Ahad, 22/06/2025
Share This Article :
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencipta sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya tersenarai dalam kelompok 801–850 universiti terbaik dunia menerusi QS World University Rankings (QS WUR 2026).
Pencapaian membanggakan itu bukan sahaja mencerminkan dedikasi dan iltizam seluruh warga UMT terhadap kecemerlangan akademik dan penyelidikan berimpak tinggi, malah mengukuhkan kedudukan UMT sebagai peneraju dalam bidang kelautan dan kelestarian alam sekitar di peringkat global.
Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil perancangan strategik yang mantap serta kerjasama padu seluruh ekosistem universiti.
“Penyenaraian ini bukan sekadar angka kedudukan, tetapi manifestasi kepada pertumbuhan konsisten UMT dalam bidang-bidang teras seperti sains marin, kelestarian alam sekitar dan penyelidikan. Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pensyarah, penyelidik, pelajar, alumni dan warga kerja UMT atas sumbangan tidak ternilai mereka”. ujar beliau.
Sebelum ini, UMT berada dalam kelompok 1001–1200 universiti terbaik dunia selama lima tahun berturut-turut. Lonjakan ke kelompok 801–850 merupakan peningkatan signifikan yang menunjukkan hala tuju strategik universiti menerusi Pelan Strategik UMT 2023–2027 (PSUMT5) mula membuahkan hasil.
Menurut laporan QS WUR 2026, UMT mencatat pencapaian cemerlang dalam beberapa indikator utama. Antaranya sitasi per pensyarah melonjak ke kedudukan 596 dunia, meningkat 89 tangga berbanding penarafan sebelumnya.
UMT turut mencatat peningkatan ketara dalam indikator kelestarian, menduduki tangga 543 dunia hasil pelaksanaan inisiatif hijau yang berterusan di kampus.
Peningkatan ketara juga dicatat dalam indikator pelajar antarabangsa dengan UMT kini di kedudukan 588 dunia, naik 88 tangga. Pelajar antarabangsa UMT kini mewakili lebih 44 buah negara, memperkukuh kedudukan universiti sebagai destinasi pendidikan tinggi pilihan di rantau ini.
Dikeluarkan oleh :
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu