Wednesday, 01/10/2025
Share This Article :
KUALA NERUS, 1 Oktober 2025 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) tampil dengan pendekatan berbeza sempena Minggu Orientasi pelajar baharu sesi akademik 2025/2026 apabila lebih 2,000 mahasiswa diberi peluang merasai pengalaman unik melalui program Go Green UMT.
Berbeza dengan rutin orientasi kebiasaan yang hanya tertumpu pada sesi taklimat dan pengenalan universiti, pelajar dibawa keluar ke lapangan untuk menyertai aktiviti penanaman semula pokok bakau di kawasan sekitar kampus. Usaha itu bukan sahaja menjadi simbolik kepada permulaan perjalanan akademik mereka malah sebagai tanda komitmen bersama terhadap pemeliharaan alam sekitar.
Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata inisiatif tersebut bertepatan dengan agenda kelestarian global yang diperjuangkan universiti dalam memastikan ekosistem marin dan pesisir pantai terus terpelihara.
“UMT bukan sekadar melahirkan graduan cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga individu yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap tanggungjawab menjaga alam sekitar. Penanaman bakau ini penting bagi melindungi kampus daripada risiko hakisan pantai dan pada masa sama mendidik pelajar mengenai peranan mereka dalam menyokong agenda kelestarian sejagat”.
“Terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Maybank Islamic Berhad atas sumbangan dana lebih RM150,000 yang disalurkan melalui Pusat Ihsan UMT dalam merealisasikan program Go Green UMT ini berjalan dengan jayanya. Tahniah dan terima kasih juga saya sampaikan kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEPA) UMT yang menguruskan program ini dengan penuh komitmen dan dedikasi,” katanya.
Selain aktiviti penanaman bakau, program Go Green UMT turut diselitkan dengan aktiviti beach clean-up melibatkan pembersihan kawasan pantai sekitar serta Sand Therapy yang membolehkan pelajar merasai sendiri keajaiban rawatan semula jadi pasir pantai.
Bagi Thivaashini A/P Pulegenthi, 19, pelajar baharu Program Sarjana Muda Sains Kimia, pengalaman itu merupakan sesuatu yang menakjubkan dan merupakan kali pertama dalam hidunya.
“Saya rasa sangat bertuah kerana dapat memulakan pengajian di UMT dengan pengalaman berharga seperti ini. Aktiviti menanam bakau memberi kesedaran kepada saya betapa pentingnya menjaga alam sekitar, manakala sand therapy pula sesuatu yang menyeronokkan dan menenangkan sambil berkenal-kenalan antara satu sama lain,” katanya dengan penuh teruja.
Penganjuran aktiviti berorientasikan alam sekitar itu membuktikan bahawa kampus UMT merupakan kampus ideal berada di pesisir pantai sekaligus memperkukuh kedudukan UMT sebagai universiti yang sinonim dengan bidang sains marin, kelestarian serta pembangunan mampan selaras dengan Pelan Pembangunan Mampan (SDG).
Dikeluarkan oleh :
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu