Penyelidik UMT raih anugerah keseluruhan dalam MPI2024

Sunday, 2/6/2024

Share This Article :

Kuala Nerus – Hasil produk ciptaan penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah berjaya memikat barisan panel juri bagi menobatkan inovasinya bertajuk Zoonutri Pre-Freed System sebagai pemenang keseluruhan dalam penganjuran Minggu Penyelidikan dan Inovasi 2024 (MPI2024) yang berlangsung pada 29 dan 30 Mei 2024 lalu.

 

Ketua penyelidik, Prof. Madya Ts. Dr. Wan Nurul Nadiah Wan Rasdi yang mempertaruhkan dua produk hasil kajian dan penyelidikannya iaitu Zoonutri Pre-Feed System dan Jelly Daphnia Cubic  bagi memberi saingan kepada 374 penyertaan terdiri daripada universiti awam, kolej swasta dan sekolah seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

 

Produk yang menerima anugerah keseluruhan MPI2024, Zoonutri Pre-Feed System yang dihasilkan beliau mampu menghasilkan zooplankton secara maksima dengan kos yang rendah.

 

“ZooNutri pre-feed system ialah sistem pengkulturan zooplankton berskala besar, yang menggunakan makanan yang difermentasi dan aliran makanan terus dari tangki makanan ke tangki pengkulturan dengan tujuan untuk memaksimumkan hasil pengeluaran zooplankton (makanan hidup) dan secara tidak langsung meminimumkan kos operasi jangka panjang di hatcheri, ladang dan nurseri.

 

Katanya yang juga pensyarah kanan di Fakulti Perikanan dan Sains Makanaan UMT itu, prinsip teras yang diaplikasinya ialah ‘sistem kultur semua-dalam-satu,’ yang terdiri daripada tangki makanan, tangki pengkulturan dan sistem penuaian.

 

“Teknik ini adalah teknik kultur inovatif baru yang diperkenalkan untuk industri akuakultur bagi membangunkan makanan hidup mereka sendiri tanpa bergantung kepada sumber semula jadi sahaja. Ia membantu meningkatkan pengeluaran zooplankton dengan meminimumkan penggunaan tangki, ruang dan masa selain boleh dikendalikan dengan tenaga kerja yang minimum, mudah untuk diurus, dituai dan dapat memenuhi permintaan sebagai makanan ikan dan larva di hatceri.

 

Menurutnya, melalui inovasi sistem penternakan zooplankton secara berskala besar, lebihan zooplankton yang dihasilkan daripada sistem itu telah dijadikan dalam bentuk Jelly Daphnia Cubic supaya lebih tahan lama dan sedia digunakan sebagai makanan ikan, udang dan juga ketam.

 

Ts. Dr. Nadiah dan ahli kumpulannya turut mempertaruhkan inovasi bertajuk Jelly Daphnia Cubic yang turut mendapat anugerah emas dalam penganjuran MPI2024.

 

Produk itu merupakan inovasi makanan ikan yang terdiri daripada gelatin dan zooplankton, iaitu Daphnia sp., dan ia boleh digunakan sebagai makanan bagi ikan juvenil sehingga dewasa dengan mudah.

 

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UMT, Prof. Chm. Dr. Marinah Mohd Ariffin menyifatkan penganjuran MPI itu sebagai pengiktirafan serta medan galakan pembudayaan inovasi di kalangan masyarakat.

 

“Melalui tema “Creative and Innovative Ideas Leading to Sustainable Development” serta kombinasi kreativiti dan inovasi para peserta, ia mampu memupuk penyelesaian secara holistik dan menangani cabaran kompleks selain menggalakkan pertumbuhan inklusif dan mencipta dunia yang lebih baik untuk generasi semasa dan akan datang”. Katanya ketika berucap sempena majlis perasmian penutup MPI2024 bertempat di Dewan Sultan Mizan UMT.

 

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UNISZA, Prof. Dr. Zuhairah Ariff Abd Ghadas dan Timbalan Rektor (Akademik & Pengantarabangsaan) UCTATI, Ts. Dr. Mohd Najib Muhamed.

 

MPI 2024 merupakan platform untuk memberi pendedahan dan pengiktirafan kepada penyelidik yang kreatif dan inovatif dalam menghasilkan produk terbaik disamping menyokong aspirasi Dasar Sains, Teknologi & Inovasi Negara dalam mewujudkan ekosistem sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) yang kondusif.

 

Disediakan oleh :

 

Amirul Salam Hasan

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

 

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu