Monday, 10/6/2024
Share This Article :
Kajian menunjukkan limpahan sampah sarap di lautan melebihi berat ikan menjelang 2050. Sisa plastik yang tercemar dan dihanyutkan ke laut akan memberi kesan buruk kepada hidupan marin dan secara tidak langsung mengganggu ekosistem alam semulajadi.
Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Azmi Nik Ahmad, pihaknya sedang mengkaji mekanisma dalam usaha menyelamatkan bumi dari terus dibelenggu masalah pembuangan sisa plastik yang semakin serius.
“Kita tengah tengok apakah satu dasar boleh dibuat. Kita sudah ada hala tuju ke arah ‘zero single use plastic’ dan juga ‘sustainable plastic road map’.
“Jadi kita nak tengok adakah boleh buat satu perundangan di peringkat nasional untuk kita kurangkan sisa plastik atau ‘Towards Zero Single Use Plastics”. Katanya ketika ditemui pemberita sempena Program Jelajah Kelestarian Alam di kampus Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini.
Pihaknya juga turut mengambil perhatian aspek pengurusan sisa pelupusan sampah yang dilakukan oleh pihak kontraktor yang tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Program jelajah Kelestarian Alam itu merupakan usaha dengan penglibatan golongan belia dalam menangani isu-isu melibatkan kelestarian alam anjuran Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dengan kerjasama Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) dan juga UMT selaku lokasi pertama siri jelajah itu.
Dalam majlis itu, Nik Nazmi turut melancarkan Pertubuhan Lautan Mampan Malaysia (SOA) yang merupakan NGO bertujuan memperkasa serta membimbing masyarakat dengan matlamat lautan bebas sampah.
Sementara itu, beliau turut bersama-sama turun padang menunjukkan tanda sokongan terhadap sekumpulan pelajar mengadakan program beach clean up bagi menzahirkan usaha dunia dalam melestarikan lautan sempena sambutan Hari lautan Sedunia yang disambut pada 8 Jun setiap tahun.
Bersempena dengan program jelajah itu, turut diadakan forum bertemakan ‘Memperkasa Generasi Pemangkin Kelestarian’ yang turut menampilkan YB Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam sebagai panel dalam memberi penerangan yang lebih baik kepada belia tentang isu semasa berkaitan kelestarian alam terutamanya melibatkan perubahan iklim dan pencemaran plastik, dasar terkini kerajaan dan peluang-peluang pekerjaan yang dijangka akan menjadi perhatian pada masa akan datang.
Disediakan oleh :
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti malaysia Terengganu