Thursday, 27/6/2024
Share This Article :
Mengikut data perangkaan perikanan, pada tahun 2021, jumlah perikanan tangkapan marin 1,328,041.14 tan metrik (TM) bernilai RM10,802,826,870. Manakala tahun 2022, berlaku penyusutan 1,308,415.08 TM bernilai RM11,306,367,618. Data ini menunjukkan penyusutan kuantiti sebanyak 1.5% dan peningkatan nilai sebanyak 4.7% berbanding tahun 2021. Jika dibahagikan data pendaratan ikan mengikut Zon penangkapan perikanan, Zon A; 34% (446,802TM), Zon B; 25% (330,845 TM), Zon C;28% (372,857 TM), Zon C2; 12% (153,878 TM) dan Zon C3; 1% (4,031TM). Data ini menujukkan laut pantai menyumbang 88% (Zon A sehingga C) dan laut dalam hanya 12% (Zon C2 dan C3).
Kebergantungan pendaratan perikanan kepada laut pantai amat tinggi berbanding laut dalam. Zon A juga merupakan Zon penampan yang amat penting bagi kelestarian sumber perikanan. Di kawasan ini, berlaku migrasi ikan tertentu untuk membiak pada waktu puncak. Zon ini juga merupakan kawasan yang kaya dengan ikan kecil atau juvenil untuk membesar kerana ianya kaya dengan sumber makanan. Kawasan persisiran pantai juga kaya dengan habitat semulajadi yang berfungsi sebagai tempat perlindungan dan tempat tinggal ikan matang ataupun tidak. Penjarahan sumber di kawasan ini harus berlaku secara berhemah agar stok ikan tidak terkesan.
Mengikut dewan bahasa dan pustaka, inovasi membawa maksud sesuatu yang baru seperti kaedah sistem dan lain-lain. Dari segi konteks perikanan, inovasi amat penting dalam kelestarian sumber. Sumber perikanan sekarang berdepan dengan cabaran yang agak besar apabila berhadapan dengan fenomena semulajadi dan tidak dalam kelestarian sumber. Tambahan pula ada tekanan yang hadir sehingga menganggu habitat semulajadi perikanan. Terdapat pelbagai teknik dan kaedah yang telah digunakan secara turun temurun dari generasi ke generasi. Inovasi atau pengubahsuaian sedikit sebanyak boleh meningkatkan lagi kelestarian sumber perikanan. Mengikut data perangkaan perikanan, pada tahun 2021 dan 2022, sebanyak 229,722 TM dan 242, 069 ikan baja telah didaratkan. Berlaku peningkatan pada tahun 2022 dan ianya menunjukkan ada di antara peralatan perikanan terlalu berkesan dalam meneroka sumber perikanan sehingga tidak mampu mengasingkan tangkapan sampingan dan ikan matang. Sekiranya corak pendaratan ini terus berlaku, stok perikanan akan terkesan dan menyebabkan ketirisan sumber berlaku.
Untuk melestarikan sumber perikanan, terjemahan penyelidikan kepada komuniti amatlah penting dan merupakan solusi yang paling baik bagi mengatasi masalah dari segi saintifik, sosial dan ekonomi. Pusat pemindahan ilmu, jaringan industri dan masyarakat (PIJIM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) telah memberi dana yang memfokuskan inovasi alat peranti pengumpulan perikanan (FDA) dan alatan perikanan bagi membantu melestarikan sumber perikanan. Ianya juga mempunyai serampang dua mata dari sudut sains dan membantu para pemegang taruh utama iaitu nelayan pesisir pantai. Kerjasama ini juga takkan terhasil tanpa gandingan daripada Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang merupakan nadi dalam menguruskan stok perikanan negara dengan lebih dekat.
Penggunaan saiz bukaan jaring, pintu masuk, warna, bahan, kedalaman amat penting dalam memastikan tangkapan sampingan atau ikan sasaran tidak tertangkap. Jumlah pendaratan yang ikan yang tinggi juga harus dilihat dari segi saiz dan kematangan ikan. Sekiranya ikan yang tertangkap tidak matang dan bersaiz kecil, ianya termasuk dalam ikan baja dan memberi kesan sedikit sebanyak kepada kelestarian sumber perikanan negara. Oleh itu, kajian yang berterusan dan gandingan bahu di antara pemegang taruh utama seperti, Jabatan Perikanan, Maritim, penggubal polisi, nelayan, pemberi dana dan penyelidik amat penting. Inovasi atau pengubahsuaian peralatan juga harus mengambil kira banyak faktor seperti musim, faktor abiotic dan biotik serta habitat tanpa mengenepikan pendapatan para nelayan.
Alat peranti pengumpulan perikanan (FDA) dan tukun adalah alternatif yang amat baik bagi membantu memulihkan habitat perikanan yang terkesan oleh pelbagai faktor. FDA merupakan idea yang amat baik dari para peneroka perikanan untuk memulihkan stok perikanan. Terdapat pelbagai teknik, bentuk dan cara digunakan bagi mengumpul ikan dalam kumpulan serta kepadatan yang tinggi. Namun, keberkesanan FDA ini juga bergantung kepada dasar lautan yang kaya, bahan yang digunakan, arus air, kedalaman, kekeruhan air dan sebagainya. Penggunaan bahan tumbuhan juga menjadi daya penarik utama bagi FDA ini. Tambahan lagi Malaysia juga kaya dengan pelbagai tumbuhan. Uniknya, setiap daun yang digunakan mampu menarik ikan yang berbeza sekiranya diletakkan pada kedalaman yang sesuai. Setiap daun secara semulajadi mempunyai bau yang berlainan, dan lapisan pada daunnya menghasilan lapisan berlainan setelah direndam pada air laut. Malah, kepelbagaian daun mampu menjadi perumah kepada pelbagai jenis makanan semulajadi yang terdiri daripada plankton dan ikan kecil. Sumber makanan ini juga tertabur mengikut jenis daun dan kedalaman yang telah dikenalpasti. Malah pemberat yang baik mampu menjadikan kawasan demersal kaya dengan ikan bernilai tinggi seperti kerapu pisang, jenahak atau ikan merah.
Namun demikian, setiap inovasi harus dipantau dari masa ke masa bagi melihat keberkesannya. Sedikit pengubahsuaian mungkin akan memberi impak dan kesan yang berbeza kepada stok perikanan negara. Untuk menghasilkan inovasi yang baik juga, pemantauan saintifik dan sosial amat penting. Contohnya untuk melihat keberkesanan alatan perikanan, saiz ikan harus di kaitkan dengan bukaan mata jaring. Manakala untuk FDA, bilangan ikan dan stok kepadatan boleh dipantau dengan menggunakan penduga gema saintifik. Di mana, penduga ini mampu memberikan kekuatan sasaran yang boleh menjawab bilangan, saiz dan kepadatan ikan mengikut kedalaman atau per meter isipadu. Penduga gema saintifik juga boleh digunakan bagi memantau secara dekat tingkah laku ikan terhadap inovasi yang dihasilkan.
Inovasi takkan berjaya tanpa sokongan semua pihak dan pendapat penggubal dasar, Jabatan Perikanan, komuniti nelayan serta pemegang taruh lain harus dipandang dengan serius agar ianya berjaya. Inovasi juga tidak harus terhenti dan mengambil masa untuk dijayakan agar ianya berkesan bagi generasi yang mendatang. Pengubahsuaian atau inovasi boleh hadir dari sekecil pandangan para pemegang taruh.
Dr. Mohd Fazrul Hisam bin Abd Aziz
Pensyarah Kanan
Fakulti Perikanan dan Sains Makanan
Universiti Malaysia Terengganu.