UMT jalin kerjasama strategik dengan PENENTU, SABASUN

Isnin, 15/7/2024

Share This Article :

KUALA NERUS, 15 Julai 2024 – Produk inovasi penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Rapid Biofloc bakal digunakan secara meluas selepas universiti itu melalui anak syarikatnya, UMT Jaya Holdings Sdn Bhd memeterai perjanjian persefahaman antara Persatuan Nelayan Terengganu (PENENTU) dan SABASUN HYPErRUNCIT Sdn Bhd (SABASUN).

 

Kolaborasi strategik itu membolehkan usaha pemasaran dan penternakan ikan khususnya spesis tilapia lebih tinggi dan mampu menjana pulangan lumayan kepada penternak.

 

Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Menjalankan Fungsi Naib Canselor UMT, YBrs. Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata kerjasama itu sebagai bukti komitmen  UMT sebagai sebuah universiti yang mengutamakan komuniti dalam segenap penyelidikan.

 

“Kita akan mencari peluang dan ruang untuk menghubungkan hasil-hasil kajian para penyelidik UMT untuk kegunaan pemain industri dan memberi manfaat kepada masyarakat.

 

“Hasil-hasil keluaran para penternak akan dipasarkan dan dijual secara ‘contract farming’ oleh PENENTU dan SABASUN. Para pengusaha ikan tilapia boleh memfokuskan masa dan tenaga mereka kepada aspek-aspek penjagaan dan pembesaran ikan yang sememangnya mempunyai elemen-elemen teknikal tertentu.

 

Menurutnya, teknologi Rapid Biofloc hasil kajian dan inovasi penyelidik UMT, Prof. Madya Ts. Dr. Nor Azman Kasan membolehkan biofloc terbentuk seawal sepuluh hari berbanding proses pembentukan sendiri secara konvensional yang mengambil masa sehingga 30 hari. 

 

“Dengan teknologi ini juga, kos makanan dapat dikurangkan sehingga 30%, ikan tidak berbau tanah/hanyir, kepadatan ikan dapat ditingkatkan sehingga 200% bagi setiap meter padu air dan air tidak perlu ditukar di sepanjang tempoh pembesaran (grow out) untuk satu kitaran (5 – 6 bulan).

 

Katanya, aspek pemasaran dan jualan merupakan cabaran utama yang sering diperkatakan oleh pengusaha akuakultur.

 

“Dengan jalinan rakan strategik ini, ianya akan dapat membantu menaikkan lagi kemampanan dan kesinambungan projek ternakan ikan tilapia atau akuakultur, terutamanya bagi para penternak kecil-kecilan yang diusahakan komuniti sekitar”.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani MoU di antara UMTJ dan PENENTU serta SABASUN di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Nerus, hari ini.

 

Turut hadir ialah Pengerusi PENENTU, Mat Yassim Mohamed, Pengarah Eksekutif SABASUN, Che Suhana Che Ibrahim, Pengarah LKIM Terengganu, Ahmad Nazri @ Abd Zaim Madri, dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UMTJ, Dato’ Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir.

 

Disediakan oleh :

Amirul Salam Hasan

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

 

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu