Selasa, 23/09/2025
Share This Article :
Oleh Prof. Madya Dr. Hasrizal Shaari
Pulau Bidong yang terkenal dengan sejarah maritimnya kembali menjadi tumpuan apabila berlangsungnya Program ASEAN Underwater Archaeological Meet Up 2025 dan Ekskavasi Kapal Karam Bidong Fasa Lima yang telah berlangsung dengan jayanya pada 18 hingga 22 September lalu.
Lebih menarik, program ini diserikan dengan kehadiran anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Teregganu iaitu Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja, selaku Duta Konservasi UMT.
Tengku Puteri Utama Raja sememangnya terkenal dengan minat yang mendalam dalam aktiviti selam scuba dan fotografi bawah air. Minat yang mendalam ini telah membawa Tengku Puteri Utama Raja untuk turut serta dalam aktiviti ekskavasi kapal karam yang dijalankan di peraiaran Pulau Bidong.
Tengku Puteri Utama Raja bukan sekadar hadir, malah turut sama menyelam dan melakukan kerja-kerja ekskavasi bersama pasukan arkeologi bawah air di tapak bersejarah itu.
Keterlibatan Tengku Puteri Utama Raja mencuri perhatian ramai peserta apabila dengan penuh minat melihat proses mengungkap dan merekod tinggalan kayu kapal seperti papan lantai, kayu lunas dan pasak yang ditemui di tapak arkeologi Kapal Karam Bidong.
Tengku Puteri Utama Raja turut melakukan lawatan singkat ke Stesen Penyelidikan Alami Marin Pulau Bidong bagi melihat proses konservasi artifak-artifak yang berjaya diselamatkan oleh pegawai dan pelajar siswazah UMT.
Artifak-artifak yang telah diselamatkan akan melalui proses awal penyahgaraman bagi mengelakkan kerosakan kepada setiap artifak yang telah ratusan tahun terendam di dalam persekitaran marin. Kandungan garam yang terdapat di dalam air laut mampu mendatangkan kerosakan kepada fizikal setiap artifak yang diselamatkan.
Program anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersama Jabatan Warisan Negara (JWN) ini turut menghimpunkan ahli arkeologi bawah air dari Indonesia, Singapura, Thailand serta pakar dari Universiti Finders, Australia.
Menurut pengarah teknikal selaman arkeologi dan juga jurulatih selaman saintifik UMT, Baharim Mustapa, penglibatan Tengku Puteri Utama Raja memberi semangat besar kepada pasukan penyelidik.
“Tengku Puteri Utama Raja menunjukkan minat yang tinggi terhadap warisan maritim negara, malah turun padang bersama penyelam lain. Ini satu penghormatan dan simbol sokongan terhadap usaha melestarikan khazanah negara,” katanya.
Ekskavasi fasa lima kali ini dianggap berjaya apabila objektif utama meneliti struktur asal kayu Kapal Karam Bidong dapat dicapai. Penemuan bahagian lantai dan lunas kapal memberi gambaran lebih jelas tentang teknologi pembinaan kapal serta jaringan perdagangan laut pada abad ke-16.
Program bersejarah ini diharap dapat melonjakkan nama UMT dan JWN di persada antarabangsa sebagai peneraju arkeologi bawah air di Malaysia, di samping memperkenalkan Pulau Bidong sebagai tapak warisan kebangsaan yang wajar dibanggakan.
**Penulis adalah Ahli Arkeologi Berdaftar Jabatan Warisan Negara dan Pakar Arkeologi Bawah Air di Universiti Malaysia Terengganu