MEMUPUK PEMIMPIN MASA HADAPAN DEMI KELESTARIAN ALAM DAN LAUTAN

Tuesday, 27/8/2024

Share This Article :

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) buat julung kalinya menganjurkan Program Global Young Leaders Summit 2024 (ESG 2024).

Membawakan tema “Nurturing Future Leaders for Ocean and Environmental Stewardship”, selaras dengan bidang tujahan UMT dan konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim.

 

Konsep ESG memberi fokus kepada kelestarian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (Environmental, Social, and Governance; ESG) dan ia membawa pendekatan yang selari dalam landskap global hari ini.

 

Mengimbangi antara aktiviti pembangunan dengan kemampanan alam sekitar serta ekosistem bukan lagi suatu pilihan, sebaliknya ia merupakan keperluan yang mendesak dalam menangani krisis alam sekitar yang kian berleluasa pada hari ini. Dunia semakin tenat, maka kita semua harus bangkit dalam menanggani isu ini tanpa terus menerus menunding jari.

 

Menurut Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi semasa upacara perasmian Program Global Young Leaders Summit 2024, ESG ialah satu inisiatif dalam menerajui usaha bersepadu untuk kemampanan yang melibatkan aspek penting seperti sosial dan tadbir urus. Beliau juga menyeru supaya institut pendidikan yang lain dapat mengambil peranan penting dalam usaha untuk menjayakan misi dan nilai teras ESG.

 

Tambahnya ancaman terhadap kelestarian alam, pemanasan global, perubahan iklim, pencemaran dan kemerosotan sumber biodiversiti saban hari dibicarakan, namun perkara ini semakin mengancam dunia.

 

“Justeru, strategik dan pendekatan yang mampan perlu untuk mengatasi ancaman ini sewajarnya. Secara relatifnya, matlamat Pembangunan Mampan atau SDG diperluaskan melalui program-program peringkat kebangsaan melalui semua universiti awam bagi memberi pendedahan kepada semua pelajar untuk sama-sama bangkit menanggani isu kelestarian alam”.

 

Ujarnya lagi, Kesedaran global terhadap isu-isu mampan telah mendorong pihak KPT mengambil inisiatif untuk menerajui usaha bersepadu untuk kemampanan yang melibatkan aspek penting seperti sosial dan tadbir urus.

 

Sementara itu, Prof. Dr. Mohamad Salmi Bin Mohd Sohod Pengerusi Lembaga Pengarah UMT menzahirkan rasa syukur dengan penglibatan dari wakil Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), rakan-rakan strategik industri, ahli panel jemputan dan pegawai pelaksana program yang bertungus-lumus dalam menjayakan program ESG 2024.

 

Jelasnya, kerjasama dan sumbangan daripada pihak kerajaan dan sektor korporat merupakan komitmen yang akan memberikan impak yang lebih luas kepada masyarakat dan pelajar dalam mencapai matlamat pemulihan alam sekitar global.

Program ini turut dilengkapkan dengan sesi Forum bertajuk “Cultivating ESG Talent In Young Leaders” dan menampilkan ahli panel yang menarik antaranya adalah Encik Daryl Foong dari pengarah Eksekutif Aquawalk Sdn Bhd., Profesor Madya Dr Maizah Binti Mohd Abdullah Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Brian Yong dari wartawan alam sekitar serta Mary Jane Lamoste wakil serantau SOA Asia.

 

Pihak KPT menyediakan tiga (3) ganjaran hebat kepada para peserta yang cemerlang dalam program ESG 2024. Pertama, 5 peserta terbaik akan memperoleh bantuan dari RHB Islamic Bank. Kedua, 12 peserta terpilih dari setiap negeri akan diberikan tawaran untuk menyertai kursus di Pulau Kapas,Terengganu dan yang terakhir tiga projek terbaik akan menerima geran bernilai RM3,500.00 yang ditaja penuh oleh Kedutaan Perancis Malaysia dan Sustainable Ocean Alliance.

 

Resolusi diperlolehi melalui program ESG 2024  akan disampaikan kepada kerajaan berhubung isu dan strategi pelaksanaan ESG dalam kalangan generasi muda khususnya di institusi pengajian tinggi. Resolusi ini akan menjadi manifesto generasi muda kepada isu kemampanan yang lebih berkesan pada masa akan datang.

 

Peranan IPT itu sendiri adalah melahirkan pemimpin yang sentiasa memperkasakan kepimpinan muda dalam agenda kelestarian global melalui rangkaian dan penglibatan antarabangsa. Perkongsian idea berkaitan isu-isu kelestarian alam sekitar, pemanasan global, perubahan iklim, keselamatan makanan, pencemaran dan kemerosotan sumber biodiversiti dibicarakan dalam konteks yang luas agar semua pihak tahu peranan masing-masing dalam mengekalkan kelestarian alam.

 

Program yang berlangsung selama 4 hari bermula pada 22 hingga 25 Ogos 2024  telah berjaya menghimpunkan seramai 200 orang mahasiswa terdiri daripada kepimpinan mahasiswa, mahasiswa yang menjalankan projek kelestarian alam dan mahasiswa antarabangsa.

 

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

 

 

-TAMAT-