Ucapan Naib Canselor Sempena Majlis Perasmian Program Pembentukan Identiti Ekonomi Baharu Komuniti Nelayan Besut pada 22 januari 2016

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan

Salam sejahtera, Salam 1 Malaysia, Salam 1 UMT dan Salam Sehati Sejiwa.

UCAPAN PENGHARGAAN

Syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izinNYA dapat kita bersama-sama pada hari ini, berkumpul di Auditorium INOS UMT. Saya dengan berbesar hati mengalu-alukan kehadiran semua.

PROGRAM IDENTITI EKONOMI NELAYAN BESUT

Para hadirin sekalian,

Saya berasa sungguh teruja apabila dijemput untuk bersama dengan komuniti nelayan Besut dalam Program Identiti Ekonomi Nelayan Besut pada hari ini. Sebagaimana yang dimaklumkan oleh ketua projek sebelum ini, para peserta yang terdiri daripada nelayan dari Kuala Besut dan Kota Raja sangat komited dengan program yang telah dilaksanakan hampir dua tahun.

Malah turut menzahirkan impak, dari penyertaan program ini dengan menghasilkan beberapa produk yang tersendiri. Bagi saya, ini adalah salah satu indikator kepada keberkesanan program ini. Tahniah saya ucapkan para peserta tersebut. Saya amat kagum dengan Tuan/ Puan semua.

Sungguhpun program ini hanya mengambil masa dua tahun, penghasilan produk tertentu, yang dijangkakan dapat memberi impak langsung kepada taraf hidup, melalui peningkatan pendapatan, boleh menjadi satu model untuk diimplementasikan pada kelompok yang lain.

Namun, saya sedar, segala pencapaian tersebut diperoleh disebabkan oleh banyak faktor. Antaranya ialah perancangan yang teratur, pendekatan yang tepat, usaha keras dan komitmen yang penuh. Saya akui juga, pencapaian tersebut tidak akan diperoleh tanpa adanya ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tepat. Didorong pula oleh sifat yang suka menyahut cabaran dalam diri setiap peserta dan gemarkan inovasi baru yang dibantu oleh pihak projek.

Penggemblengan dua-dua pihak ini, saya percaya, merupakan kunci utama dalam memastikan implikasi yang positif diperoleh. Malah, ia juga menjadi daya lonjakan untuk terus relevan di masa hadapan. Dan, pada hari ini, alhamdulillah, realiti itu kita dapat perhatikannya. Tahniah kepada kedua-dua pihak.

UMT DAN MANFAAT KEPADA KOMUNITI

Para hadirin sekalian,

Adalah menjadi misi Universiti Malaysia Terengganu, menjana ilmu untuk kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam. Penjanaan ilmu dihasilkan melalui projek-projek penyelidikan yang laksanakan oleh ahli-ahli akademik di UMT. UMT menunjukkan kesungguhan penjanaan ilmu tersebut melalui pemilikan geran penyelidikan yang dipohon oleh ahli akademik.

Ini dapat diperhatikan apabila, UMT telah menerima lebih RM8 juta geran penyelidikan pada tahun 2015. Hasil dari penyelidikan tersebut dijangkakan akan memberi kesan dalam pelbagai sudut, iaitu  ke atas Komuniti Pesisir Pantai dan Pulau, Ekosistem Tasik dan Biodiversiti Tropika, Bioteknologi Marin dan Biobahan, Teknologi dan Pengurusan Maritim, Perikanan Tropika dan Akuakultur, Sains Marin dan Oseanografi dan lain-lain.

Malah, UMT juga menjadi peneraju kepada inovasi dalam bidang keilmuan dan kemasyarakatan. Khususnya dalam sebagai pemacu inovasi dalam ilmu oseanografi. Lebih membanggakan, UMT satu-satunya universiti di Malaysia yang mempunyai kapal penyelidikan, iaitu Research Vessel Discovery (RV-Discovery) khas bagi penyelidikan oseanografi. UMT satu-satunya universiti di Malaysia yang menjalankan program pemuliharaan penyu. Ini menunjukkan betapa UMT bergerak jauh ke hadapan dalam menjana inovasi yang sudah pastinya memberi kesan positif kepada semua pihak berkepentingan.

Selain itu, sesuai dengan fungsi UMT, iaitu memberi khidmat melalui penyebaran idea dan amalan baru, serta mencari penyelesaian terhadap masalah semasa dalam masyarakat, hasil-hasil kajian yang diperoleh telahpun dikembalikan kepada masyarakat dan pihak berkepentingan. Contohnya, UMT telah menganjurkan Program Ocean Spirit Awareness Tour di mana ianya memberi kesedaran kepada pelajar sekolah mengenai pemeliharaan dan pemuliharaan sumber oseanografi.

Begitu juga dengan Projek Ternakan Ketam Nipah, yang menyediakan teknik pembiakbakaan benih dan tumbesaran ketam kepada pengusaha kolam di Tanah Bencah Setiu. InsyaALLAH, Tuan/ Puan semua akan turut mempelajarinya pada hari ini. Selain itu, UMT juga telah melaksanakan Program Greenpreneurs telah memperkenalkan pelabelan bersifat Go-green kepada komuniti di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

Banyak lagi program-program lain yang telah dilaksanakan oleh UMT bagi memanifestasikan betapa UMT amat cakna kepada permasalahan dan keperluan masyarakat tempatan. Sebagai menyelaraskan usaha murni tersebut, UMT mempunyai Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) yang berperanan untuk membantu masyarakat dalam proses pemindahan ilmu. Bukan itu sahaja, UCTC UMT juga menjadi elemen penting dalam menghubungkan UMT dengan komuniti.

PENDEKATAN PARTNERSHIP

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati,

Saya dimaklumkan, program yang Tuan/ Puan sertai selama ini dirangka khas berasaskan satu pendekatan komprehensif dalam bidang pembangunan komuniti, iaitu partnership approach atau pendekatan rakan kongsi. Berbeza dengan pendekatan top-down atau atas-bawah yang bersifat elitis. Juga berbeza dengan pendekatan bottom-up atau bawah-atas yang menzahirkan peminggiran pihak tertentu, pendekatan rakan kongsi ini, merupakan satu pendekatan yang terbukti mampu dan telah memberi impak kepada pihak berkepentingan, khusus kepada komuniti.

Selama ini, terdapat perancangan yang terlalu berasaskan pihak autoriti, telah mengetepikan kepentingan pihak penerima, iaitu komuniti. Manakala, pendekatan yang terlalu berasaskan komuniti menyebabkan banyak program yang dilaksanakan tidak dapat diselaraskan. Sebaliknya, pendekatan rakan kongsi mengambil kira penyelarasan dan kehendak dua pihak yang berbeza.

Bagi saya, pendekatan ini perlu dikembangkan lagi, bukan hanya dalam penyelidikan, tetapi juga dalam menerangkan program atau polisi yang lebih berkesan. Tahniah saya ucapkan kepada pihak projek ini yang berjaya mengimplementasikan pendekatan tersebut.

Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat kelemahan dari program ini, saya mengalu-alukan semua pihak, khususnya para nelayan yang menjadi peserta program ini untuk terus memberi pandangan dan teguran agar kita dapat memantapkannya pada masa hadapan.

PENUTUP

Hadirin Sekalian,

Sebagai penutup, saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada pihak projek “Program Pembentukan Identiti Ekonomi Baharu Komuniti Nelayan Besut” atas usaha untuk memastikan program pada hari ini dan selama ini dapat dijalankan. Dan saya juga tidak lupa untuk mengucapkan jutaan tahniah kepada semua para peserta yang komited dengan projek ini.

Semoga ALLAH menguatkan hemah dan iltizam kita untuk bersama-sama berusaha membaiki kelemahan, meningkatkan keupayaan diri dan kemudiannya kembali memberi manfaat kepada orang lain di sekeliling kita. Ini sesuai dengan sabda Nabi Muhammad SAW, “Sebaik-baik manusia ialah orang yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain”.

Dengan lafaz, “Bismillahir Rahmanir Rahim”, saya dengan ini, merasmikan Program Pembentukan Identiti Ekonomi Baharu Komuniti Nelayan Besut.

Sekian, wa billahi taufiq wal hidayah

Wassalamu alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Sekian, terima kasih.