Wednesday, 14/8/2024
Share This Article :
Kuala Terengganu – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Negara (NAHRIM) telah mengadakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menjalankan projek penyelidikan berkaitan alam sekitar, khususnya kualiti air.
Majlis yang diadakan di kampus utama UMT itu menyaksikan Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dan Ketua Pengarah NAHRIM, Ir. Mohd Zaki Mat Amin menandatangani dokumen perjanjian dengan dihadiri oleh wakil-wakil dari kedua-dua agensi.
“Kerjasama ini adalah langkah penting dalam usaha mempromosikan kelestarian alam sekitar melalui penyelidikan saintifik dan inovasi teknologi”. Ujar Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri ketika berucap sempena majlis MoU di Auditorium Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) UMT.
Menurutnya, pelbagai skop penyelidikan serta penganjuran aktiviti yang dijalankan secara bersama bagi membantu negara dalam mendepani isu dan cabaran setempat.
“Sepanjang kolaborasi antara UMT dan NAHRIM sejak lebih lima tahun lalu projek penyelidikan itu bertujuan untuk menambah baik kualiti air di pelbagai kawasan di Malaysia, termasuk sungai-sungai, tasik-tasik dan kawasan pantai yang terjejas oleh pencemaran dan aktiviti manusia. Ia juga akan melibatkan kajian mendalam tentang ekosistem air, strategi pemulihan dan pembangunan teknologi baharu untuk pemantauan dan rawatan air.
“Antara aktiviti dan projek yang telah dijayakan bersama termasuklah Kajian Kesan Peningkatan Aras Laut terhadap komuniti Pantai Kajian Penangkapan dan penyimpanan karbon di kawasan Paya Bakau, Kajian Hakisan Sungai dan Pantai di pelbagai tempat kajian di dalam Malaysia, Kajian Persediaan Acaman Kemarau dan Banjir, Kajian Mikroplastik di perairan sungai dan laut di Malaysia, Kajian Garis Panduan untuk penyelengaran Pelabuhan di Malaysia serta penerbitan.
Tambahnya, gabungan kepakaran dari UMT dan NAHRIM mampu menghasilkan penyelesaian yang berkesan untuk memulihara dan memulihkan kualiti alam sekitar serta sumber air negara kita,” katanya.
Dikeluarkan oleh :
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu