UMT PERKUKUH PERANAN DALAM PENYELIDIKAN ANTARTIKA
Rabu, 17/12/2025
Share This Article :
Kuala Nerus — Penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Mazli Harun terpilih antara 12 penyelidik negara yang menerima geran penyelidikan khas sempena Sambutan Hari Antartika 2025 yang disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Terengganu merangkap Penaung Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM).
Penganugerahan geran tersebut membolehkan beliau menjalankan kajian berkaitan polisi dan governan libat urus Malaysia dalam penyelidikan Antartika selain memperkukuhkan peranan penyelidikan polar melalui perjanjian kerjasama Smart Partnership Initiative (SPI) 2026 – 2030) bagi kerjasama merangkumi geran penyelidikan, skim fellowship dan sokongan logistik untuk saintis muda melibatkan 11 universiti.
Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan (NARC), Profesor Madya Dr Wan Mohd Rauhan Wan Hussin yang juga pensyarah di UMT berkata, bagi menyokong sambutan Hari Antartika 2025, UMT telah menganjurkan dua program yang menterjemahkan manifestasi komitmen UMT terhadap pemuliharaan alam sekitar dengan penanaman 50 anak pokok Rhu dan pokok Ketapang di pesisir pantai.
“Penanaman pokok ini bukan sahaja membantu dalam penyerapan karbon dan seterusnya mengurangkan risiko peningkatan suhu global, malah ia juga sebagai langkah pemula secara alami dalam menangani masalah hakisan pantai. Pelaksanaan Growing Green for the Land of Ice dijayakan seramai 60 peserta merangkumi pelbagai pihak termasuk komuniti setempat iaitu Geng Plastik Ija dan Komuniti Perikanan Pengkalan Jie”.
Ujarnya, UMT turut menganjurkan Program Beach Clean UP di sekitar Pantai UMT yang antara lain bertindak sebagai platform penyebaran kempen pemuliharaan alam sekitar yang memberi kesan langsung kepada perubahan iklim sejagat.
Sambutan peringkat kebangsaan yang julung kali diadakan ini turut bertujuan meningkatkan kesedaran golongan belia tentang kepentingan Antartika sebagai simbol keamanan global dan indikator perubahan iklim dunia, selain menyokong komitmen Malaysia dalam penyelidikan saintifik dan kelestarian alam sekitar. Selain itu, UMT juga telah menerima pengiktirafan melalui penganugerahan Geran Penyelidikan Antartika bernilai RM50,000 kepada Dr. Madzli Harun, Pensyarah Fakulti Pengajian Maritim, UMT oleh Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM). UMT akan terus menyokong usaha melestarikan alam sekitar bagi memastikankemampanan ekosistem global terpelihara.
Disediakan oleh:
Engku Nurul Aima Binti Tengku Amri
Pejabat Komunikasi Korporat
013 9014050