UMT, Yayasan PETRONAS dan ECERDC gembleng kepakaran bantu usahawan produk komuniti

Monday, 15/7/2024

Share This Article :

Pembangunan ekonomi komuniti adalah salah satu aspek penting dalam usaha untuk mengurangkan nisbah kemiskinan dan meningkatkan kualiti hidup kumpulan kurang berkemampuan. Kaedah yang berkesan untuk mencapai matlamat ini adalah dengan menyokong usahawan produk komuniti. Namun untuk memastikan keberhasilan dan keberlanjutan usaha ini, ia memerlukan gabungan kepakaran pelbagai pihak termasuk kepakaran dari institusi pengajian tinggi, terutamanya dalam aspek pembangunan produk dan strategi pemasaran.

Universiti merupakan pusat ilmu pengetahuan yang memiliki pelbagai kepakaran dalam bidang-bidang yang relevan dengan bidang perniagaan dan pemasaran. Universiti Malaysia Terengganu (UMT) umpamanya memiliki kepakaran dalam bidang pembangunan sosial, ekonomi, perniagaan, pemasaran produk selain menawarkan pelbagai perkhidmatan sokongan lain seperti teknologi dan pengurusan.

Penglibatan universiti dalam membantu usahawan produk komuniti berpotensi besar memberikan impak yang signifikan dalam meningkatkan kualiti produk dan keberkesanan strategi pemasaran. Ini seterusnya akan membantu melonjakkan prestasi jualan sekaligus meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup.

Jika diperhalusi, antara cabaran utama yang dihadapi oleh usahawan produk komuniti adalah dalam aspek pembangunan produk. Produk yang dihasilkan sering kali kurang berkualiti, tidak mempunyai reka bentuk yang menarik atau tidak memenuhi piawaian yang diperlukan untuk pasaran yang lebih luas. Ia memerlukan kepakaran dan peranan universiti bagi menambahbaik kelemahan yang terdapat pada produk dan strategi pemasaran yang digunapakai oleh usahawan komuniti.

Sebagai pelaksana bagi Program Yayasan PETRONAS empower ECER  Latihan Kemahiran Dan Keusahawanan (YPeSkill 2022-2024), UMT berjaya mengangkat perusahaan perniagaan komuniti daerah Mersing untuk mencapai pulangan lebih tiga kali ganda daripada sebelumnya.

Program yang dirangka khas itu melibatkan 169 peserta terdiri daripada komuniti Mersing pelbagai kaum termasuk orang asli yang telah menunjukkan minat mendalam dalam mengembangkan perniagaan yang diusahakan atau yang berminat untuk menjadi tenaga mahir di dalam industri minyak dan gas.

Pengarah Pusat Pemindahan Ilmu, Jaringan Industri dan Masyarakat (PPIJIM) UMT, Dr. Zuha Rosufila Abu Hassan berkata, UMT sering meletakkan masyarakat sebagai keutamaan dalam setiap aspek penyelidikan dan pembangunan untuk dimanfaatkan.

“UMT komited membantu komuniti dalam peningkatan pendapatan dan kualiti kehidupan kumpulan sasar seperti golongan berpendapatan rendah (B40), ibu tunggal dan sebaginya. Pelaksanaan projek komuniti adalah berfokus kepada pelaksanaan pantas, impak tinggi, mampu milik, memenuhi pasaran dan lestari”. Katanya ketika ditemui di Majlis Graduasi dan Apresiasi Program Yayasan Petronas-ECERDC di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Mersing baru-baru ini.

Katanya, program pembangunan usahawan komuniti itu mempunyai beberapa elemen pengukuhan perniagaan melibatkan aspek kemahiran, bimbingan, pendedahan platform digital, teknik pemasaran produk, pembungkusan produk, pengiklanan serta mendorong peserta ke arah keusahawanan yang lestari, terjamin dan progresif.

 

Majlis Graduasi dan Apresiasi Program Yayasan Petronas-ECERDC tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Haji Ashari Bin Kasnan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan) yang mewakili Setiausaha Kerajaan Johor dan turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Puan Shariah Nelly Francis serta Pengurus Besar ECERDC (Pembangunan Modal Insan), YBhg. Dato’ Wan Mohd Hasnan Abdullah.

Sementara itu, peserta program, Nurfarizan Hassan, 38, bersyukur kerana terpilih bagi mengikuti program YPeSkill yang dilaksanakan oleh UMT.

“Ia suatu yang sangat baik buat usahawan kecil seperti saya untuk mengembangkan jualan produk”. Katanya yang mengusahakan produk lemang frozen dan pes ikan bakar.

“Walaupun tinggal jauh dari lokasi kelas latihan, saya kuatkan semangat untuk hadir ke kursus yang diadakan di Bandar Mersing demi meningkatkan ekonomi keluarga. Alhamdulillah, bantuan berbentuk khidmat nasihat, tunjuk ajar, kaedah pemasaran yang betul hasil inisiatif daripada agensi seperti UMT, Yayasan Petronas, ECERDC serta jabatan-jabatan kerajaan negeri Johor dan Pusat telah membuka peluang pasaran produk saya lebih meluas dan kutipan jualan saya mencecah empat kali ganda terutamanya pada musim perayaan atau cuti sekolah”.

Berkongsi pengalaman yang sama, Noraizah a/p Anjang, 35, turut menzahirkan rasa terima kasih atas bantuan dan sokongan yang diberikan.

“Saya mahu buktikan bahawa masyarakat orang asli turut berpeluang mencipta kejayaan dalam perniagaan”.

“Terima kasih kepada semua agensi terutamanya pihak UMT, ECERDC dan Yayasan Petronas yang telah banyak membantu dalam membimbing saya mengembangkan perniagaan sambal petai. Program seperti ini sangat bagus dalam mengangkat kesejahteraan kehidupan komuniti seperti saya ke tahap yang lebih baik”.

Antara agensi yang turut terlibat dalam program pembangunan usahawan komuniti itu iaitu Pejabat Daerah Mersing, Majlis Daerah Mersing, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), PERKESO, MARA, TEKUN, AIM, Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT), KWSP dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang turut bersama menyokong pelaksanaan program tersebut.

 

Disediakan oleh :

Amirul Salam Hasan

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

 

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu