Sunday, 30/6/2024
Share This Article :
Pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) antara atlet yang berjaya menghadiahkan pingat Emas negara dalam penganjuran Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 yang berlangusng di Pusat Konvensyen Airlangga.
Atlet Judo itu, Afiq Danish Zapri yang turut menyambut hari kelahirannya sehari sebelum perlawanan akhir nyata mengukir sejarah manis apabila mendapatkan ‘hadiah terbaik’ menerusi pingat emas dalam acara judo bawah 90 kilogram (kg) lelaki.
Kemenangannya dibuktikan menerusi pertarungan akhir dan berjaya menumbangkan seterunya, Mayza Tyas Nugraha yang juga merupakan atlet tuan rumah yang memenangi pingat gangsa pada Kejuaraan Judo Asean 2024.
Katanya yang juga penuntut jurusan Pengurusan Maritim UMT, kemenangan itu merupakan hadiah yang bermakna sepanjang perjalanan hidupnya.
“Ini merupakan hadiah paling bermakna dalam hidup saya apabila mendapat pingat emas di pentas AUG 2024.
“Terima kasih kepada ayah, ibu dan adik-adik atas sokongan padu yang diberikan.. tanpa mereka mustahil untuk saya berada di pentas podium hari ini,”
Afiq yang berasal dari Bachok, Kelantan menjangkakan pertarungan akhir itu hanya mengambil masa yang singkat untuk menewaskan pihak lawan, namun sangkaannya nyata meleset.
“Saya jangka dapat tumbangkan lawan lebih awal, tetapi dia juga kuat dan berpengalaman dan ini kali pertama kami bertemu”.
Sementara itu, pihak pengurusan tertinggi UMT turut merakamkan penghargaan dan tahniah buat Afiq Danish Zapri yang telah berjaya mengharumkan nama negara melalui sumbangan pingat Emas dalam penganjuran Sukan Universiti Asean (AUG) 2024.
Dikeluarkan oleh :
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu