UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

PERTANDINGAN ROBOCODE KEBANGSAAN GILAP POTENSI MURID BERKEPERLUAN KHAS DALAM DUNIA ROBOTIK DAN PENGATURCARAAN

Monday, 06/10/2025

Share This Article :

Dunia teknologi dan inovasi kini bukan lagi asing bagi golongan berkeperluan khas apabila seramai 130 murid dari 15 buah sekolah pendidikan khas dan unit PPKI dari tujuh negeri seluruh negara menyertai Pertandingan RoboCode Kebangsaan yang berlangsung di Ar-Riyadah Residence, Kuala Nerus.

 

Program yang dianjurkan oleh Pusat Asasi STEM, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Yayasan TM itu merupakan Fasa 3 bagi projek RoboCode, di bawah Geran Impak Sosial Yayasan TM (YTM Social Impact Grant).

 

Pertandingan tersebut merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bertujuan memberi pendedahan awal kepada murid berkeperluan khas dalam bidang robotik dan pengaturcaraan digital.

 

Menurut Pengarah Program RoboCode yang juga pensyarah Program Asasi STEM UMT, Wan Mohd Tarmizi Wan Mohd Yusuf, projek ini bermula secara kecil-kecilan pada tahun 2020 dengan hanya dua sekolah di Terengganu, namun kini berkembang ke seluruh negara hasil sokongan Yayasan TM melalui geran impak sosial.

 

“Kami berbangga melihat perkembangan luar biasa ini. Daripada hanya dua sekolah pada peringkat awal, kini 15 buah sekolah pendidikan khas dan PPKI seluruh negara terlibat secara aktif. Ini membuktikan bahawa dengan bimbingan dan peluang yang betul, murid berkeperluan khas juga mampu menguasai kemahiran digital dan teknologi masa depan,” katanya.

 

Program yang dijalankan sepanjang setahun ini memberi tumpuan kepada murid berkeperluan khas bagi kategori masalah pendengaran, autisme, disleksia dan masalah pembelajaran, dengan pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan serta interaktif.

 

Pendekatan ini bukan sahaja memberi kefahaman awal tentang dunia sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), tetapi turut membantu membangunkan keyakinan diri, kemahiran berfikir secara kreatif serta semangat kerja berpasukan dalam kalangan peserta.

 

“Pendedahan seperti ini amat penting untuk memastikan murid berkeperluan khas tidak terpinggir daripada arus pendigitalan dan kemajuan teknologi global. Ia juga seiring dengan aspirasi negara ke arah masyarakat inklusif dan celik teknologi,” tambah Wan Mohd Tarmizi.

 

Projek ini menjadi model rintis kepada pendekatan pendidikan digital inklusif, yang menyasarkan untuk diperluas ke lebih banyak sekolah pada masa akan datang.

 

 

Dikeluarkan oleh:

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu