Menjana kelestarian ekonomi melalui pemindahan ilmu

Wednesday, 28/8/2024

Share This Article :

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah melangkah ke hadapan dalam usaha memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan komuniti tempatan melalui pelaksanaan pelbagai projek berimpak di Sedili, Kota Tinggi. Sejak hampir dua tahun lalu, UMT bersama komuniti ini telah melaksanakan projek pemindahan ilmu yang bukan sahaja mencerminkan keprihatinan universiti tersebut terhadap keperluan masyarakat, tetapi juga menzahirkan peranan UMT sebagai menara ilmu yang sentiasa cakna dengan cabaran-cabaran semasa yang dihadapi oleh komuniti.

Dalam usaha ini, UMT yang terkenal dengan kepakaran dalam bidang sains kelautan dan sumber akuatik telah memberi fokus kepada isu-isu yang melibatkan sumber perikanan, khususnya di Sedili. Komuniti ini, yang majoritinya bergantung kepada sektor perikanan sebagai sumber pendapatan utama telah menerima manfaat besar daripada program-program yang dijalankan. Sebagai contoh, program pelepasan 10,000 benih perikanan yang melibatkan spesies seperti Ketam Bakau, Ketam Renjong dan ikan siakap telah dijalankan untuk menyokong kelestarian sumber perikanan dan meningkatkan hasil tangkapan nelayan tempatan.

Selain itu, UMT juga telah membuka peluang kepada komuniti Sedili untuk meneroka bidang-bidang lain yang berpotensi memperkasa taraf sosioekonomi mereka. Melalui projek-projek seperti Projek Kelulut, Projek Tanaman Cendawan Tiram dan Projek Penghasilan Sabun DIY, UMT membantu komuniti terutamanya golongan belia, suri rumah, ibu tunggal, pesara tentera, nelayan dan asnaf untuk melakukan sesuatu untuk menjana pendapatan tambahan. Pendekatan ini selaras dengan hasrat Ahli Parlimen Kota Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin yang ingin memperkasakan ekonomi masyarakat setempat melalui pemerkasaan sektor agropelancongan dan penghasilan produk hiliran berasaskan ternakan kelulut.

Namun, usaha ini tidak terhenti di situ sahaja. Dengan penerapan ilmu keusahawanan dan kemahiran serta bimbingan dalam aspek pemasaran, pengiklanan, penggunaan platform digital, usaha itu pasti membuahkan hasil yang positif. Pendekatan yang disemai kepada komuniti Sedili bukan sahaja membantu mengangkat taraf ekonomi masyarakat, tetapi juga membina keyakinan dan kebolehan berdikari untuk melangkah lebih jauh.

Dalam konteks yang lebih luas, usaha-usaha seperti yang dilakukan oleh UMT di Sedili adalah sebahagian daripada usaha yang lebih besar dalam menangani isu kemiskinan di Malaysia. Menurut data terkini, kadar kemiskinan luar bandar di Malaysia telah menunjukkan sedikit penurunan, namun masih terdapat cabaran besar yang perlu diatasi terutama dalam kalangan masyarakat luar bandar dan komuniti nelayan.

Peningkatan kos sara hidup, kekurangan peluang pekerjaan yang stabil antara penyebab utama masyarakat terpencil tidak mampu keluar dari kepompong kemiskinan. Langkah-langkah mitigasi yang boleh diambil termasuk memperluas program pemindahan ilmu dan kemahiran seperti yang dilakukan oleh UMT ke kawasan-kawasan lain yang memerlukan. Selain itu, penambahbaikan akses kepada perkhidmatan asas seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur di kawasan luar bandar juga perlu diberi keutamaan.

Jelas terbukti bahawa usaha-usaha bersepadu antara institusi pendidikan, kerajaan dan komuniti setempat adalah kunci utama kelestarian sosioekonomi dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat sekaligus mengurangkan kadar kemiskinan di Malaysia. Program seperti yang dilaksanakan oleh UMT di Sedili bukan sahaja memberikan impak langsung kepada komuniti, tetapi juga menjadi model untuk usaha-usaha pemerkasaan masyarakat yang lain di seluruh negara.

 

Disediakan oleh :

Amirul Salam Hasan

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

 

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin memotong sabun yang dihasilkan oleh komuniti Sedili hasil bimbingan UMT

YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin mengadakan lawatan ke gerai komuniti Sedili yang mempamerkan produk hiliran berasaskan madu kelulut

Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berucap sempena Program lawatan Khas ke Tapak Projek Kelulut di Sedili baru-baru ini

YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin melepaskan benih ketam yang dihasilkan AKUATROP UMT di sungai Tg. Sedili sebagai usaha untuk mengekalkan kelestarian sumber perikanan sekaligus meningkatkan pendapatan komuniti nelayan Sedili

YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin melihat demonstrasi cara pengumpulan madu daripada sarang lebah kelulut.