UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

KONVOKESYEN UMT: 2,388 GRADUAN UMT DIRAI

KONVOKESYEN UMT: 2,388 GRADUAN UMT DIRAI

Monday, 23/10/2023

Share This Article :

Seramai 2,388 graduan UMT diraikan dengan penuh istiadat dan gilang gemilang dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Kali Ke-21 yang berlangsung selama enam sesi bermula 22 hingga 24 Oktober ini.

Mereka yang diraikan terdiri daripada 196 graduan pasca siswazah yang terdiri daripada 46 graduan PHD dan 150 graduan sarjana. Manakala seramai 2,192 graduan Pra Siswazah terdiri daripada 2,081 graduan sarjana Muda dan selebihnya 111 graduan Diploma.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultanah Nur Zahirah berkenan membuka sidang pertama Majlis Konvokesyen UMT di Dewan Sultan Mizan, UMT hari ini. Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor UMT dalam titah baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada semua graduan UMT dan penerima anugerah pada majlis berkenaan.

KDYMM turut berkenan menyampaikan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Pemuliharaan dan Pengurusan Biodiversiti, Fakulti Sains dan Sekitaran Marin (FSSM) kepada Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Latiff bin Mohamad dan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan, Fakulti Pengajian Maritim (FPM) kepada Dato’ Seri (Dr.) Michael Tio.

Dalam majlis ini juga UMT turut memberi penganugerahan kepada penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Pingat Emas Canselor, Anugerah Pro Canselor, Anugerah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti dan Anugerah Naib Canselor (Terbaik Pusat Pengajian). Manakala Anugerah Khas Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Anugerah Graduan Terbaik Diploma merupakan anugerah yang julung kali diperkenalkan dalam Majlis Konvokesyen UMT.

Penganugerahan Ijazah Kehormatan Doktor Pemuliharaan dan Pengurusan Biodiversiti kepada Profesor Emeritus Dato’ Dr. Abdul Latiff Mohamad bertepatan dengan kepakaran beliau yang juga perintis dalam penyelidikan taksonomi tumbuhan tinggi dan biologi pemuliharaan. Penyelidikan beliau mengenai flora, taksonomi tumbuhan dan kepelbagaian biologi Malaysia selama hampir 40 tahun telah membawa kepada kemajuan pengetahuan yang merangkumi pemahaman sains taksonomi dan biologi pemuliharaan serta kepentingan, nilai dan faedah pemuliharaan alam sekitar di Malaysia. Malah beliau telah mengetuai pelbagai projek mengenai taksonomi tumbuhan, etnografi dan fitokimia produk semula jadi.

Manakala Dato’ Seri (Dr) Michael Tio mempunyai kepakaran dalam Pengurusan Logistik. merupakan Ketua Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan PKT Logistics Group Sdn. Bhd., syarikat penyedia perkhidmatan logistik terkemuka di Malaysia dan menyumbangkan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR). Antara usaha tanggungjawab sosial korporat yang dilaksanakan PKT Logistik Sdn. Bhd.,  telah menubuhkan Yayasan PKT yang menawarkan biasiswa dan dermasiswa kepada pelajar Malaysia yang berpencapaian tinggi sebagai sebahagian daripada usaha berterusan syarikat dalam membangunkan modal insan masa depan negara. Setiap tahun, PKT Logistics Sdn. Bhd. telah memperuntukkan RM1 juta kepada Yayasan PKT dan telah menganugerahkan RM2.4 juta biasiswa kepada lebih 400 orang pelajar dalam menyokong pendidikan tinggi mereka di dalam dan luar negara. Dalam memainkan peranan industri ke arah pemerkasaan pendidikan, beliau melalui PKT Logistics Sdn. Bhd. juga telah menjalin kerjasama dengan pelbagai institusi pendidikan tinggi awam dan swasta di dalam serta di luar negara termasuklah Universiti Malaysia Terengganu.

Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, pihaknya menganugerahkan ijazah kehormat kepada Abdul Latiff dan Michael bagi mengiktiraf sumbangan mereka dalam bidang masing-masing.

“UMT turut berbangga kerana telah menghasilkan 60 orang graduan pelajar sulung Asasi Sains, Teknologi, Engineering dan Matematik (STEM)  yang telah diperkenalkan pada tahun 2018 di dalam pelbagai Program Sarjana Muda di UMT yang turut diraikan dalam konvokesyen ini. Asasi STEM merupakan satu-satunya asasi di Malaysia yang memberi laluan kepada pelajar bukan sains tulen untuk meneruskan pembelajaran di dalam bidang STEM”. Ujarnya.

Turut sama diraikan 65 graduan sulung pengajian iaitu Sarjana Muda Pengurusan Operasi Maritim, Sarjana Muda Sains (Geosains Marin) dan Sarjana Muda Komputer (Komputer Mudah Alih).

Menariknya pada tahun ini, UMT turut memperkenalkan beberapa Program Pengajian Baharu seperti Sarjana Muda Kewangan dengan Kepujian dan Sarjana Sains Sekitaran Marin Tropika. Program-program ini ditawarkan sesuai dengan keperluan semasa dan industri.

Malah, perkara yang membanggakan pada tahun ini apabila UMT telah berjaya mencatatkan kadar kebolehpasaran tertinggi dalam tempoh lima tahun, iaitu sebanyak 88 peratus.

Pelbagai usaha dalam mempertingkatkan kebolehpasaran graduan terus dipergiatkan. Antaranya memperkukuhkan jalinan universiti dengan alumni UMT dan juga kerjasama dengan pihak industri multinasional yang terkemuka.

UMT kini sudah mula membina nama dan berada dalam landasan yang selari dengan bidang tujahan utama UMT sebagai universiti terfokus dalam bidang Ilmu Kelautan dan Sumber Akuatik bersesuaian dengan slogan universiti iaitu Terokaan Seluas Lautan demi Kelestarian Sejagat.

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu