NEXSUM 2024 bincang solusi terbaik tangani isu kelestarian global

Friday, 26/7/2024

Share This Article :

Kuala Nerus – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) buat julung kalinya menjadi tuan rumah bagi penganjuran persidangan antarabangsa Nexus Summit: Sustainability in a Changing World (NEXSUM 2024).

Seminar yang berlangsung selama empat hari itu disertai oleh kira-kira 100 peserta dari dalam dan luar negara termasuk Taiwan, China, Russia dan lain-lain.

NEXSUM 2024 mengangkat isu global yang menjadi tumpuan utama dunia seperti pelepasan karbon, alam sekitar, kecukupan makanan, tenaga dan perubahan iklim. 

 

Pengerusi NEXSUM 2024, Prof. Dr. Ikhwan Abdullah menyifatkan penganjuran itu sebagai usaha UMT dalam membawa peranan negara ke arah kelestarian global.

 

“Peserta terdiri daripada ahli akademik, pakar industri dan pembuat dasar dari pelbagai negara, menjadikan persidangan ini satu platform penting untuk pertukaran idea dan pengetahuan”. Katanya ketika ditemui usai Majlis perasmian pembukaan NEXSUM Summit 2024 di kampus UMT, Gong Badak.

 

Beliau yang juga Pengarah Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP UMT) berkata, antara topik yang dibincangkan termasuklah strategi pengurangan pelepasan karbon, teknologi hijau dan pendekatan inovatif untuk memastikan kecukupan makanan kesan daripada perubahan iklim global.

 

“Selain itu, akan ada sesi yang membincangkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan bagaimana tindakan atau kaedah terbaik serta peluang kerjasama merentasi negara untuk mencapai matlamat kelestarian alam sekitar.

 

Tambahnya, persidangan itu membuka peluang luas kepada akademia dalam mengembangkan potensi kajian dan penyelidikan selain percambahan idea-idea baharu yang turut dikongsi oleh rakan penyelidik dari luar negara.

 

Sementara itu, Dr. Mikhail Kurushkin, Dekan Fakulti Biotechnology ITMO University, Rusia antara peserta NEXSUM 2024.

“Saya berbesar hati untuk menyertai NEXSUM 2024 sebagai penceramah pleno mengenai topik yang berkaitan dengan pendidikan dan bagaimana pendidikan sebenarnya boleh membantu kita untuk mewujudkan kemampanan sejagat tanpa mengira bidang yang anda ceburi sama ada bioteknologi marin, sama ada biodiversiti dan lain-lain.

“Universiti yang hebat ini, UMT saya tahu bahawa ia adalah universiti yang sangat penting bagi Malaysia kerana ia mempunyai pendekatan yang berbeza untuk meramalkan lautan serta menyelamatkan pelbagai jenis spesies lautan dan itulah sebabnya kita perlu menjadikan universiti ini lebih terkenal, malah lebih terkenal”. Katanya.

 

NEXSUM 2024 merupakan platform yang memberi bermanfaat dalam mencari solusi baharu dalam usaha untuk melindungi alam sekitar di peringkat global.

 

Disediakan oleh :

 

Amirul Salam Hasan

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

 

Dikeluarkan oleh:

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu