UMT Serah Surat Tawaran, Bantuan Kepada Bakal Pelajar Memerlukan

Khamis, 18/09/2025

Share This Article :

KUALA TERENGGANU, 17 SEPTEMBER 2025 – Keperitan hidup yang ditanggung dua bakal pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mendapat perhatian istimewa apabila pengurusan tertinggi universiti itu sendiri turun padang bagi menyampaikan surat tawaran pengajian serta bantuan kewangan demi memastikan semangat mereka untuk menuntut ilmu tidak terhenti di tengah jalan.

 

Dalam kunjungan penuh sebak itu, tumpuan diberikan kepada Nur Nabilah Abdul Rahim yang bakal mengikuti pengajian Sarjana Muda Sains Akuakultur dengan Kepujian di Fakulti Sains Perikanan dan Akuakultur UMT.

 

Beliau baru sahaja kehilangan kedua ibu bapa dalam tragedi bot terbalik di perairan Marang pada 31 Ogos lalu. Sebagai anak ketiga daripada enam beradik, Nur Nabilah kini memikul tanggungjawab besar untuk meneruskan kehidupan tanpa tempat bergantung.

 

Seorang lagi penerima ialah Farzana Nur Shakilla, pelajar Sarjana Muda Kaunseling dengan Kepujian di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial. Farzana, anak sulung daripada empat beradik, tinggal bersama ibu tunggal yang tidak bekerja akibat masalah kesihatan. Keluarga ini hanya bergantung pada sumbangan sara hidup RM150 sebulan daripada seorang ibu saudara, manakala sewa rumah mereka ditanggung oleh badan kebajikan.

 

Menyedari cabaran getir yang dihadapi, UMT tampil memberikan bantuan segera berupa yuran kemasukan RM200 menerusi inisiatif Bingkas Kasih HEPA, bantuan Zakat Al-Amin melalui Pusat Ihsan UMT serta sumbangan keperluan asas bernilai RM100. Kedua-dua pelajar turut menerima Bantuan Awal Pendidikan Yayasan Perkasa Siswa KPT berjumlah RM1,000 serta Demasiswa Al-Ikhlas sebanyak RM500, bagi meringankan beban kewangan keluarga masing-masing.

 

Lebih bermakna, mereka juga layak mendapat tajaan yuran pengajian sepanjang tempoh pengajian melalui program SULUNG, sebuah inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi yang memberi keistimewaan kepada pelajar sulung daripada keluarga kurang berkemampuan. Sehingga kini, sejumlah 120 pelajar UMT yang telah menerima manfaat daripada program SULUNG sejak ia diperkenalkan kira-kira tiga tahun lalu.

 

Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim menegaskan bahawa kunjungan khas itu bukan sekadar penyerahan surat tawaran pengajian tetapi simbol kebersamaan dan keprihatinan universiti terhadap anak bangsa yang menaruh harapan untuk mengubah kehidupan melalui pendidikan.

 

“UMT percaya bahawa setiap pelajar berhak mendapat peluang untuk belajar walaupun berdepan kesusahan hidup. Kehadiran kami ke rumah mereka adalah tanda bahawa mereka tidak bersendirian. Universiti akan sentiasa berdiri di belakang mereka, memastikan cita-cita mereka tercapai,” katanya.

 

Bagi Nur Nabilah, peluang melanjutkan pengajian di UMT menjadi sinar harapan buat dirinya dan adik-beradik.

 

“Saya percaya pendidikan adalah jalan untuk saya dan adik-adik keluar daripada kesusahan. Walaupun kehilangan ibu bapa amat memeritkan, saya akan jadikan pengajian di UMT sebagai amanah terakhir mereka untuk saya berjaya,” katanya dengan penuh tekad.

 

Farzana pula mengakui sumbangan yang diterima menjadi penguat semangat untuk terus mengejar cita-cita.

 

“Saya mahu buktikan bahawa kesusahan bukan halangan untuk berjaya. Saya ingin menjadi kaunselor yang dapat membantu orang lain, sebagaimana saya dibantu hari ini. Terima kasih kepada UMT kerana hadir bukan sahaja sebagai universiti, tetapi sebagai keluarga yang begitu mesra” katanya.

 

Kunjungan itu sekali gus menzahirkan komitmen UMT sebagai institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja mengejar kejayaan akademik dan penyelidikan bertaraf global, malah menjiwai aspirasi murni dalam membantu membina masa depan generasi pelapis negara.

 

Dengan sokongan UMT dan pelbagai pihak, Nur Nabilah dan Farzana bakal melangkah ke menara gading dengan tekad baharu, membawa bersama harapan keluarga serta janji untuk membuktikan bahawa pendidikan mampu mengubah takdir kehidupan ke arah lebih baik.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu