Aidiladha UMT beri pengalaman unik

Thursday, 20/6/2024

Share This Article :

Sambutan hari raya Aidiladha di kampus memberikan pengalaman yang berbeza buat pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

 

Keputusan yang diambil Nur Anis Annisa Roslan, 21, untuk kekal berada di kampus pada perayaan Aidiladha 2024 nyata pilihan tepat buatnya disaat ramai rakan-rakan pulang ke pangkuan keluarga masing-masing untuk meraikan ibadah itu secara bersama-sama.

 

Menurutnya yang juga pelajar tahun satu program Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam), dia memilih untuk mempertingkatkan kemahiran kendiri dengan menyertai program sukarelawan sempena Program Korban Perdana anjura Pusat Islam Sultan Mahmud UMT.

 

“Saya ingin menimba pengalaman baharu untuk pembangunan kemahiran insani sepanjang bergelar pelajar UMT.

 

“Keputusan bergelar sukarelawan sempena program korban perdana merupakan langkah tepat walaupun saya terpaksa meraikan sambutan Aidiladha di kampus.

 

“Pengalaman bergelar sukarelawan kali ini susah untuk saya dapat ditempat lain. Lagi pun pengalaman ini sangat unik.

 

Katanya, selain menyumbang kepada masyarakat, program itu turut membina jaringan rakan baharu dikalangan sukarelawan pelajar UMT.

 

“Hanya saya seorang daripada rakan sekelas yang jadi sukarelawan. Kebanyakan rakan-rakan sukarelawan baharu sahaja dikenali ketika program taklimat yang diadakan pihak pengurusan PISM UMT.

 

Ujarnya, program sukrelawan itu juga memberikan pengalaman baharu tentang menguruskan sesebuah program seperti pengagihan tugas, komunikasi antara peserta korban, pengagihan daging korban dan sebagainya.

 

Sementara itu, penyelaras program Korban Perdana, Ahmad Mustaffa Mohamad berkata, PISM UMT selaku penganjur Program Korban Perdana berjaya menyediakan tujuh ekor lembu bagi memenuhi permintaan peserta ibadah korban sempena sambutan perayaan Aidiladha 1445H.

 

“Program Korban Perdana merupakan acara tahunan yang dianjurkan PISM UMT sejak hampir sepuluh tahun lalu dan alhamdulillah kita mendapat sokongan baik daripada warga UMT, masyarakat setempat dan juga agensi swasta yang turut memberi sumbangan.

 

“Kita di PISM UMT sentiasa membuka ruang kepada warga UMT mahupun komuniti sekitar untuk bersama-sama melakukan ibadah korban dalam menyebarkan syiar islam.

 

Tambahnya, sebahagian daging korban akan dimasak di perkarangan Pusat Islam Sultan Mahmud UMT dan selebihnya diagihkan kepada komuniti sekitar.

 

Perayaan yang disambut umat islam seluruh dunia itu mengingatkan kembali kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyembelih anaknya Nabi Ismail kerana ketaatannya terhadap Allah SWT.

 

 

Disediakan oleh :

 

Amirul Salam Hasan

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu