UMT terima 2,060 pelajar baharu

Wednesday, 2/10/2024

Share This Article :

Kuala Nerus, 1 Oktober 2024 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyambut kedatangan 2,060 pelajar baharu yang mendaftar bagi program Ijazah Sarjana Muda bagi sesi akademik 2024/2025.

 

Pendaftaran itu melibatkan pelbagai latar belakang pelajar dari seluruh Malaysia termasuk empat pelajar Orang Asli yang berjaya melanjutkan pengajian di UMT.

 

Lebih menarik seorang pelajar baharu yang datang bersendirian sehari lebih awal daripada kumpulan lain atas faktor kewangan.

 

Tracey Francis, 20,  pelajar program Sarjana Muda Sains Biologi yang berasal dari Baram, Sarawak memilih penerbangan lebih awal kerana ingin mendapatkan harga tiket yang agak rendah berbanding tarikh lain.

 

“Saya hanya datang seorang diri untuk mendaftar hari ini. Saya sampai awal sehari (semalam) kerana mahu ambil tiket yang murah”.

 

Anak kepada penyelia kilang sawit itu menunjukkan iltizam yang tinggi untuk meneruskan pengajian di UMT demi masa depan yang lebih baik.

 

Turut menjadi perhatian sepanjang sesi pendaftaran fizikal yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan UMT iaitu kelibat seorang pelajar yang paling berusia.

 

Di samping itu, terdapat seorang lagi pelajar yang menarik perhatian ramai iaitu pelajar paling tua yang mendaftar untuk sesi kali ini.

 

Mohd Azamuddin Mat Yaman berusia 38 tahun berasal dari Kg. Bukit Tok Hat, Setiu, berjaya mengikuti program Sarjana Muda Sains Komputer (Komputeran Mudah Alih).

 

Menurut bapa dua orang anak yang berusia 9 dan 10 tahun itu, tawaran yang diterima daripada UMT sangat mengujakan.

 

“Selepas lebih 10 tahun tamat pengajian diploma, keinginan untuk mengembangkan kerjaya dan minat dalam bidang teknologi telah mendorong saya untuk meneruskan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda. Ditambah dengan Sokongan keluarga serta dorongan daripada persekitaran kerja menjadi faktor penting untuk melanjutkan pengajian selama 3 tahun 6 bulan di UMT.

 

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain mengucapkan tahniah dan syabas kepada para pelajar baharu yang berjaya menjadi sebahagian warga kampus UMT.

 

“Tahniah dan syabas kepada semua pelajar baharu. Terus bertekad dalam perjuangan akademik di UMT demi masa depan yang cemerlang”. Katanya dalam ucapan rasmi semasa sesi pendaftaran.

 

UMT turut mencatatkan kecemerlangan di peringkat global dalam pelbagai bidang termasuk penyelidikan marin, sains dan sekitaran serta teknologi. UMT kini tersenarai dalam penarafan universiti terbaik asia mencerminkan dedikasi universiti dalam menyumbang kepada pembangunan dan inovasi global.