Kerjasama UMT, MFPC hasil graduan berkelulusan profesional kewangan

Ahad, 27/10/2024

Share This Article :

KUALA NERUS, 27 Oktober – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Program Sarjana Muda Kewangan dengan Kepujian (SM Kewangan), Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FPEPS) telah menjalinkan kerjasama dengan Malaysian Financial Planning Council (MFPC) melalui pemeteraian MoA, yang antara lainnya, memberi peluang kepada UMT untuk menawarkan kursus-kursus akademik yang diiktiraf dan mendapat pengecualian bagi modul-modul untuk kelayakan sijil profesional kewangan Registered Financial Planner (RFP) oleh MFPC.

 

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dan menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Malaysia Terengganu, Profesor ChM. Dr. Marinah Mohd Ariffin berkata kerjasama itu memberi peluang kepada pelajar-pelajar UMT khususnya program Sarjana Muda Kewangan untuk bergraduat dengan memiliki sijil profesional tersebut.

 

“Ia memberi nilai tambah kepada bakal graduan yang mengikuti program ini dan secara tidak langsung meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan UMT”.

 

Menurutnya, terdapat enam kursus wajib untuk pelajar program Sarjana Muda Kewangan yang mendapat pengecualian Module 1–6 RFP.

 

“Manakala Module 7 (module terakhir) pula akan diambil oleh pelajar sebelum bergraduat dan dicadang ketika pelajar berada di UMT pada semester ke lima pengajian”

 

Katanya, pihak UMT akan menguruskan kelas persediaan untuk Module 7 tersebut. 

 

Melalui kerjasama strategik itu, pelajar-pelajar juga berpeluang mengikuti latihan industri di firma-firma kewangan berlesen yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menerusi program Financial Planning Internship Programme.

 

Menerusi MoA UMT-MFPC itu, tambah Dr. Marinah, UMT berpeluang menjadi education provider bagi kursus-kursus RFP dan Shariah RFP.

“Dengan ini, UMT dapat menawarkan kursus-kursus ini secara stand-alone kepada kawasan sekitar, khususnya di Pantai Timur”. Katanya.

 

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Komunikasi Korporat 

Universiti Malaysia Terengganu