Isnin, 23/9/2024
Share This Article :
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus mengukuhkan peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang prihatin terhadap kebajikan pelajarnya, khususnya dalam kalangan mereka yang kurang berkemampuan.
Melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), UMT telah melancarkan satu inisiatif khas yang dinamakan Program Bingkas Kasih.
Inisiatif murni yang dilancarkan itu bertujuan membantu para pelajar baharu daripada kategori B40 dalam merealisasikan impian mereka untuk melanjutkan pengajian di peringkat universiti.
Program itu sejajar dengan nic UMT sebagai universiti yang menerajui kecemerlangan dalam bidang kelautan dan sumber akuatik tetapi tidak melupakan aspek kemanusiaan khususnya dalam menyokong pelajar-pelajar yang menghadapi cabaran kewangan. Dengan penyelidikan bertaraf antarabangsa dan kecemerlangan dalam bidang pengajian, UMT memastikan pelajar dari pelbagai latar belakang mendapat peluang yang sama untuk mencipta kejayaan.
“Alhamdulillah, hari ini kita dapat bersama-sama menyantuni pelajar-pelajar yang memerlukan melalui inisiatif Bingkas Kasih yang merupakan satu usaha murni Universiti Malaysia Terengganu untuk membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan. Bantuan kewangan dan barangan asas ini diharap dapat meringankan beban saudara-saudari dan keluarga serta menjadi pemangkin semangat untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik. Ingatlah, pendidikan adalah jalan terbaik untuk mengubah nasib diri dan keluarga. UMT sentiasa komited dalam memastikan tiada pelajar yang tercicir dan kami di sini akan sentiasa menyokong perjalanan pelajar-pelajar untuk menuju kejayaan”. Kata Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim semasa sesi ziarah program Bingkas Kasih baru-baru ini.
Turut hadir ke program Bingkas Kasih ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain, Ketua Pentadbiran HEPA UMT, Fadli Mamat serta pegawai-pegawai HEPA UMT.
Sementara itu, penerima manfaat program Bingkas Kasih, Hanisah Suryadi,19, pelajar Sarjana Muda Teknologi Alam Sekitar, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan zahir rasa syukur atas bantuan serta inisiatif yang dilaksanakan pihak UMT.
“Terima kasih tidak terhingga buat pengurusan UMT atas sokongan serta bantuan yang diberikan untuk saya lebih bersemangat meneruskan perjuangan di universiti demi mengubah nasib keluarga”
Menurutnya, keluarganya yang menetap di ibu kota serta memiliki ahli yang ramai memerlukan perbelanjaan besar dan secara tidak langsung meletakkan keluarga tersebut menghadapi cabaran kewangan serius.
“Ditambah pula kedua-dua ibu bapa saya sudah lanjut usia dan tidak bekerja selain tiga adik-beradik masih bersekolah turut memberi tekanan buat kami sekeluarga”.
Mengulas lanjut, Profesor Ts. Dr. Mohd Zamri turut menekankan kepentingan para pelajar untuk terlibat aktif dalam pelbagai aktiviti kampus bagi mengasah serta mengembangkan potensi diri.
“Inisiatif Bingkas Kasih bukan sahaja menawarkan bantuan kewangan tetapi turut memberi sokongan moral kepada pelajar yang memerlukan. Sokongan ini hadir melalui pelbagai bantuan seperti biasiswa, Bantuan Dana Siswa serta Bantuan Khas Sara Hidup yang telah lama menjadi amalan di UMT”.
Langkah proaktif itu mencerminkan komitmen UMT dalam menyahut saranan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir yang menggesa institusi pendidikan tinggi untuk memastikan pelajar daripada kategori B40 dan asnaf tidak tercicir dalam mendapatkan akses ke universiti.
Program Bingkas Kasih itu seiring dengan inisiatif Yayasan Perkasa Siswa yang telah dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi awal September lalu.
Dalam masa yang sama, UMT terus mengekalkan reputasinya sebagai institusi penyelidikan yang unggul di pantai timur disamping mengutamakan aspek kebajikan dan kecemerlangan pelajar bukan sahaja membangunkan minda pelajar melalui akademik tetapi juga membantu mereka untuk menghadapi cabaran kehidupan seharian.
Secara tidak langsung, ia menjadikan UMT bukan sekadar universiti, tetapi juga institusi yang komited terhadap pembentukan masa depan anak bangsa terutama dari kalangan mereka yang kurang bernasib baik.
Tegas Prof. Dr. Mohd Zamri, dengan sokongan dan kerjasama erat daripada semua pihak, UMT berusaha memastikan setiap pelajar mempunyai peluang yang sama untuk berjaya sekaligus merealisasikan visi universiti untuk terus unggul di persada pendidikan dan penyelidikan global.
Disediakan oleh :
Amirul Salam Hasan
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu
Dikeluarkan oleh :
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu