Khamis, 06/11/2025
Share This Article :
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus mengukuhkan reputasinya di persada antarabangsa apabila diiktiraf dalam kelompok 10 peratus universiti terbaik di Asia menerusi QS Asia University Rankings (QS AUR) 2026, yang diumumkan hari ini. Dalam penarafan terkini, UMT menempatkan diri pada kedudukan ke-160, meningkat daripada kedudukan ke-195 tahun lalu, mengekalkan trend peningkatan yang konsisten sejak beberapa tahun kebelakang.
Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim, berkata kejayaan ini sejajar dengan strategi pengantarabangsaan yang dirangka di dalam Pelan Strategik UMT 2023–2027 (PSUMT5) yang menekankan pembangunan berterusan dalam bidang tujahan universiti, khususnya ilmu kelautan dan sumber akuatik.
“Kedudukan UMT dalam kelompok 160 universiti terbaik di Asia menunjukkan hala tuju strategik universiti sedang membuahkan hasil sekaligus menegaskan bahawa UMT berada di landasan tepat untuk terus berkembang sebagai universiti berfokus marin yang terkemuka di Malaysia dan disegani di peringkat global,” kata Prof. Mohd Zamri.
Peningkatan ini turut mencerminkan prestasi cemerlang UMT dalam beberapa indikator utama penarafan, termasuk pengantarabangsaan dan kualiti akademik. Dalam dimensi pengantarabangsaan, UMT memperoleh skor hampir sempurna bagi mobiliti pelajar inbound (99.0) dan mobiliti pelajar outbound (96.9), menjadikan universiti ini antara yang paling aktif di Asia dalam program pertukaran pelajar antarabangsa. Skor bagi indikator nisbah pelajar antarabangsa juga meningkat kepada 62.5 peratus, menunjukkan daya tarikan UMT sebagai destinasi pendidikan pilihan pelajar antarabangsa dari pelbagai negara.
Dari segi akademik dan penyelidikan, UMT menyerlah dengan 89 peratus pensyarah memiliki kelulusan doktor falsafah (PhD), selari dengan skor 95 bagi indikator staf berkelulusan PhD. Skor 64.7 bagi bilangan penerbitan per pensyarah mencerminkan budaya penyelidikan yang matang dan produktif dalam kalangan warga akademik. Pencapaian ini membuktikan bahawa UMT bukan sahaja unggul dalam bidang sains marin dan sumber akuatik, tetapi juga semakin diiktiraf sebagai institusi yang menyumbang secara signifikan kepada kemajuan ilmu pengetahuan di Asia.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga UMT, para alumni, serta rakan industri yang sentiasa menyokong usaha universiti. Sokongan padu anda semua menjadi tonggak kejayaan UMT sebagai institusi berfokus marin yang disegani di Asia,” kata Naib Canselor.
Pencapaian cemerlang ini dijangka menjadi pemangkin kepada usaha UMT untuk terus memperluas impak global, meningkatkan peluang pelajar dan penyelidik, serta memperkukuh kedudukan universiti sebagai pusat kecemerlangan ilmu kelautan dan sumber akuatik bertaraf antarabangsa.