Ahad, 30/11/2025
Share This Article :
Oleh Profesor Dr. Yusliza Mohd Yusoff
KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memantapkan agenda pengantarabangsaan melalui penerimaan seramai 44 pelajar Universitas Mercu Buana (UMB), Indonesia bagi Program Mobiliti Inbound yang dilaksanakan di bawah kerjasama strategik dua fakulti dari Malaysia dan Indonesia.
Program anjuran Fakulti Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FPEPS), UMT bersama Fakultas Ekonomi dan Bisnis (FEB), UMB itu bertujuan membuka ruang pembelajaran merentas sempadan, memperluas pemahaman pelajar terhadap isu ekonomi serantau serta menggalakkan pertukaran kepakaran dan budaya antara kedua-dua negara.
Dekan FPEPS, Prof. Madya Dr. Nazli Aziz berkata program mobiliti itu merupakan platform penting dalam memperkukuh hubungan akademik serantau selain meningkatkan keupayaan penyelidikan antara UMT dan UMB.
“Kolaborasi akademik serantau memberi peluang besar untuk memperluas jaringan ilmu serta membuka ruang kepada penyelidikan bersama. Melalui interaksi dan penglibatan bersama pensyarah serta penyelidik UMT, pelajar dapat memahami cabaran semasa dan meneroka idea baharu dengan lebih mendalam” katanya.
Sebagai sebahagian daripada komponen akademik utama, para pelajar turut mengikuti bengkel “Turning Data into Discovery: Research Skills Workshop”yang dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Abdul Hafaz Ngah.
Wakil UMB, Prof. Madya Lenny Christina Nawangsari menyifatkan UMT sebagai rakan kongsi akademik yang komited menyediakan pengalaman pembelajaran berkualiti melangkaui bilik kuliah.
“Kerjasama dengan UMT bukan sekadar pengisian akademik, tetapi turut membuka ruang kepada pelajar untuk memahami budaya, nilai masyarakat dan konteks pembangunan Malaysia. Ini sangat penting dalam membentuk pelajar yang lebih terbuka, matang dan berdaya saing,” katanya.
Selain menghadiri sesi kuliah dan bengkel, pelajar UMB turut menyertai aktiviti khidmat komuniti, lawatan sekitar Terengganu dan sesi interaksi bersama pelajar UMT sekali gus memperkukuh hubungan dua hala antara komuniti kampus Malaysia–Indonesia.
Jalinan strategik antara dua universiti itu membuktikan komitmen UMT dalam memperkukuh hubungan antarabangsa serta memperluas peluang pembelajaran untuk melahirkan graduan berdaya saing global seiring aspirasi universiti
Tambah Prof. Madya Dr. Nazli Aziz, kolaborasi UMT dan UMB dijangka diperluaskan melalui penyelidikan bersama, penganjuran seminar dua hala, pembangunan modul akademik serta pertukaran staf akademik pada masa akan datang.
Dikeluarkan oleh :
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu