Monday, 30/9/2024
Share This Article :
Inisiatif Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) membentuk kampung Angkat di sekitar Terengganu merupakan satu inisiatif yang menarik dalam usaha membantu komuniti meningkatkan taraf sosioekonomi, peningkatan pengetahuan dan pemantapan elemen kepimpinan, kesedaran berkenaan kepentingan penjagaan alam sekitar, pemantapan kemahiran pelayaran serta mengakar umbikan program kebudayaan kepada komuniti terlibat.
Menurut Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor HEPA, Program Komuniti Kampung Angkat HEPA juga memberikan penekanan terhadap memenuhi keperluan “Sustainable Development Goal” (SDG) seperti Bebas Kemiskinan, Pendidikan Berkualiti, Kehidupan di Darat dan lain-lain yang berkaitan.
Pada tahun ini, Program Komuniti Kampung Angkat HEPA telah dan sedang dilaksanakan melibat lima (5) buah kampung melalui Pusat Tanggungjawab di bawah Pejabat HEPA. Kampung angkat terlibat adalah sekitar Terengganu iaitu Pulau Duyung, Kuala Terengganu bagi menekankan Program Pelayaran dan diletakkan di bawah Pusat Latihan Pelayaran UMT. Manakala Kampung Matang, Hulu Terengganu pula di bawah pimpinan Pusat Kaunseling dan Kesejahteraan Mahasiswa yang menekankan kepada program kepimpinan. Selain daripada itu, Pejabat Hal Ehwal Pelajar pula menjadikan Kampung Mangkuk, Setiu sebagai Program Konservasi Hijau dan Pusat Pembangunan dan Pemerkasaan Mahasiswa, Kampung Mengabang Lekor, Kuala Nerus dalam Program Sosioekonomi. Manakala Pusat Kebudayaan dan Kesenian Menjadikan Kampung Tok Jembal sebagai perkembangan Program Budaya.
Tambah Profesor Dr. Mohd Izani antara objektif Program Komuniti Kampung Angkat HEPA 2024 adalah bertujuan untuk pembangunan kendiri komuniti serta mengeratkan hubungan sosial antara universiti dan komuniti di samping memperkukuhkan jalinan kerjasama melalui program kemasyarakatan.
Selari dengan hasrat YBM Pendidikan Tinggi Malaysia yang mahu institusi tidak terisolasi daripada persekitaran masyarakat setempat dan lingkungan alam yang mengelilinginya, program ini menumpukan kepada landasan membantu komuniti dalam penyelesaian masalah atau isu seperti keseimbangan sosioekonomi, peningkatan kepada pengetahuan dan pemantapan elemen kepimpinan, kesedaran berkenaan kepentingan penjagaan alam sekitar dan kesan kepada komuniti, pemantapan kemahiran pelayaran serta mengakar umbikan program kebudayaan kepada komuniti yang terlibat.
Dalam memperkasakan hubungan universiti dan komuniti, HEPA melalui Pusat Latihan Pelayaran, Pusat Kaunseling dan Kesejahteraan Mahasiswa, Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Pusat Pembangunan dan Pemerkasaan Mahasiswa dan Pusat Kebudayaan dan Kesenian akan menjadi perantara dalam memberikan faedah kepada komuniti yang terlibat.
Sebagai contoh, pelaksanaan bengkel pembuatan model bot dan kapal layar kepada Komuniti Kampung Pulau Duyung, Pemindahan ilmu melalui teori kaunseling kepada pelajar sekolah, pemindahan ilmu berkenaan ekosistem pokok Gelam dari pelaksanaan penanaman hinggalah kepada proses pengekstakan pati minyak pokok Gelam, Pemindahan ilmu berkaitan teknologi terkini penangkapan ikan (teknologi bubu) dan Pemindahan ilmu dalam aspek citra kebudayaan tempatan iaitu Gamelan kepada pelajar sekolah.
Kesemua aktiviti yang dilaksanakan adalah memenuhi matlamat pembangunan mampan atau Sustainable Development Goal (SDG) akan diberikan penekanan secara holistik supaya impak pelaksanaan program yang dilaksana adalah bersifat jangka panjang yang akan memberikan faedah berterusan kepada komuniti yang terlibat.
Malah melalui pendedahan dan pemindahan ilmu yang berterusan juga, akan membantu komuniti untuk keluar daripada kepompong asal, malahan mereka berkesempatan untuk mengembangkan bakat yang ada dalam peningkatan taraf hidup.
“Universiti untuk komuniti” bertepatan dengan slogan yang digunakan UMT dalam mendekati komuniti setempat dalam mengubah taraf hidup mereka.
Disediakan Oleh:
Rozita binti Alias @ Abdul Latiff
Dikeluarkan oleh:
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu