STEM A rangkul johan Debat Piala Naib Canselor 2025
Khamis, 8/1/2026
Share This Article :
KUALA TERENGGANU, 7 Januari 2026 – Pasukan Debat STEM A dari Pusat Asasi STEM (PASTEM) mencatat kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai johan Pertandingan Debat Piala Naib Canselor 2025 (DPNC) menerusi usul “Dewan Ini Percaya Ekonomi Biru adalah Jawapan Kepada Kesenjangan Sosioekonomi Rakyat Malaysia” sekali gus membawa pulang piala kemenangan serta hadiah wang tunai berjumlah RM500.
Pertandingan yang menghimpunkan 20 pasukan bagi kategori Bahasa Melayu daripada pelbagai fakulti itu menyaksikan pasukan PASTEM tampil dengan hujah mantap, pemikiran kritikal serta keupayaan menyelesaikan masalah secara berkesan meskipun berdepan saingan sengit daripada pasukan berpengalaman, khususnya daripada pencabar yang tewas sebagai Naib Johan serta pasukan debat yang lebih senior peringkat ijazah.
Mewakili pasukan STEM A, Norshahirah Hisham, 19, berkata kejayaan tersebut bukan sekadar diukur melalui ganjaran yang diterima, sebaliknya pengalaman berdebat itu sendiri menjadi nilai paling berharga buat mereka.
“Kami menerima piala dan juga sagu hati wang tunai untuk dikongsi bersama semua warga PASTEM. Sudah tentu ada rasa teruja, namun secara peribadi, tujuan utama saya menyertai pertandingan ini adalah untuk melatih kemahiran penyelesaian masalah dalam tempoh singkat” katanya.
Menurutnya, sasaran tersebut berjaya dicapai apabila pasukannya diuji dengan perdebatan yang kompetitif dan mencabar.
“Saingan memang sangat sengit, terutamanya daripada pasukan akuakultur yang lebih senior dari kami. Apabila berdepan dengan pelajar peringkat ijazah, perasaan gugup itu memang lain macam, tetapi pengalaman itulah yang paling bermakna dan membina keyakinan diri,” tambahnya.
Ujarnya, kejayaan itu bukan sahaja mengharumkan nama Pusat Asasi STEM, malah membuktikan pelajar asasi juga mampu bersaing secara matang dan berwibawa dalam arena perbahasan intelektual di peringkat universiti.
Selain debat kategori Bahasa Melayu, penganjuran itu turut menawarkan kategori debat Bahasa Inggeris melibatkan 10 pasukan menjadikan jumlah pelajar yang terlibat berjumlah 120 orang.
Untuk rekod, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT selaku penganjur telah berjaya menjadi tuan rumah untuk lapan pertandingan debat di peringkat universiti dan negara sepanjang tahun 2025.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain menegaskan bahawa penganjuran DPNC membuktikan keberkesanan usaha universiti dalam membina keyakinan diri dan kepimpinan mahasiswa, di samping menyelaraskan wacana kampus dengan hala tuju strategik negara.
“Debat melatih keberanian berhujah, komunikasi berkesan dan kepekaan terhadap isu semasa. Dengan menjadikan Ekonomi Biru sebagai usul, kita mahu memperkasa budaya ilmu dan menghubungkan mahasiswa dengan tanggungjawab kelestarian dan pembangunan komuniti pesisir. Mahasiswa idaman ini dituntut agar berfikir merentas disiplin, memahami ekologi dan had alam, serta mampu menilai keseimbangan antara kepentingan ekonomi dan kelestarian,” katanya.
Dikeluarkan oleh :
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu