UMT, Nestlé Malaysia agih 300 bakul Ramadan, 1,200 bekas bubur lambuk
Rabu, 24/2/2026
Share This Article :
KUALA NERUS, 23 Feb 2026 — Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meneruskan jalinan kerjasama strategik bersama Nestlé Malaysia menerusi penganjuran program Kongsi Rezeki Ramadan yang memberi manfaat kepada warga kampus dan komuniti setempat, khususnya golongan memerlukan.
Program bersifat tanggungjawab sosial korporat itu menyaksikan pengagihan sebanyak 1,200 bekas bubur lambuk serta 300 Bakul Ramadan kepada pelajar asnaf, kakitangan universiti yang memerlukan dan keluarga kurang berkemampuan di sekitar kampus.
Teks ucapan Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim yang dibacakan oleh Pro Naib Canselor (Jaringan Industri, Masyarakat dan Digital), Prof. Ts. Dr. Noor Maizura Mohd Noor berkata penganjuran kali kedua program berkenaan membuktikan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkukuh hubungan institusi pengajian tinggi dan industri.
“Program ini bukan sahaja menyemarakkan nilai kesyukuran dan keprihatinan sepanjang Ramadan, malah menjadi platform untuk memperluas ruang kerjasama strategik termasuk latihan industri, tajaan penyelidikan dan pembangunan bakat mahasiswa,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Nestlé Malaysia atas sumbangan 300 Bakul Ramadan yang mengandungi pelbagai produk makanan serta tajaan juadah berbuka puasa kepada para hadirin melalui jalinan kerjasama Pusat Ihsan UMT.
Sementara itu, aktiviti gotong-royong penyediaan bubur lambuk melibatkan penyertaan pelajar, staf universiti dan komuniti setempat sekali gus mengukuhkan semangat kesukarelawanan dan kebersamaan dalam kalangan warga kampus.
Penerima sumbangan, Nur Masliza binti Ab Aziz, 21, pelajar Sarjana Muda Perakaunan Dengan Kepujian berkata bantuan itu amat bermakna dalam meringankan beban perbelanjaan sepanjang Ramadan.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan ini. Ia sedikit sebanyak membantu mengurangkan kos perbelanjaan harian di bulan Ramadan,” katanya.
UMT memaklumkan bahawa kerjasama universiti itu bersama Nestlé Malaysia akan terus diperkukuh menerusi pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan mahasiswa pada masa hadapan.
Â
Dikeluarkan oleh :
Â
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu