Thursday, 06/11/2025
Share This Article :
KUALA TERENGGANU, 2 November 2025 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi berteraskan komuniti apabila melancarkan Program Sekolah Angkat MADANI (SAM) bersama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nilam, Kuala Terengganu, hari ini.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Ab Rahim bin Ab Rahman, Pengarah Belanjawan Negara merangkap Ahli Lembaga Pengarah UMT, yang turut menyatakan sokongan terhadap usaha memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah melalui platform pembangunan pendidikan inklusif.
Dato’ Sri Ab Rahim dalam ucapan peluncuran menyeru agar pihak sekolah meneruskan hubungan rapat dengan pihak universiti sebagai rakan strategik yang bukan sahaja berkongsi kepakaran, tetapi turut membimbing warga sekolah ke arah kecemerlangan melalui ilmu, teknologi, penyelidikan, latihan, dan inovasi
“Alhamdulillah hasil daripada perancangan yang tersusun dan berfokus di antara UMT, Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Terengganu dan pihak sekolah, kesemua skop projek telah selesai dilaksanakan dengan jayanya.
“Sekaligus berjaya menyahut usaha memperkukuh sistem pendidikan negara melalui pendekatan berteraskan nilai Ihsan, Kesejahteraan, dan Keterangkuman, sejajar dengan prinsip Malaysia MADANI”. Ujarnya semasa ucapan peluncuran SAM.
Sementara itu Naib Canselor UMT, Profesor Ir. Ts. Dr. Zamri bin Ibrahim, dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) atas kepercayaan yang diberikan kepada UMT sebagai agensi pelaksana program tersebut.
“Program ini sejajar dengan agenda Reformasi Perkhidmatan Awam yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri, bagi memperkukuh hubungan universiti dan masyarakat melalui sistem pendidikan yang cekap, berkesan dan berimpak tinggi,” ujar beliau.
Menurut Profesor Zamri, UMT menerima peruntukan sebanyak RM100,000 daripada MOF pada Mei lalu bagi melaksanakan program tersebut sehingga Disember 2025. SMK Seri Nilam, atau lebih dikenali sebagai SeNILAM, dipilih sebagai sekolah angkat bagi pelaksanaan lima komponen utama yang meliputi peningkatan akademik dan motivasi pelajar, latihan pembangunan profesional guru, penambahbaikan kemudahan pembelajaran untuk pelajar pendidikan khas, Penyelenggaraan fasiliti sekolah serta aktiviti keceriaan dan landskap sekolah.
Beliau memaklumkan bahawa semua komponen berkenaan telah dilaksanakan sepenuhnya dengan kadar pencapaian 100 peratus, melibatkan perbelanjaan dan hasil impak yang diukur secara menyeluruh.
Dalam memperkukuh keberkesanan program, UMT turut melaksanakan inisiatif tambahan melalui Service Learning Malaysia, University for Society (SULAM) dan Knowledge & Technology Assimilation Grant Scheme (KTAGS) yang memberi pendedahan kepada pelajar SeNILAM dalam bidang sains dan teknologi.
Selain itu, para pensyarah UMT turut mengadakan program motivasi, bengkel ilmu, dan lawatan akademik, selain menyumbang aset terpakai dan kemudahan universiti bagi kegunaan pihak sekolah.
“Secara keseluruhannya, pelaksanaan program ini melibatkan sumbangan melebihi RM100,000, merangkumi bantuan kewangan dan sumbangan in-kind. Ia membuktikan komitmen UMT terhadap agenda Universiti untuk Masyarakat, selaras dengan semangat ‘Kebersamaan UMT’,” tambahnya.
Profesor Zamri turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program berkenaan serta menyatakan keyakinan bahawa kerjasama strategik antara universiti, sekolah dan komuniti akan menjadikan SMK Seri Nilam sebagai model sekolah cemerlang dalam melahirkan pelajar berilmu, berakhlak dan berwawasan.
Majlis pelancaran turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pengurusan Sekolah) Negeri Terengganu, Ketua Penolong Pengarah Kanan Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu (PPPNT), Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu, wakil Serada Realty Sdn. Bhd., warga sekolah serta para jemputan.
Kehadiran pelbagai agensi dan rakan strategik dalam majlis ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh jaringan kerjasama ke arah pembangunan insan MADANI yang holistik, seimbang dan berdaya saing.
Dikeluarkan oleh:
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu