Khamis, 18/09/2025
Share This Article :
Kuala Terengganu, 16 September 2025 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sekali lagi mencatat sejarah apabila diberi kepercayaan sebagai tuan rumah bersama bagi penganjuran Karnival Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2025 yang berlangsung dari 15 hingga 20 September ini.
Seramai 2,342 atlet dan pegawai dari 20 universiti awam seluruh negara berkampung di Terengganu bagi menyertai MASUM edisi dwitahunan yang mempertandingkan 10 acara sukan utama iaitu bola tampar, bola tampar pantai, boling padang, sofbol, petanque, catur, pencak silat, taekwondo, memanah dan karate.
Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata penganjuran MASUM 2025 bukan sekadar medan pertandingan, sebaliknya menjadi platform penting untuk memperkukuh reputasi universiti.
“Ini merupakan kali kedua UMT menjadi tuan rumah penganjuran Karnival Sukan MASUM. Edisi kali ini lebih istimewa kerana kita berkongsi pentas bersama UniSZA. Penganjuran ini meningkatkan imej UMT sebagai universiti yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah menyerlah dalam sukan,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa kejohanan itu menjadi bukti bagaimana universiti membentuk kepimpinan, semangat juang, daya tahan, disiplin serta kerja berpasukan dalam kalangan mahasiswa.
Kejayaan UMT sebagai hos bersama MASUM 2025 menambah deretan pencapaian universiti itu yang kini semakin kukuh sebagai pusat rujukan global dalam sains marin dan sumber akuatik, selain melakar kejayaan dalam pelbagai bidang termasuk penyelidikan, inovasi, jaringan industri serta pembangunan pelajar holistik.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman yang merasmikan kejohanan berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa komited memperkasakan pembangunan sukan di institusi pengajian tinggi.
“Karnival Sukan MASUM bukan sekadar pentas persaingan, tetapi platform mencungkil bakat baharu mahasiswa yang berpotensi mengharumkan nama negara di persada antarabangsa,” katanya.
Dikeluarkan oleh :
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu