Kelunturan terumbu karang menjejaskan ekosistem

Tuesday, 25/6/2024

Share This Article :

Pelbagai keindahahan ciptaan tuhan yang perlu disyukuri dan dikaji akan setiap fungsinya. Nyata apa yang dilihat mata kasar seperti gunung-ganang, sungai yang mengalir jernih, tumbuhan yang menghijau, air terjun yang memukau, pantai yang damai serta laut yang dipenuhi pelbagai hidupan.

 

Namun, sedarkah kita bahawa terumbu karang juga penting dalam kestabilan ekosistem? Mungkin ramai yang masih belum pasti bahawa terumbu karang dikelaskan sebagai haiwan yang mempunyai nilai penting terhadap kestabilan ekosistem marin seperti sebagai perumah kepada beberapa spesis ikan dan hidupan lain selain bertindak sebagai benteng dan perlindungan pantai terhadap ombak secara semulajadi.

 

Terumbu karang merupakan anugerah yang sangat unik dengan memiliki pelbagai bentuk, size dan warna yang memukau sesiapa pun melihatnya khususnya ketika melakukan aktiviti selaman skuba dan snorkeling.

 

Haiwan unik itu memiliki tumbesaran yang sangat perlahan iaitu antara sekitar 0.5 sentimeter hingga 2 sentimeter setahun. Justeru, pembentukan terumbu karang yang cantik di dasar laut mengambil masa puluhan tahun bagi membentuk terumbu karang dewasa.

 

Namun, penyelidik dari Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memaklumkan bahawa terumbu karang di perairan Terengganu mengalami kelunturan (coral bleaching) yang mungkin menjurus kepada karang mati.

 

Pakar karang UMT, Profesor Madya Dr. Tan Chun Hong menjelaskan situasi itu berlaku di beberapa pulau di Terengganu termasuk Pulau Bidong.

 

“Peningkatan suhu dan keasidan air laut  antara faktor utama yang menyebabkan berlakunya pelunturan karang”

 

Menurutnya, fenomena pemanasan global turut mempunyai hubung kait isu itu dan aktiviti manusia yang dilakukan berdekatan dengan kawasan terumbu karang turut memberi tekanan terhadap haiwan tersebut.

 

Ujarnya, apabila karang-karangan itu berlaku kelunturan sehingga mati, ia menyebabkan hidupan lain seperti ikan turut mengalami kematian.

 

“Kajian menunjukkan kadar kematian ikan yang hidup dalam terumbu karang lebih tinggi sekiranya berada di dalam batu karang yang mengalami kelunturan.

“Selepas batu karang mati, secara tidak langsung haiwan-haiwan marin turut kehilangan habitat mereka.

 

“Ia juga menyebabkan kesan negatif jangka masa panjang kepada ekosistem marin serta sumber perikanan di negara ini”

 

Katanya, terumbu karang terbentuk daripada batu karang yang berusia ratusan tahun.

 

“Batu karang adalah asas yang membentuk terumbu karang. Satu hidupan laut yang besar dan sihat terhasil daripada pelbagai jenis batu karang yang berusia ratusan tahun”.

 

Tambahnya, UMT sebagai sebuah universiti mempunyai bidang tujahan marin memainkan peranan penting khususnya dalam menyalurkan dapatan kajian dan penyelidikan yang dijalankan untuk dijadikan rujukan utama pentadbiran negara bagi memastikan kesejahteraan dan kelestarian sejagat  serta merangka pelan tindakan pemuliharaan dan pembangunan mapan negara.