UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

PROJEK INOVASI UNJAM UMT TINGKAT HASIL PENDAPATAN NELAYAN TEMPATAN

PROJEK INOVASI UNJAM UMT TINGKAT HASIL PENDAPATAN NELAYAN TEMPATAN

Monday, 28/08/2023

Share This Article :

Kuala Terengganu, 27 Ogos 2023 – Selari dengan misi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) iaitu “Menjana Ilmu Untuk Kesejahteraan Masyarakat dan Kelestarian Alam” serta geografi UMT yang terletak berhampiran Laut China Selatan menjadikan fokus utama universiti untuk menyumbang transformasi masyarakat ke arah pembangunan sosial dan ekonomi yang lebih mampan melalui projek pemindahan ilmu berimpak.

 

Profesor Dato` Dr. Mazlan bin Abd Ghaffar, Naib Canselor UMT berkata menyedari isu keterjaminan makanan yang menjadi tumpuan negara pada waktu ini, UMT melaksanakan Projek Inovasi Unjam untuk meningkatkan pendapatan dan kelestarian sumber perikanan di Pantai Batu Rakit, Terengganu sebagai salah satu usaha untuk memberi jaminan terhadap bekalan makanan.

 

Tambahnya nya, kira-kira 100 unjam yang dilabuhkan di perairan pantai Tok Jembal akan membantu memperkaya sumber perikanan, menjadi lubuk rezeki kepada 2,500 nelayan sekitar dengan pertambahan jumlah tangkapan ikan, mengekalkan hidupan biodiversiti serta membolehkan hidupan lain seperti karang untuk membiak.

 

Inovasi unjam yang diperkenalkan oleh pasukan UMT diketuai Dr. Fazrul Hisam Abd Aziz menggunakan daun kelapa dan daun teja yang boleh diganti selepas beberapa bulan dilabuhkan dan dalam masa yang sama pemberat yang diperbuat daripada gegelung kontrik di bahagian bawah menjadi perumah atau mini tukun kekal di dasar laut. Pemberat ini akan bertindak sebagai perumah ikan dasar dan mengurangkan impak pencerobohan pukat tunda.

 

“Berbanding unjam sedia ada, kaedah yang digunakan ialah menggunakan guni pasir atau tong plastik yang telah dipotong sebagai pemberat. Teknik ini tidak kekal lama berikutan struktur unjam akan mereput.

 

“Projek ini berupaya menarik pelbagai jenis ikan untuk berkampung seawal seminggu dan kemudiannya membiak di sekitar unjam. Usaha yang telah dilakukan oleh pihak UMT telah membantu nelayan mengatasi isu dan permasalahan kesan perubahan iklim, pencemaran laut, kawasan tangkapan yang terhad dan ekploitasi sumber perikanan yang berlebihan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab seperti bot pukat tunda”. Ujarnya.

 

Menurut Dr. Fazrul Hisam lagi hasil kajian dan soal selidik yang dijalankan kepada sekumpulan nelayan, kesukaran mereka dalam menangkap ikan berpunca daripada kemusnahan habitat perikanan. Kebanyakkan perumah ikan ini musnah kerana pencerobohan kapal pukat tunda di kawasan pesisir pantai dan sekaligus menjejaskan pendapatan seharian mereka.

Di samping itu juga, faktor semulajadi seperti perubahan suhu, peningkatan aras air laut memberi kesan yang lebih buruk kepada taburan ikan.

Katanya, kawasan pesisir pantai terutamanya pada jarak 0-8 batu nautika merupakan zon penampan. Kawasan ini dihuni oleh ikan yang bersaiz kecil, mempunyai nilai komersial yang tinggi serta ikan yang matang akan hadir secara bermusim untuk membiak dan menjadi menjadi habitat yang baharu kepada pelbagai jenis hidupan marin.

Ujarnya lagi unjam rekaannya itu berfungsi sebagai anti pukat tunda. Ianya berfungsi untuk merosakkan pukat tunda sekiranya pukat tunda menunda di kawasan unjam ini.

Profesor Dato` Dr. Mazlan turut melepaskan 20 bot membawa 100 unjam moden terbabit yang akan ditengelamkan di sekitar perairan Tok Jembal dengan penglibatan kira-kira 30 nelayan sekitar.

Projek ini mendapat suntikan dana dalaman UMT sebanyak RM20,000.00 di bawah inisiatif Knowledge and Technology Assimilation Grant Scheme (KTAGS – Projek Khas) dan Pusat Pemindahan Ilmu, Jaringan Industri dan Masyarakat (PPIJIM), UMT merupakan sekretariat bagi geran ini.

 

Dikeluarkan oleh:

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu