Penyelidik UMT terima anugerah buku ilmiah terbaik sains dan teknologi
Selasa, 16/12/2025
Share This Article :
KUALA NERUS, 9 Disember 2025 — Usaha berterusan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam memperkukuh kesarjanaan dan penyelidikan biodiversiti air tawar sekali lagi mendapat pengiktirafan apabila buku berjudul Fishes of Kenyir terbitan Penerbit UMT diumumkan sebagai pemenang Anugerah Buku Ilmiah Terbaik Sains dan Teknologi anjuran Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) MAPIM-KPT semalam.
Penerbitan ilmiah itu dihasilkan oleh dua penyelidik UMT, Dr. Mohamad Aqmal Mohd Naser dan Profesor Dr. Amirrudin Ahmad dari Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari (IBTPL).
Anugerah itu membuktikan keupayaan UMT sebagai sebuah universiti yang unggul dalam penyelidikan biodiversiti, konservasi ekosistem semula jadi dan pengembangan ilmu berasaskan sains marin dan sumber akuatik.
Fishes of Kenyir merupakan karya penting yang menghimpunkan dokumentasi menyeluruh mengenai spesies ikan di Tasik Kenyir iaitu salah satu ekosistem air tawar yang mempunyai kepelbagaian spesis haiwan dan tumbuhan terbanyak di Malaysia sekali gus menjadikannya rujukan utama untuk penyelidik, pelajar, pengurus sumber asli serta agensi kerajaan.
Dr. Mohamad Aqmal yang turut mengetuai beberapa geran penyelidikan penting termasuk Geran Penyelidikan Lubuk Yu (2024–2025) telah menunjukkan komitmen tinggi melalui kajian lapangan, analisis saintifik dan usaha pemuliharaan yang berimpak tinggi.
Manakala penulis bersama, Prof. Dr. Amirrudin yang juga diiktiraf sebagai pakar dalam bidang ekologi dan biologi ikan air tawar oleh Malaysia Biodiversity Information System (MyBIS) merangkap Pengerusi Bersama Serantau IUCN-SSC/Wetlands International Freshwater Fish Specialist Group mengukuhkan lagi kesarjanaan penyelidikanyang terkandung dalam penerbitan itu.
Penyelidikan yang dijalankan di Tasik Kenyir merupakan usaha penting dalam mengekalkan kelestarian ekosistem alam selain menyerlahkan kepakaran UMT dalam memimpin penyelidikan ikan air tawar serta usaha melindungi spesies terancam di Malaysia.
Panel penilai MAPIM-KPT menobatkan buku itu berdasarkan ketelitian penyelidikan, ketepatan data, impak terhadap pembangunan ilmu zoologi serta peranannya dalam menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 15).
Antara kekuatan utama buku Fishes of Malaysia ialah penyediaan maklumat saintifik terkini mengenai spesies ikan Endangered dan Critically Endangered sekali gus menekankan keperluan mendesak pelaksanaan langkah konservasi di lapangan.
Penerbitan itu turut menyerlahkan dedikasi UMT dalam memelihara ekosistem meliputi tasik, sungai dan kawasan tadahan air selaras dengan usaha nasional memperkukuh pemuliharaan biodiversiti.
Dr. Mohamad Akmal menyifatkan anugerah itu merupakan pengiktirafan kepada penyelidik yang terlibat dalam usaha pemuliharaan sumber akuatik selain memberi motivasi untuk terus merancakkan penyelidikan saintifik lain.
“Sebagai penulis pertama, saya berasa sangat bersyukur dan berbangga kerana usaha penyelidikan dan penerbitan ini dihargai pada peringkat tertinggi. Ia memberi motivasi untuk terus berkarya, meneroka ilmu baharu dan menyumbang lebih banyak kepada pemuliharaan sumber asli negara. Saya juga berterima kasih kepada semua rakan penyelidik, institusi dan pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak dalam menjayakan buku ini.” Katanya.
UMT sebagai institusi peneraju dalam bidang marin dan sumber akuatik terus komited memperkukuh pengetahuan saintifik, memimpin usaha konservasi biodiversiti negara dan memastikan warisan ekologi kekal terpelihara untuk generasi akan datang.
Dikeluarkan oleh :
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu