𝐔𝐌𝐓 𝐩𝐞𝐫𝐤𝐚𝐬𝐚 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐤𝐚𝐫𝐚𝐧 𝐩𝐞𝐧𝐲𝐞𝐥𝐢𝐝𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐦𝐮𝐬𝐡𝐚𝐟 a𝐥-𝐐𝐮𝐫𝐚𝐧, 𝐦𝐚𝐧𝐟𝐚𝐚𝐭𝐤𝐚𝐧 𝐦𝐚𝐬𝐲𝐚𝐫𝐚𝐤𝐚𝐭

Rabu, 11/2/2026

Share This Article :

KUALA NERUS, 10 Mac — Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus mengukuhkan peranannya sebagai pusat sumber kepakaran penyelidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat melalui usaha pemeliharaan serta pemartabatan mushaf Al-Quran di peringkat nasional.
 
Peranan itu dizahirkan menerusi penganjuran Majlis Hibah Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan, UMT hari ini hasil kerjasama strategik universiti berkenaan dengan Etiqa Family Takaful Berhad.
 
Majlis tersebut disempurnakan oleh KDYMM Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Terengganu.
 
Keberangkatan baginda menyerlahkan dukungan berterusan institusi diraja terhadap usaha memartabatkan Al-Quran sebagai sumber ilmu dan panduan utama pembangunan ummah serta pengukuhan nilai peradaban Islam di negara ini.
 
Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata universiti berkenaan komited memanfaatkan kepakaran penyelidik bagi memastikan warisan ilmu berkaitan Al-Quran terus dipelihara dan dapat dimanfaatkan oleh masyarakat serta generasi akan datang.
 
“UMT bukan sahaja dikenali sebagai peneraju penyelidikan dalam bidang kelautan dan sains marin, malah turut memainkan peranan penting dalam penyelidikan berkaitan manuskrip dan mushaf Al-Quran yang menjadi sebahagian daripada khazanah warisan Islam negara.
 
“Melalui kepakaran penyelidik yang dimiliki universiti, kita berusaha memastikan usaha pemeliharaan, dokumentasi dan penyebaran mushaf Al-Quran dapat dilaksanakan secara berterusan serta memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
 
Dalam majlis berkenaan, sebanyak 5,000 naskhah Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin dicetak untuk diagihkan kepada 20 universiti awam di seluruh negara bagi memperluas akses kepada bahan rujukan Al-Quran yang sahih dalam kalangan warga akademik dan mahasiswa.
 
Selain itu, sebanyak 1,600 naskhah mushaf turut dihibahkan kepada Kementerian Dalam Negeri bagi tujuan pengedaran nasional melalui pelaksanaan program Jom Exchange Quran.
Inisiatif tersebut menyokong kempen “Ke Arah Sifar Al-Quran Tanpa Perakuan” yang bertujuan memastikan penggunaan mushaf yang mematuhi piawaian percetakan serta ketepatan teks Al-Quran selaras dengan peraturan semasa.
 
Penganjuran majlis berkenaan juga signifikan kerana bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-25 penubuhan UMT yang bukan sahaja dikenali sebagai institusi peneraju penyelidikan kelautan dan sains marin, malah aktif dalam usaha pemeliharaan khazanah warisan Islam negara melalui penyelidikan dan pemindahan ilmu kepada masyarakat.
 
Penyelidikan universiti berkaitan Mushaf Al-Quran Diraja Terengganu sebelum ini telah diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan dan kini dalam proses pencalonan sebagai Warisan Dunia menerusi program Memory of the World oleh UNESCO.
 
Sebagai rakan strategik utama program, Etiqa Family Takaful Berhad menyalurkan Dana Amal Jariah berjumlah RM375,000 bagi merealisasikan pelaksanaan Projek Hibah Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin.
 
Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zarif Ab Halim berkata kerjasama dengan UMT merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat dalam menyokong usaha pemerkasaan ilmu serta pembangunan masyarakat berteraskan nilai Islam.
 
“Program ini mencerminkan tanggungjawab sosial korporat Etiqa dalam memperluas akses kepada mushaf Al-Quran yang diperakui ketepatan teksnya selain menyokong usaha institusi pendidikan dalam memartabatkan warisan ilmu Islam,” katanya.
 
Menurutnya, sepanjang tempoh 2020 hingga 2025, Etiqa Takaful telah menyalurkan zakat perniagaan serta Dana Amal Jariah berjumlah RM12.71 juta di Terengganu bagi menyokong pelbagai inisiatif kebajikan, pendidikan dan pembangunan komuniti.
 
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM7.89 juta disalurkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu manakala RM4.82 juta diagihkan melalui pelbagai program pembangunan komuniti.
 
Dalam masa sama, UMT turut melaksanakan inisiatif pendidikan berimpak tinggi melalui Program Asnaf to Asnaf (A2A) yang memberi tumpuan kepada peningkatan pencapaian akademik murid daripada keluarga asnaf.
Sejak diperkenalkan pada 2020, program tersebut telah memberi manfaat kepada 925 murid asnaf dengan penglibatan 305 mahasiswa asnaf UMT sebagai pembimbing akademik.
 
Program itu turut mencatatkan kejayaan apabila lebih 90 peratus murid menunjukkan peningkatan penguasaan mata pelajaran teras, manakala 95 peratus mahasiswa berjaya memperkukuh kemahiran insaniah serta meningkatkan kebolehpasaran selepas menamatkan pengajian.
 
Melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif berteraskan ilmu itu, UMT terus memperkukuh kedudukannya sebagai pusat sumber kepakaran penyelidikan yang bukan sahaja memacu pembangunan akademik, malah memberi manfaat langsung kepada masyarakat serta memartabatkan kesucian Al-Quran sebagai asas pembinaan tamadun negara.