan berjalan secara berterusan dan tidak berhenti di tengah jalan. Akhir sekali, saya bagi pihak UMT mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Rektor UII dan pengurusan fakulti atas usaha murni sehingga terlaksananya MOU ini.