UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

R-38 penemuan baharu penyelidik, ramuan herba terbaik rawat sakit sendi

R-38 penemuan baharu penyelidik, ramuan herba terbaik rawat sakit sendi

Thursday, 27/01/2022

Share This Article :

Kajian secara saintifik yang telah dijalankan keatas satu ramuan herba yang dinamakan R-38 didapati mempunyai sifat-sifat terapeutik yang boleh membantu melegakan masalah berkaitan dengan sakit yang sering terjadi dibahagian sendi terutama pada tangan, kaki, lutut dan lain-lain sendi tubuh. Antara kesakitan yang dialami adalah akibat dari bengkak, keradangan, rasa tegang dan ketat, rasa panas dan menyucuk. Pengumpulan garam asid urik pada sendi, pengurangan cecair sendi, penipisan dan haus tulang adalah punca utama sakit bahagian sendi yang sering dihidapi oleh ramai orang.

 

Ramuan R-38 adalah seratus peratus herba. Prof Dr Fadzilah Adibah menekankan kawalan kualiti dalam penghasilan ubatan herba khususnya kaedah tradisional. Hanya herba terbaik dipilih dan diproses dengan teliti untuk memastikan keaslian, kebersihan dan mutu produk R-38.

 

Antara herba ubatan yang terdapat dalam produk R-38 ialah lengkuas (Alpinia galangal), misai kucing (Orthosiphon stamineus) dan temulawak (Curcuma xanthorrhiza). Kesemua herba-herba ini telah dikaji secara saintifik sebagai herba untuk masalah sendi dan arthritis. Antara hasil kajian mendapati herba-herba ini mempunyai sifat antioksidan, anti radang, analgesik dan lain-lain berkaitan arthritis. Manakala kajian pemula khusus ke atas ramuan R-38 ini juga mendapati ianya bersifat antioksidan, anti keradangan, berupaya merencat penghasilan enzim Xanthine Oxidase (XO) yang boleh menyebabkan penurunan kandungan asid urik, merencat enzim Cyclooxygenase-2 (COX-2) yang mana akan mengurangkan keradangan dan rasa sakit. Disamping itu, R-38 juga didapati berupaya menurunkan bahan biokimia penggalak keradangan tubuh iaitu Interleukin-6 (IL-6) dan Tumour Necrosis Factor Alpha (TNF-a). Penurunan dua bahan biokimia ini akan menurunkan keradangan.

 

Produk herba R-38 ini juga telah melalui kajian pasaran selama 5 tahun dan mendapat maklumbalas yang sangat baik dari pengguna. Kerjasama strategik melalui perjanjian perlesenan antara UMT dan Essentiq Pharma Sdn Bhd dijangka akan dapat memperluaskan edaran R-38 ke seluruh Malaysia dan antarabangsa.

 

Berkenaan Penyelidik:

 

Prof. Dr. Fadzilah Adibah Abdul Majid ialah seorang profesor dan penyelidik di Institut Bioteknologi Marin, Universiti Malaysia Terengganu.  Beliau mengembangkan kepakaran beliau dalam pembangunan produk ubatan dengan mengkaji pelbagai ramuan herba ubatan tradisional lebih 20 tahun. Salah satu hasil kajian kefungsian dan keberkesanan ke atas ramuan herba tersebut telah berjaya menarik minat syarikat Essentiq Pharma Sdn Bhd untuk memasarkan produk hasil kajian tersebut.

 

Untuk maklumat lanjut :

 

Prof. Dr. Fadzilah Adibah Abdul Majid

Timbalan Pengarah

Institut Bioteknologi Marin

Universiti Malaysia Terengganu

Tel : 019-7706882

Emel : f.adibah@umt.edu.my

 

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu