Enam mahasiswa UMT wakili Malaysia ke kejohanan kapal layar di Italy

Sunday, 12/5/2024

Share This Article :

KUALA NERUS, 11 Mei 2024 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus melakar sejarah apabila menjadi wakil tunggal bagi mewakili Malaysia dalam kejohanan sukan pelayaran FISU World Universiti Championship, di Itali.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, pihaknya memberi sokongan penuh serta berbangga dengan penyertaan peringkat dunia tersebut dalam misi membawa nama baik negara ke pentas dunia.

“KPT amat menggalakkan pelajar terlibat dengan aktiviti sukan. Di peringkat universiti kita ada Karnival Sukan Universiti Malaysia (Masum) dan KPT sendiri menyumbang kira-kira 20 peratus atlet negara.

“Penyertaan pelajar UMT ke kejohanan peringkat antarabangsa ini akan mengangkat nama negara. Pelajar juga berperanan sebagai duta kecil bagi memperkenalkan Malaysia di mata dunia,” katanya ketika mengadakan lawatan rasmi ke UMT hari ini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) menjalankan fungsi Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim mengucapkan syabas dan tahniah atas kelayakan menyertai acara yang berprestij itu.

“Pasukan pelayaran UMT telah banyak kali melakar kejayaan dalam beberapa siri pertandingan peringkat dunia termasuk meraih 1st runner up – Kingdom Match and Fleet di Bahrain hujung tahun lalu.

“Syabas dan tahniah atas berjaya layak menyertai kejohanan di Italy yang akan berlangsung pada 4 hingga 11 Jun 2024”.

Ketua pasukan Pelayaran UMT ke Italy, Muhammad Faris Aiman berkata beliau bersama pasukan sedang giat menjalani latihan dalam negara sebagai persiapan sebelum berlepas ke Itali pada Jun nanti.

Setiap hari beliau bersama rakan sepasukan akan berlatih sehingga empat jam untuk meningkatkan kemahiran serta kecekapan bagi menghadapi pesaing hebat dari negara Eropah, Amerika dan Asia

“Kami akan berdepan cabaran dari 16 pasukan termasuk Amerika, Belanda, Ireland, Jerman, Jepun, China dan Perancis yang semenangnya memiliki kekuatan tersendiri

“Walaupun sukar kami tetap meletakkan sasaran untuk mendapatkan podium di kejohanan tersebut” katanya.

Enam pelajar yang akan mewakili UMT ke kejohanan tersebut ialah Nur Muhammad Aqil Nadzri, 21, Mohamad Hanif Mohd Shafiee, 20; Nur Zulaikha Mohd Zafarin, 21; Nur Sofea Balqis Kamal Azalan, 21; Nur Ainul Izzati Zil Husham, 23, dan Muhammad Faris Aiman Basri, 22.