Tuesday, 14/5/2024
Share This Article :
Sekilas pandang nampak seperti buah melon biasa, namun ianya sangat berbeza dari segi kemanisan dan kerangupan. Kulit yang berwana kuning keemasan, tiada jaringan halus, isinya berwarna oren salmon, kemanisan antara 13 – 19°Brix, sangat rangup dan beraroma menjadi tarikan utama pembeli walaupun ia dijual pada harga yang sangat tinggi.
Menjadi buah ikon negeri Terengganu pastinya menjadi kebanggaan rakyat Terengganu, apatah lagi kepada penanamnya sendiri. Melon Manis Terengganu (MMT) atau nama saintifiknya, Cucumis melo var. Inodorus cv. Manis Terengganu 1 telah dinobatkan sebagai buah ikon negeri Terengganu pada tahun 2017. Sejajar dengan usaha kerajaan Terengganu memartabatkan buah MMT dan menjadi fokus tanaman utama negeri, maka UMT telah mengambil inisiatif dengan mengembangkan lagi sayap keluasan penanamannya melalui projek Empowering Marginalized Communities’ Socio-Economy Through Sustainable Cultivation of Melon Manis Terengganu.
Projek penanaman MMT oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ini adalah di bawah tajaan Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera 2020 (DPUB2020), Kementerian Ekonomi yang berperanan untuk memperkasa agenda ekonomi dan sosioekonomi bumiputera di dalam pembangunan negara. Melalui dana ini, UMT telah membina 17 unit rumah pelindung hujan yang lengkap dengan sistem fertigasi pada tanah berkeluasan 1.5 ekar bagi menampung 6500 polibeg di Kampus UMT, Bukit Kor Marang. Bersesuaian dengan lokasinya yang terletak di kawasan tinggi di Terengganu, maka ia dikenali sebagai Melon Highland yang memfokuskan kepada pengeluaran MMT berkualiti tinggi.
Menurut Ketua Projek Bahagian Agro Dana DPUB2020, Prof. Madya Ts. Dr. Wan Zaliha Wan Sembok, Projek pemindahan ilmu itu melibatkan enam orang peserta projek yang terdiri daripada golongan B40 dan digerakkan pada skala kecil ketika ini sebagai penanda aras kemampuan untuk pengeluaran yang lebih besar.
”Penanaman MMT sebanyak 4000 polibeg telah dimulakan pada bulan Februari 2024. Hasil yang diperolehi adalah dalam lingkungan 3 tan sahaja.
”Projek ini akan diperluaskan kepada komuniti di daerah lain seperti Kuala Nerus, Marang dan Merang sekiranya sambutan serta jualan melebihi permintaan”
Peserta Projek, Zakaria Jais ,37, menyatakan rasa gembira kerana terpilih dalam pengeluaran sulung buah MMT itu.
”Saya sangat teruja dan rasa bangga terpilih dan telah berusaha sedaya upaya untuk menjaga tanaman MMT sepanjang 3 bulan yang lalu’.
”Alhamdulillah, usaha kali ini membuahkan hasil dan telah mendapat sambutan memberangsangkan di UMT, di sekolah-sekolah sekitar kawasan ini dan juga gerai buah-buahan di sekitar Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang”.
Sementara itu, Farhgud Ismeth, 33, menghela nafas lega setelah terpiliha untuk menyertai program penanaman MMT di bawah seliaan penyelidik UMT.
”Saya telah menunggu peluang menjadi salah seorang peserta semenjak tahun 2020 dan kekal komited untuk mengubah taraf hidup saya tahap yang lebih baik”.
”Saya memang berminat dalam bidang tanaman ini dan saya sanggup berpindah dari Johor Bharu semata-mata untuk menjadi peserta di Melon Highland”.
Katanya, walaupun hasil sulung MMT Melon Highland tidak mencapai target iaitu empat tan, namun ia bukan penghalang untuk terus kekal optimis dan mencabar diri untuk hasilkan yang lebih baik.
Dr. Zaliha berkata pengeluaran sebanyak hampir tiga tan merupakan satu pencapaian yang cemerlang bagi mereka yang belum pernah menanam MMT.
”Antara cabaran besar penanaman MMT di sini adalah serangan kera dan monyet. Keperluan kepada pemasangan pagar elektrik juga akan diusahakan sebelum musim penanaman akan datang bermula.
”Penanaman MMT ini memerlukan teknik yang betul dan ia sememangnya renyah dan perlukan perhatian sepenuh masa”.
Tambahnya, sokongan yang berterusan daripada barisan pengurusan UMT menjadikan kajian pengeluaran MMT berkualiti tinggi berjaya dihasilkan.
”Saya mewakili ahli projek dan pegawai terlibat amat berterima kasih kepada barisan pengurusan UMT yang sentiasa memberi semangat dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada projek penanaman MMT Melon Highland ini serta kepada mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung yang mana ianya bermula dari satu kawasan yang penuh semak samun sehinggalah berdirinya 17 unit RPH ini.
”Hasrat murni kami adalah untuk membantu golongan yang memerlukan dalam meningkatkan taraf hidup mereka selain menambah ilmu tani yang mana mempu membuat mereka berdiri di atas kaki sendiri”. Katanya.
Dikeluarkan oleh:
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu