Thursday, 12/9/2024
Share This Article :
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sekali lagi melakar sejarah dengan menganjurkan Majlis Anugerah Tahunan (MAT2024), yang bertujuan meraikan kecemerlangan dan dedikasi warga universiti dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik. Dengan tema “Perkhidmatan Cemerlang Teras UMT Terbilang”, MAT2024 menzahirkan prinsip komitmen, fokus dan kreativiti sebagai teras kejayaan UMT.
Tema ini dipilih untuk menggambarkan semangat warga UMT yang sentiasa berusaha mencapai kecemerlangan profesional, membina reputasi gemilang dan mengekalkan prestasi kerja yang unggul. UMT percaya bahawa kejayaan universiti tidak hanya bergantung pada kecemerlangan akademik, tetapi juga kepada kesungguhan seluruh warga, termasuk kakitangan sokongan, dalam menghadapi cabaran dunia pendidikan yang semakin kompleks.
“Tahun 2023 menyaksikan peningkatan signifikan dalam prestasi keseluruhan warga UMT”. Kata Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim ketika berucap sempena Majlis Anugerah Tahunan 2024 yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan UMT.
“61.76% warga akademik mencapai tahap prestasi cemerlang pada tahun 2023 berbanding 60.26% pada tahun 2022.
“Bagi kakitangan sokongan akademik, 74.75% mencatatkan pencapaian cemerlang, sedikit meningkat dari 74.25% pada tahun sebelumnya. Secara keseluruhan, sebanyak 70.05% warga UMT mencapai prestasi cemerlang pada tahun 2023, melebihi 69.33% yang dicatatkan pada tahun 2022”.
Majlis itu menyaksikan seramai 140 pegawai menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebagai pengiktirafan atas sumbangan besar mereka kepada UMT.
Menurutnya, anugerah yang disampaikan itu sebagai simbol penghargaan dan motivasi kepada kakitangan untuk sentiasa meningkatkan tahap prestasi serta membudayakan inovasi.
“Anugerah ini tidak hanya sebagai simbol penghargaan, tetapi juga sebagai motivasi kepada warga universiti untuk terus mengekalkan tahap prestasi tertinggi dalam menjalankan tanggungjawab mereka.
“Dalam era digital yang pesat berkembang, kepantasan adalah elemen penting dalam mengekalkan keupayaan bersaing. Oleh itu, warga UMT diseru untuk terus mengambil peluang berinovasi dan menjana idea-idea baharu dalam menghadapi persekitaran yang sentiasa berubah seiring dengan dasar kerajaan yang menekankan kepentingan perkhidmatan awam yang efisien dan berkesan.
Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini menyeru agar penjawat awam terus mengamalkan integriti, amanah dan profesionalisme dalam menjalankan tugas sebagai penjawat awam.
Dasar ini selari dengan visi UMT untuk menghasilkan warga universiti yang bukan sahaja cemerlang dari segi prestasi kerja, tetapi juga memiliki nilai-nilai murni yang tinggi.
UMT sebagai institusi pendidikan tinggi sentiasa menyokong hasrat kerajaan dengan menyediakan pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran kepada warga kerja agar sentiasa relevan dalam dunia digital.
Majlis Anugerah Tahunan 2024 bukan sahaja meraikan pencapaian warga UMT, tetapi juga menjadi platform penting untuk mengukuhkan semangat kerja yang berdaya saing dalam kalangan penjawat awam universiti.