Wednesday, 3/7/2024
Share This Article :
Wanita merupakan insan hebat yang diciptakan tuhan. Ia bukan sahaja bergelar ibu, malah peranannya begitu besar dalam mendidik, membesarkan anak serta memastikan urusan keluarga berjalan dengan baik dan lancar.
Peranan wanita turut meliputi aspek pentadbiran organisasi di pelbagai peringkat dan keterlibatan wanita dalam kepemimpinan melalui pelbagai peringkat, portfolio, peranan dan sebagainya adalah sesuatu yang tidak dapat disangkal bahkan jumlahnya semakin meningkat dalam tadbir urus sesebuah negara.
Pentadbiran negara juga memberi ruang kepada kaum wanita untuk menjadi pemimpin sehingga dilantik jawatan Menteri.
Trend juga menunjukkan peningkatan jawatan yang disandang oleh golongan wanita di universiti. Mengikut peratusan yang dikeluarkan pada 2022 dalam sistem pendidikan, golongan wanita kekal mendahului lelaki di mana peratusan di peringkat rendah 98.4 peratus, peringkat menengah 94.5 peratus dan peringkat tertiari pula 47.5 peratus.
Peranan wanita dalam penyelidikan di universiti adalah sangat penting dan berpengaruh dalam pelbagai aspek. Dari sudut penyelidikan misalnya, wanita sering kali memimpin projek-projek penyelidikan yang inovatif dan memberi sumbangan besar dalam penemuan dan pengembangan ilmu pengetahuan.
Selain itu, mereka juga memainkan peranan sebagai mentor dan pendidik kepada pelajar, membantu membimbing generasi penyelidik baharu serta menggalakkan lebih ramai wanita untuk menceburi bidang penyelidikan.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. ChM. Dr. Marinah Mohd Ariffin menyifatkan kaum hawa yang bekerjaya adalah individu yang berjaya mengembangkan potensi diri.
“Jika kita lihat dari sudut peluang, sebenarnya tiada perbezaan antara jantina”
“Walaupun kita sebagai wanita yang pastinya mempunyai pelbagai komitmen seperti urusan keluarga, tanggungjawab terhadap anak, ibu bapa dan semua itu kita akan dapat uruskan jika kita dapat kenal pasti kebolehan dan kemampuan diri”.
Ujarnya lagi, wanita perlu mempunyai sistem sokongan yang sistematik untuk melonjakkan lagi kemampuan yang dimiliki.
“Kadang-kadang kita perlu memikirkan tentang tugasan ambil anak di sekolah pada waktu tengahari, perlu uruskan ahli keluarga yang tidak sihat dan sebagainya”
“Namun sekiranya kita mempunyai sokongan yang baik, semua halangan seperti itu kita dapat selesaikan dan fokus kita dalam kerjaya masih berada pada landasan yang betul”.
Tambahnya, pemilihan rakan-rakan dari kepelbagaian kumpulan dan latar belakang juga penting untuk kesejahteraan mental dan fizikal.
“Apabila kita bergiat aktif dalam persatuan atau organisasi luar selain dari bidang tugas pekerjaan, kita dapat mempelajari kemahiran-kemahiran lain yang mana kita sebagai ahli dan bukan lagi sebagai bos..Pastinya ia mengeratkan lagi hubungan sesama rakan-rakan khususnya rakan di tempat kerja kerana aktiviti luar tidak mengambil kira pangkat yang disandang dan ia mengeratkan lagi silaturahim antara satu sama lain selain mengurangkan stress”. Katanya.
Tidak dapat disangkal lagi bahawa wanita memainkan peranan yang tidak terhingga dalam memajukan penyelidikan di universiti dan membawa impak positif yang besar dalam perkembangan ilmu dan teknologi masa kini dan akan datang.
Dikeluarkan oleh :
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu