Thursday, 29/5/2024
Share This Article :
Terumbu karang merupakan sejenis haiwan yang kaya dengan kepelbagaian serta mempunyai peranan penting dalam kestabilan ekosistem marin.
Fungsi terumbu karang antara lain adalah sebagai benteng pertahanan dan perlindungan pantai terhadap ombak dan sumber makanan kepada hidupan laut terutamanya anak-anak ikan.
Secara tidak langsung, ia jelas menunjukkan hubungkait antara terumbu karang, ikan dan manusia memandangkan ikan dijadikan sumber protein terpenting untuk manusia dan sumber pendapatan bagi kumpulan nelayan.
Namun kini terumbu karang semakin menyusut bilangannya dan kian diancam kepupusan disebabkan beberapa faktor seperti ketidaktentuan iklim, kemusnahan habitat dan pencemaran laut yang memerlukan tindakan proaktif segenap lapisan masyarakat.
Pelbagai inisiatif telah dilakukan oleh pihak kerajaan, badan bukan kerajaan, agensi swasta dan NGO dalam usaha memulihara ekosistem marin khususnya terumbu karang, namun ia masih memerlukan pelan tindakan jangka masa panjang.
Menyedari hakikat itu, universiti terkemuka pantai timur, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Aquaria meneruskan projek pemuliharaan terumbu karang melalui pelaksanaan Program Konservasi Terumbu Karang 3.0 di perairan Pulau Bidong, Terengganu.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMT, Prof. Dr. Marinah Ariffin berkata, inisiatif tersebut sangat penting bagi memastikan kelestarian hidupan laut berkenaan untuk generasi masa hadapan.
“Kami di UMT amat mengalu-alukan kerjasama daripada pihak luar untuk berganding bahu dalam menjalankan projek konservasi khususnya berkaitan isu marin bagi memastikan ekosistem penting itu untuk terus kekal lestari.
“Ekosistem marin mempunyai hubungkait penting kepada ekosistem alam semulajadi dan program pemuliharaan seperti ini adalah untuk kehidupan generasi akan datang”
Katanya, usaha yang dilakukan oleh ketua penyelidik UMT, Prof. Madya Dr. Tan Chun Hong bersama-sama pihak Aquaria KLCC berpotensi untuk menarik lebih ramai pihak luar berkolaborasi dalam menangani isu berkaitan alam sekitar.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kumpulan Aquawalk berkata, kerjasama itu telah berjaya meneruskan projek Konservasi Terumbu Karang 3.0 dengan mengetengahkan konsep ‘koral angkat’ setelah dua siri penganjuran program pemuliharaan terumbu karang dijalankan sejak hampir lima tahun lalu melibatkan dana kira-kira RM300, 000.
Terdahulu, program penanaman 1,000 terumbu karang yang diperkenalkan oleh UMT dengan kerjasama Aquaria tahun lalu telah membuahkan hasil selepas data pertumbuhan terumbu karang menjangkau kira-kira 10cm bagi tempoh lapan bulan.
Disediakan oleh :
Amirul Salam Hasan
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu
Dikeluarkan oleh :
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu