MEMPERKASA EKONOMI KOMUNITI DI PULAU REDANG MELALUI PEMBANGUNAN PRODUK PELANCONGAN

Thursday, 9/5/2024

Share This Article :

Pulau Redang adalah sebuah destinasi pelancongan marin popular dengan pantai yang indah, air jernih dan ekosistem dasar laut yang menarik Keunikannnya telah mendapat perhatian pengunjung tempatan dan luar negara yang inginkan ketenangan dan sukakan dunia pengembaraan.

 

Bagi menggalakkan limpahan ekonomi industri pelancongan yang ada di Pulau Redang kepada komuniti setempat khususnya penduduk Kampung Baru, Pulau Redang, sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah melaksanakan program pembangunan dan pemerkasaan produk pelancongan melibatkan komuniti pulau itu bagi merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

 

Penganjuran bengkel pemindahan ilmu melalui skim dana ‘Knowledge and Technology Assimilation Grant Scheme’ (KTAGS) dibawah tadbir urus Pusat Pemindahan Ilmu, Jaringan Industri Masyarakat (PPIJIM) UMT, program itu berjaya menerapkan ilmu berkaitan pemasaran produk pelancongan serta pendedahan berkaitan platform digital kepada 34 peserta pelbagai latarbelakang perniagaan dan agensi.

 

Peserta program itu adalah terdiri dari ahli Koperasi Pelancongan Kampung Pulau Redang, ahli jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung, ahli Persatuan Pengusaha dan Pemandu Bot Pelancong Pulau Redang, pemilik dan pekerja Teratak Pak Jusoh serta usahawan produk.

 

Pengusaha rumah penginapan yang juga peserta program, Irawan Jusoh berpendapat program itu merupakan pendekatan yang positif dan dapat memberikan idea baharu bagi penawaran produk pelancongan berasaskan tarikan sedia ada di kawasan Kampung Baru Pulau Redang.

 

“Program ini juga dapat memperkasakan golongan belia di Kampung Baru dengan peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan sebagai jurupandu tempatan serta perniagaan bersaiz mikro khususnya produk makanan tempatan dan kraftangan”.

 

Program Pembangunan Produk Pelancongan dan Pemantapan Ekonomi Komuniti Pulau Redang itu telah dilaksanakan pada 21-23 Februari 2024 di Kampung Baru, Pulau Redang melibatkan sekumpulan tujuh orang penyelidik yang juga merupakan pensyarah dari Program Pengurusan Pelancongan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FPEPS).

 

Ketua program, Shahriman Abdul Hamid memberitahu bahawa kepulauan itu memiliki nilai kemasyarakatannya yang tersendiri dan unik.

 

“Tidak ramai yang tahu terdapat sebuah kawasan perkampungan di Pulau Redang yang memiliki komuniti yang sangat tinggi nilai kemasyarakatannya.

 

“Kampung Baru ini memiliki kepelbagaian produk yang unik dan berpotensi besar untuk dipasarkan dan diperkenalkan kepada pelancong.

 

Menurutnya, bengkel berbentuk pemindahan ilmu itu merupakan perkongsian hasil daripada aktiviti penyelidikan yang telah dijalankan oleh pensyarah UMT.

 

“Modul bagi bengkel ini merangkumi tiga topik utama iaitu pembangunan produk pelancongan baharu dan potensi aktiviti di Kampung Baru, strategi pemasaran produk pelancongan, dan pendigitalan produk pelancongan.

 

“Hasil daripada penyelidikan yang dikongsikan antaranya adalah beberapa produk pelancongan baharu yang telah dikenal pasti seperti pakej lawatan berpandu, aktiviti berbasikal sekitar kawasan kampung, aktiviti mendaki bukit serta eksplorasi paya bakau.

 

Program pemindahan ilmu itu dapat memberikan impak yang signifikan terhadap peningkatan ekonomi dan pemerkasaan komuniti setempat. Pengenalpastian beberapa tarikan sedia ada yang berpotensi dijadikan produk pelancongan di Kampung Baru, Pulau Redang dapat merancakkan lagi aktiviti perusahaan pelancongan dalam kalangan komuniti pengusaha produk pelancongan seiring dengan Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 dibawah strategi transformasi pekerjaan yang sesuai dan pembangunan ekonomi (SDG8), Industri, Inovasi dan Infrastruktur (SDG9) dan Bandar dan Masyarakat Mampan (SDG 11).

 

Selain itu, pengenalpastian produk pelancongan itu juga merupakan satu langkah pemuliharaan budaya dan warisan setempat.

 

 

 

Disediakan oleh :

 

Dr. Munira Mhd Rashid dan Dr. Kalsitinoor Set

Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FPEPS)

Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

Gambar 1: Ahli penyelidik bersama para peserta bengkel pemindahaan ilmu menunjukkan sijil penghargaan yang telah diterima

Gambar 2: Antara ahli penyelidik yang terlibat, dari kiri, Dr. N Alia Fahada W Ab Rahman, Dr. Kalsitinoor Set, Encik Shahriman Abdul Hamid, Dr. Mohd Rahimi Abdul Halim dan Encik Jassmin Johari

Gambar 3: Ahli penyelidik sedang memberikan taklimat bengkel pemindahan ilmu kepada para peserta

Gambar 4: Ahli penyelidik sedang memberikan taklimat bengkel pemindahan ilmu kepada para peserta

Gambar 5: Ahli penyelidik sedang memberikan taklimat bengkel pemindahan ilmu kepada para peserta

Gambar 6: Ahli penyelidik melakukan aktiviti berbasikal untuk pemetaan laluan bagi cadangan lawatan berpandu komuniti

Gambar 7: Ahli penyelidik melakukan aktiviti mendaki Bukit Samudra, Pulau Redang untuk pemetaan laluan bagi cadangan lawatan berpandu komuniti

Gambar 8: Encik Shahriman Abdul Hamid menyampaikan sijil penghargaan kepada Encik Irawan Jusoh, salah seorang peserta bengkel yang merupakan pengusaha penginapan Teratak Pak Jusoh, Pulau Redang

Gambar 9: Encik Shahriman Abdul Hamid menyampaikan sijil penghargaan kepada Encik Maarop Ismal selaku ketua kampung, Kampung Baru, Pulau Redang