Sukan layar mengangkat martabat Terengganu di pentas dunia

Sunday, 19/5/2024

Share This Article :

Terengganu merupakan sebuah negeri yang terletak di pantai timur semenanjung Malaysia, tidak hanya dikenali dengan keindahan alam semula jadi dan budaya tradisionalnya, tetapi juga sebagai hub sukan kapal layar yang berprestij.

 

Sukan ini bukan sahaja memberi peluang rekreasi kepada penduduk tempatan dan pelancong, tetapi juga membawa limpahan ekonomi yang signifikan kepada negeri yang menjadi jolokan sebagai ‘negeri cantik, orangnya baik-baik’.

 

Antara faktor utama yang menjadikan Terengganu sebagai destinasi utama untuk sukan kapal layar adalah keadaan geografinya. Terengganu memiliki garis pantai yang panjang dengan air laut yang jernih dan tiupan angin yang konsisten, menjadikannya ideal untuk kegiatan sukan layar. Tumpuan tidak hanya bertumpu di kawasan tanah besar, malah pengunjung turut berpeluang mengalami pengalaman sendiri meneroka keindahan serta keajaiban ‘Terengganu bawah laut’ di  pulau-pulau seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Kapas dan Pulau Tenggol

 

Terengganu terkenal dengan penganjuran acara kapal layar bertaraf antarabangsa seperti Monsoon Cup. Acara ini menjadi salah satu pertandingan kapal layar yang paling dinantikan di dunia. Monsoon Cup merupakan sukan ketiga yang menjadi tumpuan dunia di Malaysia ketika era kegemilangannya kira-kira 20 tahun lalu. Ia menarik peserta dari pelbagai negara dan disiarkan secara meluas di media antarabangsa, menjulang nama Terengganu di mata dunia. Kehadiran pelayar profesional dan penonton dari pelusuk dunia membawa limpahan ekonomi yang menguntungkan masyarakat melalui permintaan penginapan, makanan, pengangkutan, fasiliti, hospitaliti dan perkhidmatan tempatan.

 

Sumbangan pihak kerajaan dalam mengilhamkan acara berprestij itu wajar mendapat pujian. Hasil cetusan idea mantan Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam merangka pelan pembangunan negeri Terengganu bagi memastikan limpahan ekonomi dinikmati oleh segenap rakyat Terengganu sepanjang tahun tanpa perlu ‘mengikat perut’ setiap kali tibanya musim monsun saban tahun.

 

Walaupun acara bertaraf dunia itu melabuhkan tirai buat kali terakhir pada tahun 2012 dengan pertarungan sengit dari dua belas pasukan layar terbaik dunia ketika itu, namun Universiti Malaysia Terengganu (UMT) masih meneruskan legasi sukan layar yang telah sebati dengan masyarakat negeri yang terkenal dengan penyu itu.

 

Profesor Adjung UMT, Datuk Patrick Lim Soo Kit dalam program Syarahan Umum yang dianjurkan Pusat Latihan Pelayaran UMT berkata, mantan Perdana Menteri Malaysia kelima mempunyai visi yang jelas dalam membangunkan negeri Terengganu melalui sumber sedia ada.

 

“Pak Lah melihat negeri Terengganu sebuah negeri yang unik. Memiliki kepelbagaian sumber semulajadi serta pulau- pulau yang menarik”

 

“Beliau mencetuskan ilham untuk mengadakan sukan layar bagi memberi limpahan ekonomi kepada rakyat Terengganu yang rata-rata terjejas ketika tibanya musim monsun.

 

Jelasnya, memiliki pemimpin dan ciri kepimpinan yang unggul merupakan suatu keperluan dalam membawa sesebuah organisasi ke suatu tahap yang lebih baik.

 

Sementara itu, Pengarah Pusat Latihan Pelayaran UMT, Mohd Hafizi Said menjelaskan, pihaknya sentiasa bergiat aktif dalam usaha memperkasakan aktiviti dan ilmu pelayaran dikalangan pelajar universiti dan masyarakat.

 

“Pusat ini ditubuhkan pada Ogos 2019  dengan memiliki beberapa aset dan kemudahan pelayaran seperti kapal layar, simulator pelayaran, bot penyelamat dan bilik clubhouse yang menjadi platfom dalam usaha merakyatkan ilmu untuk komuniti setempat.

 

“Pusat ini juga diberi tanggungjawab untuk membentuk kebitaraan mahasiswa yang lebih berdaya saing melalui aktiviti fizikal ke arah melahirkan nakhoda masa hadapan negara.

 

Menurutnya, usaha yang telah dilakukan sejak beberapa tahun lalu telah berjaya membuahkan hasil setelah pasukan pelayar UMT meraih pelbagai kejayaan di pentas antarabangsa.

 

“Pasukan pelayar UMT telah berjaya mendapat tempat pertama dalam penganjuran  Kingdom Match and Fleet Race (Bahrain) dan  tempat ketiga dalam penyertaan One Design Platu World Championship (Thailand) pada tahun lalu.

 

“Kita turut mendapat penghargaan apabila dijemput bagi mewakili Malaysia untuk menyertai penganjuran kejohanan FISU World University Championship di Italy pada 4-11 Jun 2024 nanti.

 

Tambahnya, enam pelajar yang akan mewakili UMT ke kejohanan tersebut ialah Nur Muhammad Aqil Nadzri, 21, Mohamad Hanif Mohd Shafiee, 20; Nur Zulaikha Mohd Zafarin, 21; Nur Sofea Balqis Kamal Azalan, 21; Nur Ainul Izzati Zil Husham, 23, dan Muhammad Faris Aiman Basri, 22 bagi memberi saingan kepada 16 pasukan termasuk Amerika, Belanda, Ireland, Jerman, Jepun, China dan Perancis yang semenangnya memiliki kekuatan tersendiri.

 

Disediakan oleh :

 

Amirul Salam Hasan

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu