UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Nilai Integriti membentuk tamadun manusia yang memiliki moral dan kepimpinan yang baik

Nilai Integriti membentuk tamadun manusia yang memiliki moral dan kepimpinan yang baik

Monday, 04/12/2023

Share This Article :

Nilai integriti adalah aspek yang penting dalam membentuk personaliti dan kepimpinan seseorang. Integriti merangkumi kesetiaan kepada nilai-nilai moral, ketelusan dan kejujuran dalam segala tindakan. Apabila nilai integriti diaplikasikan dalam kehidupan individu, ia memberi impak positif terhadap perkembangan tamadun manusia dengan memperkukuhkan moral dan membentuk pemimpin yang cemerlang.

Utamanya, nilai integriti membentuk dasar moral dalam diri individu. Melalui amalan nilai-nilai moral seperti kejujuran, keadilan dan kebajikan, seseorang dapat mencapai keseimbangan dalam kehidupan. Integriti menyuburkan daya keinsanan dan empati terhadap sesama manusia, membentuk masyarakat yang berteraskan kasih sayang dan keadilan. Dengan kekuatan moral yang kukuh, sebuah tamadun dapat berkembang secara harmoni dan mampan.

Selain itu, nilai integriti membantu membentuk kepimpinan yang jujur dan adil. Seorang pemimpin yang mempraktikkan integriti akan menjadi contoh yang baik untuk diikuti oleh orang di sekelilingnya. Ketelusan dalam membuat keputusan, kejujuran dalam berkomunikasi dan kesanggupan untuk mengakui kesilapan adalah sifat-sifat yang memberi daya kredibiliti kepada pemimpin. Pemimpin yang bermoral tinggi mampu menyatukan masyarakat, memimpin dengan teladan dan mencipta persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan bersama.

Penerapan nilai integriti juga membawa kepada pembentukan sistem nilai yang kukuh dalam sebuah masyarakat. Apabila nilai-nilai integriti ditekankan dalam pelbagai aspek melibatkan masyarakat, ia menjadi landasan kepada keadilan dan kesaksamaan. Ini memberi peluang kepada setiap individu untuk berkembang mengikut potensi masing-masing tanpa mengira latar belakang atau kedudukan sosial. Dengan adanya sistem nilai yang teguh, masyarakat khususnya rakyat Malaysia dapat mengharungi cabaran dengan penuh keyakinan dan kesatuan.

Nilai integriti berupaya merangsang inovasi dan pembangunan yang mampan. Individu yang berpegang teguh kepada nilai integriti cenderung untuk mencari penyelesaian yang adil dan mampan dalam menangani cabaran sosial dan ekonomi. Ia juga mendorong kepada pemikiran kreatif, kerjasama dan keberanian untuk melakukan perubahan yang diperlukan demi kesejahteraan bersama. Inovasi yang berteraskan nilai-nilai integriti dapat membawa kepada pembangunan yang berkekalan dan memberikan kesejahteraan kepada masyarakat mahupun menyumbang kepada kelestarian alam.

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan dalam usaha menerapkan nilai integriti dalam masyarakat. Penganjuran siri jerayawara merupakan medan terbaik dalam mempromosikan kepentingan nilai integriti dalam masyarakat khususnya melibatkan mahasiswa. Universiti Awam, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melihat nilai integriti perlu dipupuk dan di semai dalam jiwa mahasiswa. Bersempena dengan Hari Integriti yang disambut November lalu, UMT mengambil peluang itu menyemarakkan lagi ‘perayaan’ itu dengan menganjurkan Program Sambutan Hari Integriti Peringkat UMT. Melalui pengisian aktiviti serta pertandingan seperti pertandingan video Tiktok, pertandingan poster bertemakan integriti, Larian Integriti dan pertandingan fotografi, usaha itu mampu menarik minat pelbagai lapisan masyarakat untuk lebih mendalami aspek nilai integriti dan diterapkan dalam diri setiap individu.

Melahirkan pemimpin yang mempunyai nilai integriti tinggi suatu cabaran besar masa kini dengan pelbagai pengaruh luar serta nilai kebendaan dijadikan kayu ukur dalam menilai seseorang menambahkan lagi faktor yang menggugat nilai integriti.

Secara tuntasnya, penerapan nilai integriti dalam individu adalah penting untuk membentuk tamadun manusia yang memiliki moral dan kepimpinan yang baik. Melalui penekanan nilai-nilai moral, pembentukan kepimpinan yang cemerlang, pembentukan sistem nilai yang kukuh dan merangsang inovasi, nilai integriti menjadi tiang utama dalam pembangunan masyarakat yang adil, berdaya maju, dan berlandaskan nilai-nilai kemanusiaan. Oleh itu, pendidikan dan kesedaran mengenai nilai integriti perlu diperkukuhkan untuk menjamin kelestarian tamadun manusia yang luhur dan beretika.