UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Mahasiswa UMT Tanam 100 Pokok, Zahir Komitmen Terhadap Kelestarian Alam

Khamis, 09/10/2025

Share This Article :

RAUB, 8 Oktober 2025 – Seramai 60 pemimpin mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah melaksanakan program penanaman 100 pokok hutan di Kampung Sia Ulu, Raub, Pahang sebagai tanda komitmen terhadap kelestarian alam dan pemuliharaan ekosistem negara.

 

Program itu menyaksikan penanaman spesies hutan tempatan seperti Cengal, Meranti dan Keruing yang sesuai dengan ekosistem di pantai timur. Inisiatif ini memperkukuh kesedaran ekologi dan semangat tanggungjawab hijau dalam kalangan mahasiswa dan secara tidak langsung membantu pertumbuhan sosioekonomi masyarakat tempatan.

 

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain menyatakan bahawa program ini mendukung teras Malaysia Madani dan gagasan Mahasiswa IDAMAN yang menekankan keseimbangan antara pembangunan dan pemuliharaan alam semula jadi.

 

“Mahasiswa UMT menunjukkan kepimpinan yang progresif dan berjiwa lestari. Usaha ini membuktikan kesungguhan mereka dalam menyumbang kepada masa depan yang mampan,” katanya.

 

Kumpulan mahasiswa itu merupakan peserta Kem Kepemimpinan Siswa atau KEMSIS yang menerima latihan dan perkongsian daripada pakar untuk menjadi pemimpin mahasiswa yang berkesan dan memberi impak kepada kecemerlangan universiti dan kesejahteraan masyarakat.

 

Penganjuran itu turut melibatkan komuniti Kampung Sia Ulu serta kakitangan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, menjadikannya satu kolaborasi yang memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat.

 

UMT percaya bahawa inisiatif itu mampu menjadi pemangkin kepada lebih banyak tindakan hijau yang digerakkan oleh mahasiswa. Ia mencerminkan komitmen universiti dalam melahirkan pemimpin masa depan yang prihatin terhadap alam sekitar dan bersedia memacu perubahan positif dalam masyarakat.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu