Bimbingan berterusan mampu lahir lebih ramai usahawan produk makanan home based

Wednesday, 14/8/2024

Share This Article :

Dalam era yang mencabar ini, kebolehan untuk berdikari melalui keusahawanan merupakan elemen penting, terutamanya bagi golongan wanita yang turut berperanan besar dalam menampung keperluan keluarga.

Menggunakan platform pemindahan ilmu kepada masyarakat, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengambil langkah proaktif menganjurkan kursus bimbingan keusahawanan produk makanan yang diusahakan di rumah (home based) melibatkan komuniti di negeri Terengganu dalam usaha mengembangkan lagi perniagaan yang diusahakan peserta.

Selama hampir dua tahun, kini peserta mampu mengukir senyuman setelah keringat yang diperah berdasarkan bimbingan dan tunjuk ajar oleh agensi-agensi terlibat termasuk UMT membuahkan hasil yang memberangsangkan. Pakej bimbingan yang ditawarkan itu telah berjaya melahirkan usahawan-usahawan yang bukan sahaja mampu berdikari, tetapi juga mampu menyumbang kepada penjanaan ekonomi keluarga dan masyarakat setempat.

Antara peserta yang menonjol sepanjang penganjuran kursus itu adalah Wan Adiela Azwa Wan Ab Rahman, seorang ibu berusia 31 tahun. Beliau telah memfokuskan usahanya dalam penghasilan produk berasaskan puding yang pastinya lazat, unik dan menarik. Dalam tempoh kursus disertai, beliau telah berjaya menguasai teknik pemasaran digital yang berkesan, meningkatkan kualiti produk dan memperluaskan jaringan pelanggan. Kini, produk puding yang dihasilkan oleh Wan Adiela Azwa bukan sahaja diminati di kalangan penduduk berhampiran tetapi juga mula menembusi daerah lain di negeri itu.

Tengku Norniziah Tengku Abdullah yang berusia 42 tahun merupakan peserta yang turut mencatatkan kejayaan dengan mengusahakan produk bakeri dan roti. Hasil bimbingan yang diberikan sepanjang kursus, Tengku Norniziah berjaya mengembangkan perniagaannya dari rumah kecil kepada sebuah kedai bakeri yang lengkap dengan peralatan terkini. Usahanya bukan sahaja menambah pendapatan keluarga, tetapi juga membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Sementara itu, Rosnawati Mohd Yanun, seorang ibu tunggal yang tidak mempunyai sebarang asas dalam keusahawanan dan perniagaan, telah membuktikan bahawa tiada yang mustahil dengan sokongan dan panduan yang tepat.

“Sebelum menyertai kursus ini, saya tidak pernah terlibat dalam perniagaan. Namun, melalui bimbingan UMT dalam aspek pemasaran, pengiklanan, pembungkusan, bantuan peralatan, serta pembangunan model perniagaan, saya kini memiliki kedai sendiri yang menawarkan pelbagai produk makanan.

“Kejayaan ini juga melayakkan beliau dinobatkan sebagai peserta kursus terbaik dalam kalangan 20 peserta”. Katanya.

Secara keseluruhannya, perniagaan yang diuasahakan mencatatkan peningkatan pendapatan lebih daripada 229 peratus berbanding sebelum menyertai program bimbingan itu. Kejayaan yang dicapai oleh Wan Adiela, Tengku Norniziah, dan Rosnawati adalah bukti bahawa kursus keusahawanan itu tidak hanya membantu dalam mempertingkatkan taraf hidup, tetapi juga berupaya merapatkan jurang ekonomi antara golongan berpendapatan rendah di Malaysia.

Pelaksanaan program bimbingan seperti itu menjadi bukti betapa pentingnya tunjuk ajar dan sokongan dalam mengembangkan keusahawanan di kalangan golongan yang memerlukan, serta betapa besar peranan institusi pendidikan dalam membentuk usahawan yang berdaya saing dan mampu memberikan impak positif kepada ekonomi negara dan masyarakat.

Melalui pendapatan yang meningkat dengan ketara itu juga membolehkan peserta program memperbaiki kualiti hidup serta menyumbang lebih banyak kepada keperluan keluarga selaras dengan Malaysia Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri.

Kejayaan yang dicapai oleh para peserta itu membuktikan keberkesanan kursus keusahawanan yang dianjurkan oleh Universiti Malaysia Terengganu dengan kerjasama beberapa agensi sokongan lain. Bimbingan yang menyeluruh dalam aspek-aspek penting keusahawanan, seperti pemasaran, pengiklanan, pembungkusan, dan bantuan peralatan telah membolehkan para peserta untuk bukan sahaja memulakan perniagaan mereka sendiri tetapi juga untuk mengembangkannya dengan cara yang mampan dan berdaya saing.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata pihaknya sentiasa berusaha merapatkan jurang antara universiti dan komuniti selaras dengan slogan ‘universiti untuk masyarakat’.

“Projek ini merupakan satu usaha murni yang dilaksanakan oleh UMT melalui Pusat Pemindahan Ilmu, Jaringan Industri dan Masyarakat serta UMT Holdings untuk menggalakkan aktiviti pemindahan ilmu kepada komuniti melalui projek berimpak tinggi dengan hasrat untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat. UMT berhasrat untuk menggiatkan aktiviti pemindahan ilmu supaya ia kekal relevan kepada komuniti melalui penglibatan aktif warga UMT, agensi dan industri seiring dengan slogan ‘universiti untuk masyarakat’”. Katanya.

Disediakan oleh :

Amirul Salam Hasan

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu